Sunday 31 August 2014

‘Betul, Betul, Betul’….sambutan Merdeka istimewa dan bermakna


Kira-kira 400,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka pagi ini bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 yang turut menampilkan ikon animasi negara, Upin dan Ipin sebagai tarikan utama.
Watak animasi popular itu diketengahkan dalam acara paling utama kemerdekaan negara bagi meraikan kejayaan Malaysia meneroka bidang baharu seperti industri kreatif.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Upin dan Ipin kini menjadi harta intelek negara yang telah menembusi pasaran antarabangsa dan ini merupakan sesuatu yang harus rakyat banggakan .
Kemunculan mereka juga bagi menarik minat generasi muda terutama kanak-kanak sebagai penyambung warisan bumi tercinta ini selaras tema sambutan “Malaysia…Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”.
"Ia menjadikan sambutan kemerdekaan bukan lagi semata-mata tugas ibu bapa membawa anak-anaknya, tetapi anak-anak yang mengajak ibu bapa untuk datang ke dataran ini," kata Ahmad Shabery, yang juga pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan ke-57, selepas acara itu.
Sambutan  di Dataran Merdeka bermula pukul 8 pagi dan tamat kira-kira pukul 10.30 pagi.Namun orang ramai termasuk kanak-kanak, yang ketara ramainya kali ini,  mula hadir sejak 6 pagi dengan penuh bersemangat sambil mengibarkan ‘Jalur Gemilang’.
Ada yang menzahirkan jiwa patriotik  mereka dengan berpakaian yang mempunyai elemen jalur merah dan putih, warna biru serta bulan dan bintang yang terdapat dalam bendera Malaysia.
Cuaca terang melancarkan pergerakan di udara dengan tumpuan kepada  ‘kehadiran’ Bapa Kemederkaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Gambar ikonik Almarhum Tunku Abdul Rahman mengangkat tangan ketika melaungkan perkataan keramat 'Merdeka' pada 31 Ogos 1957 dipaparkan pada Zeppelin (belon udara) yang berlegar di angkasa.
Angka '57' bagi menandakan sambutan yang ke-57 semenjak tarikh keramat 31 Ogos 1957 serta tema sambutan turut diletakkan pada belon udara itu.  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan penghargaan kepada warga Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat yang hadir menyemarakkan sambutan di Dataran Merdeka itu.
"Syabas dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang dengan penuh semangat memeriahkan perarakan Hari Kemerdekaan ke-57 pagi tadi," kata perdana menteri menerusi catatan di laman Facebook beliau.
Sambutan itu bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. .
Mengulas sambutan kali ini yang berlatarbelakang tragedi menyedihkan menimpa negara melibatkan pesawat Malaysia Airlines, Ahmad Shabery berkata rakyat mesti terus bersemangat kental dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang.
"Ia adalah kesederhanaan tetapi tidak bermaksud kesederhanaan dari segi semangat. Semangat mesti kuat, semangat mesti dikentalkan dan kita tak melakukan secara keterlaluan tetapi ia penuh dengan makna.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata walaupun negara masih bersedih dengan tragedi pesawat MH370 dan MH17 Malaysia Airlines, namun semangat rakyat masih kuat untuk menghadapi sebarang cabaran.
"Tak kurang kemeriahan dan semangat rakyat Malaysia (diterjemahkan) dengan (mereka) keluar beramai-ramai ke Dataran Merdeka memang terserlah sekali," katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sambutan kali ini sederhana tetapi cukup untuk menyuntik semangat membina ketahanan bagi menghadapi pelbagai cabaran.
"Kita gunakan sambutan kemerdekaan ini untuk membina kekuatan dalaman kita untuk menangkis segala ancaman dari luar yang cuba menghuru-harakan negara kita," katanya.
Warga emas, Ariffin Saad, 63, yang hadir bersama keluarga berkata tema tahun ini memang tepat pada masanya ketika negara diuji dengan pelbagai dugaan termasuk kehilangan pesawat  MH370 dan tragedi MH17 yang ditembak jatuh.
"Ia sedikit sebanyak menyentuh hati saya terutama sekali selepas pelbagai dugaan yang terjadi. Saya harap tema ini dan sambutan hari ini, dapat melahirkan semangat cintakan negara kepada semua," katanya.
Bagi seorang doktor, S.Darshini, 28, tema sambutan tahun ini yang mengangkat perasaan cinta membawa maksud yang sangat mendalam.
"Tema tahun ini sangat unik sebab unsur cinta yang diterapkan bagi saya bukan sahaja cinta terhadap negara, malah rasa cinta rakyat Malaysia yang berbilang kaum antara satu sama lain," katanya.
Pekerja swasta, Alvin Wee, 27, berkata sambutan kali ini dengan tema yang unik menyuntik semangat luar biasa buat dirinya.
"Tema kali ini mengenai cinta, mengajak kita mencintai sesama kita kerana kita semua rakyat Malaysia dan di sini lahirnya cinta," katanya yang hadir bersama pasangannya.
Bagi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Muhd Shafik Sihat, 18, peluang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaaan itu merupakan satu penghormatan baginya, dan mengajar dirinya untuk menjadi lebih patriotik.
Seorang lagi pelatih PLKN, Nur Syafilah Abd Kahhar, 18, berkata selain penyertaan masyarakat berbilang kaum, program itu sentiasa memberi penekanan terhadap penyemaian semangat patriotisme dan modul berasaskan kenegaraan semasa latihan.

(Foto-foto BERNAMA)

MERDEKA, TERUS MERDEKA



Merdeka, Merdeka, Merdeka!
dalam sinar fajar hari bertuah ini
ayuh kita hayati laungan keramat itu
dengan gema keinsafan
bertunjangkan kesedaran
berpaksikan kesetiaan
dalam sebuah perjuangan
yang menuntut kesinambungan

lebih separuh abad mengecapi kemerdekaan
sewajarnya mengajar kita erti kebebasan
dalam menyusun laluan
melakar peta cita-cita
perjalanan negara menuju wawasan

kemerdekaan ini menghadiahkan kita kekuatan
untuk bersuara di pentas buana
menegur dan membela
memimpin dan membina
sambil memartabatkan keunggulan bangsa

bersama gemuruh laungan keramat ini
mari kita abadikan di tugu ingatan
jerih pengorbanan para pahlawan
yang bermandi keringat dan darah
dalam perjuangan menentang penjajah

meskipun hari ini kita berdiri megah
di tengah jagat penuh cabaran
namun bakti mereka jangan sesekali dilupakan
pesanan mereka usah dihumban ke penjuru zaman
agar kemerdekaan ini dapat dipertahankan
dalam menegakkan ketuanan
di bumi warisan

SHAMSUDIN PUTEH

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-57. Semoga kita terus bebas daripada semua bentuk penjajahan.

Saturday 30 August 2014

Bernama lakar sejarah Merdeka…




Foto BERNAMA
Apabila Perdana Menteri mengajak hadirin berdiri dan mengikut beliau meletakkan telapak tangan kanan mereka di dada sebelah kiri, ia simbolis bertempatnya hati dan perasaan.
“Di sinilah lahirnya sebuah cinta, di sini tersemainya cita-cita yang luhur dan murni demi pertiwi,
“dan di sinilah kita pastikan ia terus menguntum dan mengharum di sanubari satu semangat patriotik yang marak menyala dan menjulang tinggi.
“Sesungguhnya jua kita semua adalah penyambung warisan,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum melaungkan kata-kata keramat MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA,
Laungan itu menggemakan Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang pada malam bersejarah ini dengan  Amanat Merdeka Perdana Menteri yang pertama kali disampaikan secara langsung.
Tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ini ialah "Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta".
Tidak seperti tahun-tahun yang sudah, di mana perutusan Perdana Menteri  dibuat secara rakaman dan kemudian dipancar ke kaca-kaca televisyen, Datuk Seri Najib memilih untuk berucap secara langsung kepada ratusan hadirin di ambang merdeka ini.
Langkah itu sebagai menzahirkan semangat patriotik dan obor perjuangan negara bangsa, dari mata ke mata, hati ke hati, khususnya kepada kira-kira 400 orang termasuk menteri kabinet, pemimpin masyarakat, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil pelajar yang hadir di dewan itu.
Keterujaan Perdana Menteri untuk menyampaikan amanat secara langsung itu dapat dilihat apabila beliau menghantar Tweet semasa dalam perjalanan ke Matic malam ini.
"Ikuti siaran langsung ucapan saya di semua saluran utama sebentar lagi," katanya. 
Disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen bermula pukul 9 malam, majlis itu anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dikelolakan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Tanggungjawab berat itu memerlukan penggemblengan tenaga seluruh warga Bernama. Sepertimana harapan Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong kira-kira 12 jam sebelum acara penting itu bermula.
“Marilah kita membantu satu sama lain untuk mempastikan Bernama berjaya walaupun kita mungkin tidak mempunyai ribuan kakitangan.
Semangat berpasukan akan menentukan kejayaan.
Satu tugas kecil yang dilaksanakan dengan baik akan menjadi perintis kepada tugas yang lebih besar.
“Marilah kita memberi sokongan kepada Zarina Rozali dan pasukannya,  Farhan Mustapha, Adam Jeyabalan, Hakimi, Arul Rajoo, Azemai dan ramai lagi untuk mempastikan malam ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dan kumpulan pengarang yang memberikan input kepada amanat Perdana Menteri.
Kejayaan mengelolakan acara ini menjadi satu lagi sejarah yang dilakarkan oleh Bernama.
Semangat berpasukan jelas kelihatan untuk melakukan yang terbaik bagi organisasi.
Farhan berkata: “Amanat Merdeka ini walaupun hanya secubit tenaga yang dihadiahkan, ianya amat berbaloi.”
“Tema pada tahun ini amat dekat di hati kami sebagai belia dan insyaAllah sekiranya diberikan amanah untuk bersama menjalankan majlis untuk tahun hadapan, sumbangan idea, tenaga dan semangat akan kami sediakan bersama.
“Ini untuk memenuhi segala tugasan demi negara dan pertubuhan yang dicintai,” kata Farhan.
Zarina pula sangat bersyukur semuanya selesai dan berjalan lancar.
"Kerjasama semua amat penting dalam menjayakan sesuatu yang besar seperti ini," katanya.
Majlis itu turut diisi dengan persembahan klip video mengenai Dewan Tunku Abdul Rahman serta pelancaran setem Merdeka oleh Datuk Seri Najib.
Pameran mengenai pelbagai perkhidmatan Bernama juga diadakan selain daripada ruang 'permaidani merah' yang mendapat sambutan hangat. 

Friday 29 August 2014

Istanbul Benita datang ….

 Belon udara dan feri untuk menyusuri malam Selat Bosphorus menunggu rombongan Persatuan Suri dan Anggota Wanita (Benita) Bernama yang akan melawat Istanbul dari 12 hingga 21 September ini.
Seramai 40 orang termasuk lima lelaki akan menyertai program ‘Istanbul Aku Datang’ itu yang menjanjikan pengalaman menyeronokkan dalam suasana Malaysia berhasrat meningkatkan hubungan dengan Turki.
Pengerusi Benita,  Rohana Mustaffa berkata Turki dipilih sebagai destinasi lawatan pada mesyuarat agung persatuan itu 28 Mac lepas.
Dua lagi tempat yang dicadangkan ialah Beijing dan Seoul tetapi majoriti berminat ke kotaraya yang terletak antara Asia dan Eropah itu.
“Filem ‘Istanbul Aku Datang’ dan ‘Taken’ yang menjalani penggambaran di Istanbul mempengaruhi pilihan,” katanya semasa Majlis Hari Raya dan doa selamat untuk program itu di  tingkat 12, Wisma Bernama tengah hari ini.
Filem ‘Istanbul Aku Datang’ terutamanya lakonan Lisa Surihani, Beto Kusyairy dan Tomok ‘membuka mata’  ahli-ahli Benita untuk pergi ke sana, kata Rohana.
Keputusan yang dibuat lima bulan sebelum tarikh lawatan itu bertujuan membolehkan para peserta mengatur perbelanjaan hampir RM5,000 seorang untuk mengikuti rombongan.  
Menurut Rohana, mereka dijangka melawat banyak tempat bersejarah di samping tempat-tempat tarikan pelancong.
Istanbul merupakan antara kotaraya terbesar di dunia dan menarik kerana  kebanyakan penempatannya ialah di Asia manakala pusat komersil dan sejarah terletak di Eropah.
Kotaraya ini terbahagi oleh Selat Bosphorus yang menghubungkan Lautan Hitam dan Lautan Marmara.
Istanbul yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1985 menawarkan pelbagai kesan peninggalan zaman keagungan Islam di Eropah yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Yang paling terkenal ialah Masjid Biru atau nama sebenarnya Masjid Sultan Ahmed, yang mendapat gelaran kerana jubin berwarna biru pada dinding di bahagian dalam masjid tersebut.
Berhadapan dengan Masjid Biru ialah sebuah muzium yang dipanggil Hagia Sophia atau Aya Sofya. Bangunan ini mempunyai sejarah yang teramat panjang bermula sebagai sebuah gereja sebelum dijadikan masjid dan akhirnya dijadikan sebuah muzium pada 1931 hingga sekarang). 
Pengalaman membeli belah di Istanbul juga menjadi perkara yang ditunggu-tunggu oleh para pengunjung ke sana. Grand Bazaar dan Spice Market merupakan dua bazar terbesar dan tertua di Turki.
Hasil kraftangan masyarakat tempatan seperti tembikar, barangan kaca, fabrik, rempah-ratus dan makanan merupakan antara jualan di bazar  tersebut.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang melawat negara itu menyatakan Malaysia mahu mempertingkatkan hubungan dua hala dengan Turki yang meraikan pelantikan presiden baru.
Beliau berharap pelantikan Recep Tayyip Erdogan sebagai presiden ke-12 Turki, akan mempercepatkan proses itu.
Erdogan, 60, berkhidmat selama 11 tahun sebagai perdana menteri Turki sebelum memenangi pilihan raya presiden yang pertama negara yang mempunyai lebih 80 juta penduduk itu pada 10 Ogos lepas.

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta...



Pelbagai cara dapat dizahirkan untuk memperlihatkan kecintaan rakyat kepada negara.
Semangat patriotisme itu semakin dirasai menjelang 31 Ogos – tarikh keramat kemerdekaan negara. 
Setelah 57 tahun berlalu, rakyat dapat mengecapi nikmat pembangunan negara yang merdeka, bersatu-padu dan makmur.
Keamanan dan kesejahteraan negara membolehkan rakyat menyemai cita-cita serta menjejaki segenap pulusuk tanahair untuk menabur bakti.
Biarpun tidak berada di barisan hadapan mempertahankan negara, namun perjuangan untuk bumi tercinta ini boleh dilakukan dengan cara tersendiri.
Ibarat baris pertama lirik lagu ‘Warisan’ nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad --  “Di sini lahirnya sebuah cinta”, kesediaan untuk berjuang itu bermula dari hati.
Inilah juga faktor bagi bait-bait lagu itu diangkat menjadi tema Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 -- 'Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta'.
Tema itu menyentuh mengenai hati dan perasaan.
Dalam menzahirkan patriotisme kepada negara, ia bermula dengan hati dan  seterusnya menggerakkan tingkah-laku kita.
Cinta bagi seorang warga yang patriotik bermula dengan mencintai dirinya terlebih dahulu -- melakukan amalan terpuji dan menjauhi perbuatan keji berpandukan pegangan agama.
Seterusnya rasa cinta itu diperluaskan kepada keluarga dengan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam sistem kekeluargaan.
Daripada rumah, perasaan cinta terus berkembang kepada masyarakat, bermula dengan semangat kejiranan yang begitu dituntut  terutama di bandar.
Dalam masa yang sama, perasaan itu disalurkan pula di tempat kerja bagi mengukuhkan lagi amalan bermasyarakat.
Organisasi tempat kerja amat penting bagi seseorang kerana ia menyemai nilai-nilai persahabatan,  hormat-menghormati dan  menyemarakkan perpaduan.
Semangat berpasukan ini mendorong kita saling mengambil berat terhadap rakan sepejabat termasuklah mereka yang telah bersara.
Ada kalanya kita melawat mereka apabila mereka sakit serta  menghadiri kenduri kendara yang mereka adakan.
Ikatan persefahaman ini  membentuk budaya organisasi untuk melaksanakan apa jua tanggungjawab dengan matlamat mencapai kejayaan.
Apatah lagi jika tanggungjawab itu demi negara seperti yang diamanahkan kepada Bernama bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-57  ini .
Bernama mendapat kepercayaan untuk mengendalikan  Amanat Merdeka Perdana Menteri yang pertama kali diadakan secara terbuka pada malam ambang kemerdekaan.
Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan amanat itu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang pada hari Sabtu, 30 Ogos ini.
Acara itu akan disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen.
Tugas besar dan mencabar ini memerlukan komitmen kita bersama untuk menjayakannya. Walaupun secara individu tidak diberikan peranan namun kita boleh berdoa agar segala-galanya berjalan lancar.
Rakan-rakan kita yang bertungkus-lumus melaksanakan amanah ini seharusnya mendapat sokongan  atas rasa kecintaan kita kepada agensi berita nasional ini.
Inilah detik  untuk mengharumkan lagi nama Bernama.
Bagi sebahagian daripada rakan sepejabat kita  di Bernama, tema ‘Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ mempunyai makna yang lebih mendalam.
Di sinilah bibit cinta mereka berputik sehingga membawa ke alam perkahwinan. Dari teman pejabat menjadi teman hidup.
Apa yang menarik ialah ada kalangan warga Bernama yang lama mengenali  si suami atau si isteri  tidak mengetahui mereka merupakan pasangan suami isteri.
Cinta sepejabat ini membawa rahmat kepada sekurang-kurangnya 10 pasangan yang berjaya membentuk keluarga.
Antara pasangan bahagia Bernama ialah Nasrah Ahmad dan Mastura Hassan yang mungkin terkena panahan “cinta pandang pertama” ketika mula berkenalan Jun 1996.
Enam bulan kemudian, mereka bertunang dan terus melangkah mendirikan rumahtangga di Ipoh pada 28 Februari 1997.
Selepas 17 tahun, mereka terus bahagia bersama tiga cahayamata -- anak perempuan sulung berumur 16 tahun, anak kedua juga perempuan berusia 13 tahun dan yang bongsu, anak lelaki berumur 11 tahun.
Mastura menyatakan ada kalanya terasa begitu selamat mempunyai pasangan hidup yang sama pejabat – ‘ sometimes feel so secure’.