Thursday 28 November 2013

Lawatan MBAM ke Bernama .....


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menerima kunjungan daripada Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) yang diketuai oleh Presidennya, Matthew Tee petang ini.

Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh dan Pegawai Kanan Jabatan Pengarang meraikan kehadiran rombongan ini. 

Tujuan kunjungan MBAM ini adalah untuk mengenali operasi BERNAMA dengan lebih dekat serta berbincang mengenai peranan MBAM.

Rombongan MBAM ini turut dibawa meninjau operasi Jabatan Pengarang, BERNAMA Radio24,  Pusat Maklumat & Perpustakaan dan BERNAMA TV.




Laporan dan foto Bahagian Komunikasi Korporat

Wednesday 27 November 2013

Janda Baik destinasi menarik fotografi...



Janda Baik, sebuah kawasan perkampungan di negeri Pahang, merupakan destinasi pelancongan yang amat menarik . Dikelilingi rimbunan pokok, bukit-bukau, air terjun serta sungai yang jernih, ia begitu sesuai dijadikan lokasi program latihan selain tempat rekreasi. 
Bertemakan alam semulajadi, sekumpulan 20 peserta terdiri dari 16 petugas Bernama dan empat orang dari Malaysia Productivity Corporation, Jabatan Warisan Negara, Aswara dan Jabatan Muzium Malaysia mengikuti bengkel ‘Fotografi Lanjutan’ selama 3 hari di Cheringin Hills Convention Resort bermula 14 November 2013.
Bengkel yang menjurus ke arah latihan secara praktikal dikendalikan oleh Haji Mustaza Mohd Yusoff, Ketua Unit Foto,Bernama dibantu oleh jurufoto Shahrizan Jeffri.
 
Tiga aspek menjadi tumpuan peserta sepanjang bengkel. Pertama, mengaplikasi hal-hal teknikal seperti depth of Field, slow/fast shutter speed, flash dan shadow bagi tujuan pengambilan foto berkualiti.
Kedua, mengenalpasti objek atau suasana yang hendak digambarkan, antaranya, tumbuh-tumbuhan, serangga/unggas, landskap seperti air terjun, sungai, pemandangan di siang hari, senja dan ketika waktu malam di samping merakam aktiviti penduduk di kampung berdekatan.
Peserta dibahagikan secara berkumpulan. Setiap peserta dikehendaki mendapatkan gambar terbaik berdasarkan kreativiti masing-masing.
Foto mereka kemudian dianalisa dan diberi komen oleh kedua-dua tenaga pengajar. Menurut Shahrizan, pengambilan gambar mengenai pemandangan perlu ada komposisi dan menggunakan rule of third (peraturan ketiga) iaitu perlu tahu tujuan dan jenis foto bagaimana patut diambil.
Beliau menunjukkan contoh pelbagai foto pemandangan yang diambilnya sebagai perbandingan kepada peserta.
Uniknya bengkel seperti ini kerana ia turut meliputi teknik mempelajari rakaman video menerusi kamera secara teori dan praktikal.
Sesi memahami peralatan kamera dikendalikan dengan kerjasama wakil dari Nikon Malaysia. Peserta diberi kefahaman tentang jenis dan perbezaan pada kad memori, penggunaan bateri dan perisian seperti Adobe Premier & Windows Video Maker untuk  penyuntingan video.
Bagi aktiviti luar (outing) pula, peserta dibawa  ke kawasan berhampiran Sungai Benus, di pinggir perkampungan.
Kandungan bengkel tersebut merupakan sebahagian dari modul Kewartawanan Foto di bawah program Bernama School of Journalism.
Selaku wartawan versatile (serba boleh), pengetahuan dan kemahiran mengambil foto dan video diperlukan agar mereka dapat melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan. 

Oleh Syed Khedher Ismail

Tuesday 19 November 2013

Meningkatkan kemahiran IT...



Kebanyakan pengguna internet sering mengalami kesukaran  mendapatkan maklumat dengan tepat melalui Google atau Yahoo.
Justeru, bengkel ‘Google-Fu’ diadakan di Pusat Kecemerlangan hari ini, antara lain, bagi menerangkan cara lebih mudah mencari maklumat yang dikehendaki dengan mengaplikasikan teknik yang berkesan.
Empat belas petugas termasuk Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Datuk Zakaria Abd.Wahab menyertai bengkel tersebut yang dikendalikan oleh Encik Mohamad Nizam Kassim, Penganalisa Kanan, Keselamatan Siber dari Cybersecurity Malaysia.
Tiga aspek utama dalam carian maklumat ditonjolkan iaitu ‘recall & precision’ yang menyentuh tentang keputusan carian  (search results); ‘look up & learn search modes’ mengenai teknik sesuai diguna manakala ‘right keyword’ memfokuskan ke atas tindakan kreatif individu mengenalpasti dan memperolehi maklumat dengan lengkap.
Peserta berpeluang mencuba ‘Google Advanced Video Search’ selain meneliti laman perkongsian video seperti You Tube. Dengan hanya menaip ‘keyword’ atau ‘command’ tertentu, maklumat terus diperolehi.
Carian maklumat ke atas personaliti dan saluran media sosial seperti blogspot, facebook dan Twitter serta rangkaian internet turut diterangkan oleh Nizam secara terperinci selain latihan tubi di kalangan peserta.
Memandangkan peserta memberikan maklum balas positif,  Encik Shamir, Ketua Komunikasi Korporat, Cybersecurity Malaysia bercadang mengadakan bengkel susulan. Kursus itu nanti akan mengambilkira aspek kesedaran dan langkah diperlukan dalam menangani isu penggodaman (hacking).
Beliau berharap Bernama bekerjasama dengan Cybersecurity memperluaskan lagi program kesedaran keselamatan kepenggunaan IT kepada orang ramai.
Menurutnya, Cybersecurity Malaysia memainkan peranan penting di peringkat global di mana sejak enam tahun kebelakangan, selaku Sekretariat Teknologi Maklumat OIC, ia telah melaksanakan pelbagai program ke arah keselamatan siber dalam kalangan negara–negara Islam.
Ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi reputasi Malaysia di kacamata dunia.              


(Laporan dan foto Syed Khedher Ismail)

Tuesday 12 November 2013

Unitar sertai bengkel komunikasi ...




Unitar, satu-satunya universiti tempatan yang menjadi perintis dalam ‘virtual learning’ (pembelajaran maya) menyertai bengkel khas anjuran Bernama bertemakan ‘High Impact Communications Skills’ di Pusat Kecemerlangan, Wisma Bernama, hari ini.
Bengkel tersebut disertai 20 kakitangan universiti berkenaan termasuk empat professor dan beberapa ketua bahagian. Ketua Pengawai Eksekutif Unitar,  Encik  Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi dan Ketua Pegawai Operasi & Kewangan, Encik Lukman Musa turut meluangkan masa meninjau operasi Bernama TV dan Jabatan Editorial serta bertukar-tukar pandangan ketika jamuan tengah hari bersama pegawai-pegawai kanan Bernama.  
Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong dalam sesi mukadimah bengkel berkongsi pengalamannya dengan para peserta mengenai pelbagai peristiwa semasa dan cabaran-cabaran yang dilalui oleh Bernama dalam menulis laporan berita  serta menterjemahkan artikel.
Ketika ditanya pendapatnya oleh seorang peserta bengkel, Datuk Yong menghargai perancangan Unitar untuk menceburi bidang pemakanan. Menurut beliau tidak banyak rangkaian bisnes masakan Melayu di bidang perhotelan atau restoran dalam ataupun di luar negara. Justeru, ia satu ide yang bagus dan menunjukkan Unitar mampu mempelbagaikan aktivitinya.
Editor Meja Berita Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN), Khairdzir Yunus membicarakan aspek komunikasi krisis sebelum peserta berpeluang melihat dengan lebih dekat operasi Bernama Radio24. 
Melalui saluran radio Bernama, Unitar boleh mengenengahkan pelbagai jenis program yang hendak diwar-warkan kepada orang ramai.
Sesi berikut yang ‘ditunggu-tunggu’ oleh peserta ialah simulasi mengenai sidang akhbar yang dikendalikan oleh Editor Tugasan Bernama TV Abd.Rahman Ahmad. Ketua Bahagian Korporat Komunikasi, Ahmad Hafiz Osman berperanan selaku ‘CEO UNITAR’ bersama Prof.Dr.Sakina Sofia, Prof.Dr.Abd.Razak dan Prof.Dr.Muhamad Naim menjawab soalan-soalan dari wartawan Bernama. 

Syed Khedher Ismail


Thursday 7 November 2013

Bernama anjur peraduan esei ...




Bernama akan menganjurkan pertandingan menulis esei khusus bagi pelajar sekolah demi melahirkan bakat baharu dalam bidang kewartawanan.
Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong berkata pertandingan itu akan diadakan awal tahun depan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah manakala bentuk penulisan bermotifkan semangat patriotisme atau nilai murni.
"Bernama harus mengambil langkah proaktif untuk memfokuskan tentang kewartawanan. Bernama harus bermula dari sekarang agar beberapa tahun lagi kita dapat calon yang benar-benar meminati dunia kewartawanan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif dan Video Karaoke Patriotik sempena ulang tahun Kemerdekaan ke-56 di Wisma Bernama.
Menurutnya kejayaan program 'Teach For Malaysia' melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hutchings Pulau Pinang bulan lepas membuka matanya untuk mengadakan pertandingan menulis esei itu.
“Apabila Bernama memberi pendedahan mengenai dunia kewartawanan mereka menunjukkan minat yang sangat tinggi. Daripada reaksi yang diberi mereka dapat membuat imaginasi untuk menulis dari segi kewartawanan," katanya.
Mengulas mengenai pertandingan Video Kreatif serta Video Karaoke Patriotik anjuran Bernama, Datuk Yong berpuas hati dengan sambutan yang diberi.
Beliau berharap perancangan jangka panjang dibuat untuk memastikan sambutan lebih meriah pada tahun hadapan.
Juara Video Kreatif Patriotik kategori Bernama dimenangi oleh Hussin Sulaiman dari Meja Berita Ekonomi manakala kategori awam dirangkul oleh Idrasyaabani Idris dari Melaka.
Masing-masing membawa pulang hadiah kejuaraan bernilai RM3,160 serta RM3,280 dalam bentuk wang tunai serta baucar penaja.
Juara Video Karaoke Patriotik Kategori Bernama dimenangi oleh Wan Asmanizan Wan Najib daripada Bahagian Portal manakala kategori awam pula dimenangi oleh Siti Normasyitah Mohd Yusof dari Kedah.
Mereka membawa pulang hadiah kejuaraan bernilai RM4,080 serta RM4,295 dalam bentuk wang tunai dan baucar daripada pihak penaja.
Hadiah disampaikan Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman serta Datuk Yong.
Sebanyak 60 penyertaan diterima untuk pertandingan tersebut bermula September lepas.
Senarai penuh pemenang:

 Video Kreatif Merdeka ( BERNAMA )
 Tempat Pertama   : Hussin Sulaiman
Tempat Kedua      : Ridzuan Mohd Ghazali
Tempat Ketiga      : Baharudin Jalil
Tempat Keempat  : Farhana Yusof
Tempat Kelima      : Suhendri Mohd Daud
 
Video Karaoke Patriotik Merdeka ( BERNAMA )
 Tempat Pertama   :  Wan Asmanizan Binti Wan Ahmad Najib
Tempat Kedua      :  Suriani Razali
Tempat Ketiga      :  Baharudin Jalil
Tempat Keempat  : Yussa Yunus
 Tempat Kelima    :  Hamdanawal Muhamad Sukri

Video Kreatif ( Luar )
 Tempat Pertama  :  Idrasyaabani Idris
Tempat Kedua     :  Muhammad Najib Mohamad Supian
Tempat Ketiga     :  Ahmad Ishak
Tempat Keempat :  Salihin Marlizan
 Tempat Kelima   :  Noor Azrina Abdul Hamid

Video Karaoke Patriotik Merdeka ( Luar )
 Tempat Pertama  :   Siti Nurmasyitah Mohd Yusof
Tempat Kedua     :   Noor Hartini  Abdul Hanid
Tempat Ketiga     :   Siti Aisya  Suboh
Tempat Keempat :   Wan Muhammad Afif Wan Yusuf
Tempat Kelima     :   Dyana Zolkapri