Saturday 31 August 2013

Tabah demi tugas ….

Pengalaman membuat liputan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 hari ini menjadi kenangan indah, seindah warna-warni acara penuh patriotik itu.
Inilah catatan wartawan Salawaty Supardi dalam melaksanakan tugasan sambutan bertemakan ‘’Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Nama dataran itu sahaja sudah cukup menggambarkan kepentingannya dalam sejarah tanahair.
Di Bangunan Sultan Abdul Samad, yang berdepan dataran itulah bendera 'Union Jack' diturunkan pada tahun 1957 untuk meraikan kemunculan sebuah negara baru yang terus menaungi kita dengan penuh gagah.
“Panasnya...jauhnya...dua perkataan itu tidak lekang daripada mulut mana-mana wartawan yang ditugaskan membuat liputan sambutan Hari Kemerdekaan. 
Demikian jugalah dengan saya, yang kali pertama membuat liputan ini sejak menyertai keluarga Bernama.
Mahu tak mahu...demi tugas terpaksa dihadapi juga.
Bersama dua wartawan senior Voon Miaw Ping serta Zuriati Zulmi, kami pergi ke Dataran Merdeka dengan menaiki kenderaan pejabat, al- maklumlah jalan sana sini ditutup.
Lebih parah lagi, mana nak cari parking time macam ni, tentu kena menapak jauh.
Tiga orang rasanya tidak cukup untuk cover kerana selain daripada nak jaga menteri-menteri tertentu, reaksi dan arahan semasa sudah tentu kena buat.
Namun, ia bukan halangan untuk melakukan yang terbaik....bak kata pepatah “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih”.
Setelah pemandu menurunkan kami berhampiran stesen LRT Masjid Jamek, kami pun terus ke Dataran Merdeka.
Sampai sahaja, kami terus mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran media.
Dahlah penat, geram dan marah kami dibuatnya bila pas akses media hanya satu sahaja yang diberi iaitu kepada wartawan yang akan bergerak.
Masalahnya,.sebagai wartawan kita akan sentiasa bergerak untuk mencari bahan dan tidak kena scoop.
Mula-mula sampai ke pentas media, kami menjamah makanan yang disediakan iaitu nasi goreng dan ayam goreng. Syukur...hilang lapar kami.
Selepas itu kami hantar one liner ketibaan Yang di-Pertuan Agong.
 Hantar one liner adalah wajib untuk acara-acara besar seperti ini.
Voon dan Zuriati kemudian menyiapkan berita mengenai Seri Paduka Baginda dan sambutan  manakala saya turun dan mula mencari reaksi.
Cari reaksi kena cepat dan tak boleh lambat, sebab apabila majlis dah habis takut ada benda lain pula kena buat.
Reaksi bukan sahaja rakyat tempatan tapi pelancong asing.
Beberapa pelancong asing yang saya temui antaranya dari Switzerland, Australia, China dan Algeria sangat kagum dengan Malaysia kerana mempunyai rakyat pelbagai kaum yang boleh hidup bersama. Mereka juga kagum dengan sambutan di Dataran Merdeka.
Selain daripada itu, story human interest juga tak boleh lari apabila membuat liputan semacam ini.
Bagi yang gemar bergaya dan memakai kasut tumit tinggi ke pejabat seperti saya, bila buat liputan semacam ini "pantang larangnya" jangan pakai tumit tinggi. Kenapa? Sebab ada kalanya kena berlari. Kalau bertumit tinggi, bahasa pasar kata confirm akan "terpeleot".
Selesai mendapatkan semua reaksi, kami pun berkumpul di belakang pentas utama...duduk tepi jalan dan buat berita.
Begitulah...kalau malu dan rasa nak duduk sedap aje baru nak buat, jawabnya lambatlah hantar berita dan sure kena bom punya.
Panas...haus dan lapar kami duduk tepi jalan. Selesai sahaja, kami pun makan di kedai bernama Capital di hadapan Sogo.
Memang kedai Cina tapi ramai orang Melayu makan di kedai itu. rasanya taukeh kedai pun tahu sensitiviti orang Islam...maka hanya menyajikan makanan yang halal. Ini lah dia rakyat Malaysia, di sebalik ada yang suka mencetuskan kemarahan, masih ada yang faham erti tolerasi.
Sepanjang lebih lima jam di Dataran Merdeka, banyak yang dapat dilihat.
Kalau tak buat liputan ini tentu tak dapat lihat pelbagai aset ketenteraan terkini pasukan keselamatan.
Waktu macam ini jugalah kita dapat tengok betapa rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini masih boleh berkumpul dan berhimpun secara aman meraikan satu-satu sambutan.”

Salawaty Supardi

Terbaik baginya...

Walaupun pernah mendapat tugasan seumpamanya namun wartawan Bernama, Voon Miaw Ping tetap teruja ketika membuat liputan kali ini.
"Saya telah diberi peluang untuk membuat liputan sambutan Hari Merdeka di Dataran Merdeka sejak beberapa tahun lepas dan bagi saya parade tahun ini adalah yang terbaik pernah saya hadiri.

Bagi saya, semangat sambutan tahun ini adalah yang terbaik kerana kita boleh feel dan lihat sebenarnya rakyat Malaysia adalah patriotik walaupun sifat itu tidak ditunjukkan hari- hari.

Temanya pun bersemangat patriotisme dan setiap rakyat Malaysia dapat kaitkannya dengan diri masing-masing, tidak seperti kebanyakan tema sebelum ini yang lebih berunsur politik.

Mungkin sebab insiden Lahad Datu itu telah memberi perspektif baru awam melihat pasukan keselamatan negara.

Apa-apa pun semangat tahun ini telah memberi satu sense of renewed pride and love for the country.

Parade juga menonjol kelainan seperti aset pasukan keselematan yang dipamerkan.. bukan kerap orang ramai diberi peluang untuk melihatnya.

Kehadiran dan persembahan yang dibuat oleh pasukan VAT69 memang mencuri tumpuan dan apabila mereka marched through, penonton telah memberi tepukan gemuruh untuk mereka seakan-akan ia cara penonton mengucapkan terima kasih kepada kumpulan ini."


Voon Miaw Ping

Terkesima tengok kelengkapan ketenteraan…

Apakah perasaan wartawan yang ditugaskan membuat liputan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pagi ini.
Bangga? Atau mungkin seperti apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  'meremang bulu roma'?
Berikut coretan pengalaman Zuriati Zulmi yang diberi amanah membuat liputan sambutan hari paling bersejarah dalam kalender tahunan mana-mana jua negara.
“Ini kali ketiga saya buat liputan hari kebangsaan tapi kali ini memang jauh berbeza.
Tema dan semangat tu memang rasa lain, betul macam PM cakap ‘meremang bulu roma’.
(“Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” menjadi tema sambutan tahun ini)
Sebelum-sebelum ini tema banyak kepada politik sikit tapi kali ini memang betul-betul menimbulkan semangat patriotik di kalangan rakyat.
Ini terutama apabila melihat aset-aset ketenteraan dan anggota keselamatan kita yang nampak segak, kemas, bergaya, gagah, berani dan bersemangat.
Memang rasa negara kita selamat di bawah jagaan mereka. walaupun kita pernah diceroboh tapi dengan kekuatan dan semangat yang ditunjukkan, memang menimbulkan keyakinan negara kita mampu dipelihara kedaulatannya selagi ada anggota keselamatan yang berani seperti mereka.
Memang tahun ini, rasa excited sikit sebab sudah dimaklumkan dalam media yang tentera akan mempamerkan semua aset ketenteraan dan anggota pasukan keselamatan yang lain pun tidak ketinggalan.
Memang terkesima juga lah bila tengok kelengkapan yang kita ada.
Macam bomba dan penyelamat tu, kita biasa nampak kereta bomba dan tangga tinggi  saja kan...rupa-rupanya ada banyak lagi jentera termasuk yang digunakan untuk mengendalikan bahan kimia. (saya dengar announcer tu cakap), memang terkejut.
Aset ketenteraan tu memang paling mengkagumkan sebab memang kita tak tahu sangatkan..kita cuma tahu perkara-perkara asas sahaja...
Persembahan yang menyentuh hati semua orang tu pun memang lain dari yang lain.
Yang tu memang membangkitkan semangat bahawa kita sebagai rakyat biasa pun perlu menjaga kedaulatan negara supaya tidak lagi diperkotak-katikkan oleh pihak yang nak ambil kesempatan.
Sebenarnya, kalau kita jadi peserta yang buat persembahan atau acara perbarisan, semangatnya lagi lain.
Dulu masa zaman sekolah saya pernah lah sertai pasukan kawad tu masa hari kemerdekaan…memang semangatnya sampai tak leh tidur malam.”

Zuriati Zulmi

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku"

Fantastic display of patriotism…colourful and meaningful,” says an arm-chair viewer via Bernama ED-Team WhatsApp at the end of the Merdeka Day parade shown live on television.
Emotional, too! Consolidates your belief that there’s no place else like Malaysia, tanah tumpahnya darahku,” adds General News Service English subsdesk editor M.Govindnair.  
"Yes, the sun shone brightly for Malaysia this morning. Good omen! Should augur well for the next 365 days and more," said General Manager Datuk Yong Soo Heong in his tweet after attending the grand event at Merdeka Square.  
Earlier while watching the parade, he tweeted: "Tanah Tumpah Darahku is captivating war cry song. 'Muhibah' sung in various languages so apt for 1Malaysia.My thoughts from Dataran Merdeka."
"Met some British soldiers who fought in the armed insurgency in Malaysia. One from Ireland came back for first time after 50 years.
"One British war veteran in his 70s told me this at today's Merdeka parade. "THIS IS A BEAUTIFUL & WONDERFUL COUNTRY, KEEP IT THAT WAY." 
Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh turut memberikan pandangan: “Sambutan di Dataran Merdeka menafikan sangkaan bahawa rakyat kurang patriotik. Ia mengobarkan semangat patriotism dan menyatupadukan jiwa dan perasaan rakyat berbilang kaum. Seperti kata PM ia meremangkan bulu roma!!!”

Friday 30 August 2013

Penerbit Bernama Radio24 menang anugerah kesihatan...



Program ‘Dalam Radar’ Bernama Radio24 (BR24) yang mengenengahkan isu ‘Penyakit Tidak Berjangkit (NCD): Ancaman Baru Kesihatan di Malaysia’ merangkul Anugerah Program Kesihatan Terbaik Radio anjuran Kementerian Kesihatan.
Penerbitnya Norindah Khairi, 27, gembira kerana ini merupakan kali kedua beliau menggondol anugerah dalam kategori sama selepas memenanginya pada tahun 2011 menerusi program ‘Ala-carte Pagi’.
Beliau sudah berkhidmat lebih empat tahun dengan BR24 dan adalah antara 13 pemenang pelbagai kategori bagi Anugerah Media Kesihatan 2013, yang masuk kali ketujuh penganjurannya tahun ini.
Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Helmi Yahya di ibu negara malam ini.
Anak kelahiran Kluang, Johor itu menjadikan kemenangan berkenaan sebagai pemangkin untuk beliau menghasilkan lebih banyak maklumat berguna yang dapat diuar-uarkan secara telus kepada masyarakat.
Beliau juga kerap menghasilkan rencana untuk Jabatan Pengarang.
Norindah membawa pulang wang tunai RM2,500 dan sijil penyertaan.
Ketua Pegawai Operasi BR24 Azlan Idris ternyata gembira dengan kejayan itu apabila menghantar mesej menerusi WhatsApp Bernama ED-Team pada pukul 10.13 malam ini.
“Breaking news! BR24 baru sahaja memenangi Anugerah Utama program radio terbaik anjuran Kementerian Kesihatan,” katanya.

“Selepas 6 tahun ..BR24 terus mengorak langkah untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan stesen radio komersil yang lain. Kecil jangan disangka anak. Kekurangan (terutama dari segi wilayah siaran) dijadikan iltizam oleh kami untuk memberikan yang terbaik dan menjadi yang terbaik.” 
“Terima kasih kepada semua terutama Datuk GM yang tidak pernah putus-putus memberikan sokongan kepada kami di tingkat 15,” katanya.

PM muncul drama khas kemerdekaan Bernama Radio24 …


Sempena Hari Kemerdekaan ke-56 esok, Bernama Radio24 (BR24) menerbitkan drama khas dengan penampilan istimewa peranan kameo Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Drama 'Ikrar Perwira' selama 30 minit itu disiarkan malam ini selepas perutusan khas kemerdekaan oleh  perdana menteri.
Ini adalah tahun kedua berturut-turut BR24 menerbitkan drama khas yang disiarkan pada malam menjelang hari bersejarah itu.

Jika dalam drama 'Memoir 57' sempena Hari Kemerdekaan ke-55 tahun lepas, Datuk Seri Najib muncul memberi ucapan hari kemerdekaan pada akhir drama, kali ini beliau turut berlakon dengan rakaman dialog beliau dibuat di pejabatnya di Putrajaya semalam.
"Kami terharu dengan kesudian perdana menteri untuk muncul dalam drama khas ini walaupun beliau sibuk dengan tugas hariannya," kata Ketua Rancangan BR24, Hakimi Zain yang turut hadir pada rakaman babak itu.
"Saya kagum dengan sikap profesionalisme perdana menteri yang dapat menyiapkan rakaman tanpa banyak latihan walaupun tidak pernah berlakon sebelum ini," kata Hakimi.
“Bagi kami, ia satu pengalaman yang mungkin susah nak diperolehi di tempat lain.
“Malahan Perdana Menteri berseloroh dengan bertanya sama ada beliau boleh menjadi pelakon tambahan,” katanya.

Berdasarkan peristiwa tragedi berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, drama nukilan Nizuan Hanaffi ini turut dilakonkan oleh Man Raja Lawak yang memegang peranan utama manakala watak lain digalas petugas BR24 sendiri.
Mereka terdiri daripada Pengarang Urusan Berita Letfee Ahmad, Penerbit Rancangan Khairil Bashar, peneraju Gerard Ratnam dan Shuhadah Armawan serta Nizuan Hanaffi yang juga bertindak sebagai penerbit drama ini.
“Pujian harus diberikan kepada Nizuan kerana berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Perdana Menteri bagi drama ini,” kata Hakimi.

'Berbaloi' usaha gigih...


Dua minggu bertungkus-lumus sehingga balik lewat malam untuk merealisasi Majlis Mesra Hari Raya Bernama ternyata ‘berbaloi’ bagi para petugas Bahagian Komunikasi Korporat.
Dengan perasaan syukur kerana majlis semalam berjalan lancar,  Pengurus Komunikasi Korporat Zarina Rozali berkata kejayaan itu hasil kerjasama semua warga Bernama.
“Kalau nak harapkan kami sahaja, memang tak cukup tangan.
“Terima kasih kepada semua…masing-masing memainkan peranan, melayan tetamu dan membuatkan mereka gembira,” katanya pagi ini.
Beliau mengakui berdebar apabila majlis bermula kerana bimbang jika ada yang tidak kena.
“Kita hanya dapat berdoa agar segalanya berjalan lancar…Alhamdulillah, lega  apabila selesai dan maklumat yang diterima ialah makanan ok...sedap, persembahan pun ok,” katanya.
Majlis itu yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek berlangsung dari 12 tengah hari hingga 6 petang di Hotel Grand Seasons.
Inilah kali  pertama Bernama mengadakan majlis sambutan Aidilfitri secara besar-besaran sejak penubuhannya 45 tahun lepas.
Zarina, yang telah 17 tahun berkhidmat dengan Bernama dan ditempatkan di bahagian itu bermula sebagai eksekutif pada 2005, berkata acara semalam adalah antara tugasan yang akan menjadi kenangan manis baginya.
Sebelum ini, satu acara ‘mencabar’ yang dikendalikannya ialah majlis berbuka puasa yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Wisma Bernama pada Ogos 2011.
‘Pengurus Besar banyak memberikan sokongan…malahan sehari sebelum majlis Hari Raya itu diadakan, beliau datang ke bahagian kami pada pukul 8 malam untuk mengetahui jika ada apa-apa masalah,” kata Zarina.
Majlis itu bukan sahaja telah mengeratkan silaturahim tetapi turut memberi peluang kepada tetamu asing merasai keceriaan suasana berhari raya di negara ini.
Pewarta Vietnam News Agency (VNA) Nguyen Thi Kim Dung, yang pertama kali menghadiri majlis seumpama itu, amat teruja dengan suasana sambutan yang mencerminkan keramahan masyarakat Malaysia.
"I am very happy to attend Bernama's Raya open house. Thank you very much," katanya dalam emel.
Begitu juga dengan Pegawai Media dan Informasi Kedutaan Amerika Syarikat Harvey Sernovitz yang meminati  ayam percik dan rendang setelah bertugas di Malaysia sejak dua tahun lepas.
“Thank you so much for the hospitality!  We look forward to continuing our excellent relationship with Bernama,” kata beliau dalam emelnya hari ini.
Wakil Suruhanjaya Tinggi Australia Elizabeth Wright, yang baru bertugas di Malaysia, juga menghargai kemesraan dan layanan baik yang diberikan kakitangan Bernama.
“It was great to meet you and your colleagues. I look forward to working with you in the future,” kata setiausaha kedua suruhanjaya tinggi itu dalam emelnya.

Thursday 29 August 2013

‘Bekwah’ bersejarah …

SALAM HORMAT! RIBUAN TERIMA KASIH KPD SEMUA WARGA BERNAMA YANG TELAH MENJAYAKAN MAJLIS HARI RAYA BERNAMA DI HOTEL GRAND SEASONS HARI INI. SYABAS!” – Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong dalam catatan menerusi WhatsApp Bernama ED-Team pada pukul 7.50 malam ini.
Ucapan ini jelas menggambarkan betapa leganya beliau setelah selesai majlis yang berjalan lancar dan menjadi ingatan dalam sejarah organisasi.
Inilah kali  pertama Bernama mengadakan majlis sambutan Aidilfitri secara besar-besaran sejak penubuhannya 45 tahun lepas.
"Majlis ini bagi meraikan dan menghargai pihak berkepentingan dan para petugas Bernama yang selama ini bertungkus-lumus berusaha bagi memastikan Bernama mencapai apa yang diperolehi sekarang," kata Datuk Yong.
Kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memeriahkan majlis.
Beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada empat bekas petugas Bernama yang telah dan akan bersara daripada perkhidmatan masing-masing.
Mereka ialah Encik Abdullah Mohamad, 58, yang telah berkhidmat selama 24 tahun sebagai pengawal keselamatan dan pembantu tadbir Puan Ambia Tawil, 54, yang berkhidmat selama 32 tahun dan akan bersara pilihan pada 1 November ini.
Dua lagi ialah Puan Rodziah Idris, 46, telah berkhidmat selama 18 tahun dan jawatan terakhir sebagai setiausaha di pejabat timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa dan Encik Jackson Sawatan, 48, berkhidmat selama 19 tahun di Bernama dengan jawatan terakhir Editor Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris di Perkhidmatan Berita Dalam Negeri.
Pada majlis itu, Datuk Seri Ahmad Shabery mengambil peluang beramah mesra dengan para petugas Bernama sambil menikmati juadah Hari Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Wanita
Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan turut menghadiri majlis yang diadakan dari 12 tengah hari hingga 6
petang itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta para pegawai kanan dari jabatan-jabatan dan agensi kementerian turut hadir. Wakil dari sektor korporat, media serta kedutaan asing juga memenuhi undangan.  
Duta Khas Infrastruktur Bagi India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar, bekas
Menteri Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali turut hadir.
Pengasas Bernama Datuk Abdul Wahab Majid, dua bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Datuk A. Kadir Jasin serta tiga bekas Pengurus Besar -- Datuk Hasnul Hassan, Datuk Syed Jamil Jaafar dan Datuk Seri Azman Ujang serta bekas pegawai latihan ketika Bernama ditubuhkan pada tahun 1968, Datuk Manaf Abdul Hamid, yang kemudiannya berkhidmat dengan Wisma Putra juga hadir.   
Antara 'sifu' lain yang kelihatan ialah Encik Zainoor Sulaiman, Encik Kuah Guan Oo dan Haji Mahrus Ibrahim.

Suasana Hari Raya terserlah dengan kebanyakan petugas dan tetamu yang hadir mengenakan baju Melayu dan baju kurung di samping lagu Raya didendangkan sepanjang majlis berlangsung.
Pemidang khas bertulis ‘Majlis Mesra Hari Raya’ berserta logo Bernama dan perkataan ‘2013’ dipasang di luar dewan untuk  para petugas dan tetamu bergambar kenangan.
Para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dari kalangan petugas Bernama dalam pertandingan video kreatif turut menerima hadiah yang disampaikan Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman pada majlis itu.
Mereka ialah Haliza Iberahim (pertama), Amarul Nakhim Ahmad (kedua) dan Abu Bakar Mohamad (ketiga).

Wednesday 28 August 2013

Paceri terung, ikan masin buka selera...


Ramai yang memuji keenakan paceri terung berserta nasi dan ikan masin yang disediakan dalam majlis Hari Raya anjuran Unit Pemandu dan Keselamatan Bernama hari ini.
Asam pedas ikan cencaru, ayam masak merah dan kari daging turut membuka selera para ‘tetamu’ dari bahagian-bahagian lain termasuk Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh.
Laksa, aiskrim dengan tapai dan kuih-muih menjadi ‘pencuci mulut’ majlis itu yang merupakan acara ‘tradisi’ sejak beberapa tahun lepas.
Encik Ishak Desa, yang ditugaskan menyediakan makanan daripada  kutipan bersama anggota-anggota kedua-dua unit berkenaan, gembira dengan kehadiran ramai petugas Bernama.
“Alhamdulillah,  dapat juga berkongsi rasa…kalau nak pergi rumah saya jauh,” katanya mengenai masakan yang disediakan oleh isterinya.
‘Tapai disediakan oleh saudara Isa Samek,” kata Encik Ishak, 55, yang telah berkhidmat dengan Bernama selama 19 tahun. 
Selain merapatkan silaturahim, majlis seumpama itu mencerminkan kemesraan di kalangan warga Bernama. 
Walaupun Datuk Yong dan Datuk Zulkefli mulanya 'terlekat' di satu mesyuarat di kementerian, namun mereka tetap bertandang memenuhi undangan ke majlis  itu.
Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah, merangkumkan suasana menerusi catatannya dalam WhatsApp: “Very sedap. Good food, good company, good conversation.” 

Gotong royong meriahkan kenduri kahwin…



Perancangan rapi amat diperlukan untuk mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan anak sebagaimana dialami Penolong Editor Meja Penyuntingan Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Haji Hammad Wariman.
Dalam kesempatan berkomunikasi melalui Facebook dengannya pagi ini, jawapan beliau apabila ditanya perasaannya setelah selesai mengadakan majlis berkenaan, cukup mendalam walaupun ringkas. 
Penat dan rabak.
Apabila dinyatakan bahawa banyak barakahnya majlis itu, Haji Hammad berkata: “Alhamdulillah.semua berjalan lancar...tetamu bertali arus.”
Majlis diadakan di Rantau Panjang, Seberang Perai Utara pada 17 Ogos.
Katanya, banyak perkara yang tidak dapat dilupakan seperti mengatur adik beradiknya untuk melayan tetamu terutama rombongan dari keluarga menantunya.
“Pendekatan ini mengikut sunnah…tetamu mesti dilayan, tak boleh dibiar hanyut,” katanya.
Itulah pertama kali bagi Haji Hammad dan isterinya Badariah Hamid mengadakan majlis perkahwinan anak walaupun mereka berdua telah banyak kali terlibat dalam majlis-majlis seumpamanya untuk ahli keluarga yang lain.
Anak keduanya Muhammad Hazwan, 24 bertemu jodoh dengan Nur Athirah Ayu.
Muhammad Hazwan, lulusan Universiti Toyohashi, Jepun, kini bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan Jepun di Damansara.
Haji Hammad mempunyai lima anak lelaki dan seorang anak perempuan -- anak bongsu, berusia 15 tahun.
Ketika ditanya apakah pengalaman yang dapat dikongsi, beliau berkata: “Pendekatan mengadakan kenduri mengikut kemampuan tetapi meriah.”
Selain bermesyuarat dengan anggota jawatankuasa kampung, beliau juga mengadakan sesi percambahan fikiran dengan adik beradik, teman rapat serta mengatur tugas masing-masing.
Kerja-kerja dilakukan secara gotong-royong dan tidak menggunakan khidmat catering.
“Adik beradik dan teman di kampung banyak membantu…masing-masing ada bakat di bidang masakan, menghias, reka hidangan…” katanya.
Untuk kenduri, seekor lembu seberat 100kg dan 50 ekor ayam digunakan manakala nasi daripada beras beriani basmathi dan beras Jati.
 “Saya buat kenduri di kampung, memandangkan adik beradik, sanak saudara, sepupu dan anak saudara sebelah saya dan isteri mencapai jumlah 600 orang,” katanya.

Tuesday 27 August 2013

A Merdeka Procession With A Difference...

The 56th Merdeka Day procession on Aug 31 promises to be different from previous years' in line with its theme 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku', said Communications and Multimedia Ministry secretary-general Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

"The difference is that we will highlight military equipment to show the people and the world that we are ready to defend our nation in any eventuality.
"In the past, we focused on elements of culture and understanding, this year we will stress on patroitism...that Malaysia is a sovereign country which we are prepared to defend to the last drop of our blood," he said.
Kamaruddin who is also the 56th National Day and 50th Malaysia Day Celebrations Committee chairman was speaking in the 'Malaysia Hari Ini' programme on TV3 this morning.
He said the national day celebration would have a parade put up by 16,000 members of the security forces apart from reciting the Rukunegara by 56 generation Y youngsters as well as human formations at Dataran Merdeka.
On the eve of Merdeka, the Putrajaya International Fireworks competition will be held at the Putrajaya Maritime Centre.
"That night, there will also be a concert featuring leading local artistes while the Prime Minister will join the countdown to Merdeka Day," he said.
Other activities included raising the national flag campaign which was launched by Datuk Seri Najib Tun Razak in Sungai Petani on Aug 16 as well as a 'Unity and Harmony' concert between Malaysia and Indonesia at Dataran Merdeka two nights ago.
He said there would be many more programmes held at state-level to foster patroitism such as merdeka speech competition, house and business premises decorations as well as a video clip contest on how Malaysians celebrate independence day.
"These celebrations are to remind the people that independence did not come on its own but through our struggles and the people should be vigilant in protecting the country's independence," he said.
For Malaysia Day celebration, Kamaruddin said the country's golden jubilee would be celebrated in the morning in Kuching and at night in Kota Kinabalu on Sept 16.
"Unlike previous years when the celebrations were either held in Kuching or Kota Kinabalu, Malaysia Day will be held at the two places on the same day," he said.
The celebration in Kuching will be attended by the Yang di-Pertuan Agong while the Prime Minister will be at the Kota Kinabalu celebration.
"In Kuching, there will be a regatta on Sungai Sarawak on Sept 15 night with a procession of decorated boats," he said.

An encouraging contest...


Held for the first-time, the Bernama Creative Video Competition could be considered a success with participation from staff and outsiders.
Judges were shown the clippings today as they evaluate the content to choose the winners.
A total of 24 entries from Bernama and 25 from outsiders was judged by the three-man panel comprising Editor-in-Chief Datuk Zulkefli Salleh and his deputies, Datuk Zakaria Abd Wahab (General News Service) and Ahmad Zukiman Zain (International News Service).
The competition which ran from July 1 until August 24 was opened to all
Malaysian citizens above 12 years old and residing in the country.
Participants were required to submit entries that convey positive message to the public based on the following themes:
i.   Do Not Litter
ii.  Say No To Smoking
iii. Spirit of Neighbourliness, and
iv. Road Safety.
Bernama Portal Services Division Manager Mastura Hassan said the contest, to be followed with a Merdeka-related video competition, had generated encouraging support.
“When we enquired from an outside party which had jointly organized such a competition involving schools, the entries they received was at most 25,” she said.
She said the top three winners from Bernama will receive their prizes during Bernama’s Open House event at the Grand Seasons Hotel in Kuala Lumpur this Thursday.
The winners from among the outsiders would be notified to receive their prizes at a later date.
The prizes include cash and hamper with the top winner in both categories get to stay at the Lake View Belum Rainforest Resort.
The sponsors were Emkay, Scomi, Palace of Golden Horses,  Seng Heng, Bank Rakyat, Berjaya, Malakoff, Avon, Perodua, Takaful Ikhlas,  PHB, Mariott Putrajaya, KFC, Cititel Penang, Lafarge, Mutiara Johor Baharu,Pullman Putrajaya, Nestle, Touch & Go and 1 Utama.

Monday 26 August 2013

‘Bidan terjun’ bersuara ….

Wartawan Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Azlee Nor Mahmud bagaikan ‘bidan terjun’ apabila dimaklumkan bahawa beliau perlu membuat laporan secara lintas langsung untuk Bernama Radio24.
Ketika itu, beliau dalam perjalanan untuk membuat liputan mengenai Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) Universiti Kebangsaan Malaysia di Tanjung Kesang dekat Mersing.
“Mula-mula gementar juga tetapi kemudiannya ok,” kata Azlee yang baru setahun diserapkan sebagai petugas tetap setelah menjadi stringer lebih dua tahun dengan PBE.
Selain mengenai Ekomar, Azlee melaporkan situasi terkini Kembara Mahkota Johor (KMJ) dalam lintas langsung hampir lima minit dengan Bernama Radio24 pagi ini.
“Ini adalah pengalaman berguna,” kata Azlee yang tidak melepaskan peluang  bergambar di samping motosikal berkuasa besar milik Sultan Johor Sultan Ibrahim. 
Dalam melebarkan jangkauan kandungan berita Bernama, para wartawan perlu bersedia melakukan ‘multi-tasking’ untuk membuat lintas langsung bagi Bernama Radio24 serta  Bernama TV.
Keperluan ini ditekankan terutamanya kepada para pewarta Bernama yang ditempatkan di luar negara serta para wartawan yang bertugas di seluruh negara.
Azlee, 33, yang berpengalaman bekerja dalam bidang pengiklanan sebelum menyertai Bernama berkata beliau gembira bekerja di Bernama kerana ia lebih terjamin serta mempunyai faedah kerja yang menarik.
“Kalau boleh saya hendak bekerja sampai pencen,” kata lulusan kewartawanan Universiti Teknologi MARA (UITM) itu.
Dalam lawatan itu bersempena program KMJ 2013, Sultan Ibrahim meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai Ekomar yang  mula beroperasi  pada 29 Mac tahun lepas.
Ekomar merupakan sebuah pusat untuk menggembleng penyelidikan dalam bidang ekosistem marin yang menjalankan penyelidikan bersifat rentasan disiplin ilmu merangkumi sains tulen, sains sosial, sains kesihatan, ekonomi dan kejuruteraan.



Sunday 25 August 2013

Bernama 'universiti' sebenar …

Menemuramah sumber berita adalah perkara lumrah bagi seseorang wartawan tetapi apabila beliau pula yang ditemubual, perasaan gemuruh tetap terasa.
Inilah pengalaman yang dilalui Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Ahmad Zukiman Zain ketika muncul dalam program “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 yang disiarkan secara langsung pagi ini.
“Biasanya wartawan yang interviu orang tapi kali ini terbalik… ini satu pengalaman yang baru bagi saya walaupun perkara seperti ini adalah sesuatu yang harus kita hadapi,” katanya kepada peneraju Wan Yuzaini Wan Yahya.
“Mendengar siaran yang lepas-lepas, ada juga tergerak hati kenapa kita tidak  share (kongsi) pengalaman…dulu ada tradisi lisan dari satu generasi ke generasi lain yang kita belajar dan saya anggap siaran ini untuk berkongsi pengalaman selama berkhidmat dalam organisasi ini,” katanya.
Beliau menyertai Bernama sebagai pemberita kadet pada tahun 1980, dua tahun selepas menamatkan persekolahan di Victoria Institution Kuala Lumpur.
“Ketika memohon masuk Bernama, saya tak tahu apa sebenar kerjanya…tengok dalam suratkhabar iklan cadet reporter dengan kelulusan M.C.E. dan baik dalam matapelajaran bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris,” katanya.
Setelah berjaya dalam temuduga yang turut meliputi ujian bertulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, beliau mula bekerja tanpa sebarang asas kewartawanan tetapi menimba pengalaman daripada tugasan demi tugasan yang dilakukan.
“Pekerjaan yang saya minta secara suka-suka akhirnya saya jadi suka…ia bukan setakat menjadi kerja tetapi kerjaya yang mendewasakan saya,” kata Zukiman yang terus berkhidmat dalam organisasi ini setelah 33 tahun.
Pengalaman sebagai wartawan memberikan beliau peluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat “dari perdana menteri sehinggalah orang biasa” dan  ini mewarnai kehidupannya.
Ketika ditanya apa yang mendorongnya untuk belajar dalam kesibukan bekerja, beliau berkata kehendak dan keperluan semasa mendesak kita supaya memahirkan diri, mencari ilmu supaya kita boleh tampil dengan lebih baik dalam pekerjaan.
“Saya terhutang budi kepada UITM (ketika itu ITM), kerana membuka Kajian Sebaran Am untuk penuntut luar kampus…saya adalah kumpulan pertama KLK (Kajian Luar Kampus)nya pada tahun 1986,” katanya.
Setelah memperolehi ijazah sarjana muda (kewartawanan) dari UITM pada tahun  1990, beliau membuat keputusan untuk menyambung belajar selepas 10 tahun dan  memperolehi ijazah sarjana dalam bidang komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun  2002, juga secara sambil bekerja.
“Walaupun ada kelulusan dari UITM dan sarjana dari UPM tetapi universiti saya sebenar ialah Bernama...banyak saya belajar melalui Bernama,” katanya yang dihantar bertugas di Kelantan pada tahun 1982 selepas pendedahan awal di ibu pejabat.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua biro Melaka pada tahun 1984, pewarta Singapura (1993 hingga 1996) dan merupakan anggota kumpulan perintis perkhidmatan audio-visual  pada November 1999 yang menjadi asas kepada penubuhan Bernama TV.
Zukiman juga ditanya mengenai pengalamannya menyertai Press Fellowship di Universiti Cambridge pada tahun 2004 setelah mendapat anugerah Chavening dari kerajaan British.
Menurutnya, fellowship selama satu penggal (selama 10 minggu) di universiti   ulung itu adalah untuk kajian bertajuk “The profiling of Muslims by the British media” memandangkan ‘Islamophobia’ terus membelenggu masyarakat Barat ekoran peristiwa 11 September 2001.
Ketika ditanya bagaimana beliau membahagi masa untuk belajar sambil  bekerja, Zukiman berkata kita tidak boleh berhenti belajar jika ingin memperbaiki diri kita.
“Ia juga manifestasi mengenai peluang yang luas untuk melanjutkan pelajaran di negara kita…tepuk dada tanya selera.
“Semasa saya belajar dulu, bukan sebab Bernama suruh pergi belajar tetapi sebab peluang itu ada walaupun ketika itu tiada kemudahan canggih seperti  internet.
“Kita tidak boleh rest on our laurels,  cukup dengan apa yang kita ada dari segi ilmu.
“Saya datang dari generasi mesin taip yang langsung tidak mengetahui mengenai komputer pada mula-mula diperkenalkan dan terpaksalah belajar kerana ia keperluan.
“Sebab itu di Bernama, kita ada Bernama School of Journalism yang mempunyai  pelbagai modul untuk memahirkan lagi wartawan-wartawan mengenai selok belok penulisan berita.
“Kursus-kursus ini dikendalikan oleh wartawan-wartawan kanan, malah Pengurus Besar Datuk Yong (Soo Heong) dan Ketua Pengarang (Datuk Zulkefli Salleh) sendiri turun padang untuk mengajar.
“Memang harapan orang lama seperti kami ini untuk berkongsi ilmu…bayangkan kalau organisasi kita ini mempunyai tenaga yang competent (cekap), organisasi kita dengan sendiri akan lebih berketerampilan,” katanya.

Saturday 24 August 2013

Ba’raan erat semangat kejiranan…

Dalam suasana Aidilfitri yang masih dirasai, banyak rumah terbuka diadakan di hujung minggu ini bagi mengeratkan silaturahim. Ada juga acara ba’raan sepertimana diadakan di rumah Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Zakaria Abd. Wahab.
“Acara ba’raan (bukan karaoke) baru berakhir di rumah saya dan jiran tetangga,” katanya menerusi WhatsApp Bernama ED-Team malam ini.
“Acara ba’raan adalah amalan yang semakin tidak diamalkan lagi iaitu menziarah dari rumah ke rumah jiran untuk mendoakan kesejahteraan tuan rumah, membaca salawat ke atas nabi dan mengucapkan Selamat Hari Raya. Tahun depan mungkin BTV boleh cover untuk jurnal,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio24 Azlan Idris berkata beliau pernah menerbitkan sebuah dokumentari 30 minit mengenainya semasa di Channel 9.
Penggambaran ketika itu di Kuala Langat.
“Ya benar, satu tradisi kejiranan yg semakin dilupakan,” katanya dalam WhatsApp berkenaan.

Semangat berpasukan .....

Kursus Teambuilding kendalian Encik Ahmat Abdul Wahab, pengarah operasi audio visual, diadakan bagi membentuk persefahaman dan kerjasama antara petugas Bernama. 
Kursus ini telah dijalankan di Puteri Resort, Ayer Keroh Melaka selama tiga hari bermula dari 22 sehingga 24 Ogos 2013. Seramai 30 orang peserta dan dua orang urusetia terlibat dalam kursus ini.
Pada permulaan kursus, Encik Ahmat bertanya kepada para peserta mengenai harapan (expectation) para peserta setelah kursus tamat nanti. Rata-rata jawapan yang diberikan adalah memenuhi keperluan objektif kursus. Menjadi berani, berpendirian tetap, meningkatkan mutu kerja, pro-aktif, mempunyai kemahiran interpersonal, membuang sifat malu dan membina semangat setiakawan adalah antara jawapan yang diberikan oleh para peserta.
Modul kursus yang dirangka oleh Encik Ahmat kebanyakannya berbentuk soalan menguji minda dan juga permainan dalaman (indoors). Sebagai contoh, soalan mengenai bilangan pokok yang boleh tumbuh daripada sebiji buah epal.
Soalan ini sebenarnya memerlukan para peserta supaya menyiasat sesuatu permasalahan itu dengan teliti agar jawapan yang dicari bersandarkan maklumat yang betul dan bukan hanya sekadar andaian semata-mata.
Selain itu, Encik Ahmat menyediakan beberapa soalan menguji minda yang lain seperti 4 Bayang Di Kolam, 6 Minit Ke Switzerland, Ayam dan Telur dan banyak lagi. Walaupun banyak aktiviti dalaman, ada juga aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal seperti merebut kasut, membina menara spaghetti dan membungkus telur.
Sebagai seorang tenaga pengajar yang berpengalaman, Encik Ahmat bijak menangani perselisihan faham yang berlaku antara para peserta. Perkara sebegini sering timbul dalam permainan outdoor yang melibatkan tenaga fizikal seperti Crossing River dan Water Transport.
Encik Ahmat telah memilih dua permainan ini kerana ia berkonsep kerjasama antara para peserta dan menguji kebijaksaan seorang ketua untuk mengendalikan anak buahnya. Selain itu, dua permainan ini juga dipilih kerana tidak memerlukan daya fizikal yang tinggi. Justeru, para peserta yang mempunyai masalah kesihatan tidak serius boleh turut serta dalam aktiviti berkenaan.
Sebelum berakhirnya kursus, Encik Ahmat  melahirkan rasa bangganya atas pencapaian peserta kali ini. Beliau turut memberikan beberapa nasihat sebagai mutiara kata. 
Menurut beliau, peserta kursus kali ini menyiapkan tugasan dengan tempoh masa yang lebih panjang berbanding peserta-peserta kumpulan sebelumnya. Ini adalah sesuatu yang perlu diperbaiki lantaran waktu serahan tugas atau deadline adalah sesuatu yang amat penting.
Kesimpulannya, kursus Teambuilding kali ini berjalan dengan lancar dan baik sekali.
Para peserta melahirkan rasa gembira mereka melalui borang penilaian latihan yang diberikan. Kebanyakan daripada mereka merasakan kursus ini amat baik sekali untuk diikuti oleh semua petugas Bernama agar dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat selain dapat meningkatkan kemahiran untuk bekerja dalam satu pasukan dengan lebih berkesan.

Laporan disediakan oleh:
RIDZUAN MOHD GHAZALI,
Eksekutif Latihan, Pusat Kecemerlangan BERNAMA