Wednesday 31 May 2017

Bank Rakyat Agih Juadah Berbuka Puasa Kepada Petugas Bernama...

Bank Rakyat mengagihkan 400 bungkusan juadah berbuka puasa kepada warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini. 
Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat Nizam Abu Samah berkata inisiatif yang dianjurkan selama empat  tahun itu adalah sebagai tanda penghargaan Bank Rakyat terhadap wartawan dan petugas media di Bernama yang sentiasa menyokong Bank Rakyat.
“Bank Rakyat berharap jalinan kerjasama strategik serta hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak selama ini dapat dikekalkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengagihan bungkusan juadah berbuka puasa itu kepada petugas Bernama.
Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain.
Selain Bernama, Bank Rakyat turut mengedarkan pek makanan berbuka puasa kepada organisasi media tempatan termasuk di Sabah dan Sarawak sempena bulan Ramadan. 
-- BERNAMA

Tuesday 30 May 2017

Media Plays Pivotal Role To Foster Mutual Understanding Among ASEAN Youth...

From Harlina Samson in Koh Kong Province (Cambodia)

Media outlets, be they traditional or new media, have a pivotal role to rightfully play their part in fostering deeper mutual understanding among youth of the different nationalities of ASEAN, said Cambodian Ministry of Information Undersecretary of State Ouk Kimseng.
As establishing people-to-people ties could be one of the most challenging tasks of any news and information organisation, the media, he said could help open doors to connectivity and have a better understanding of cultures, history and the social patterns of the people outside of one's realm.
Ouk Kimseng
"Highlighting the living real live intricacies, which otherwise will only be heard off and not seen, the media, both print and broadcast can support youth-initiated platforms and activities, which promote and strengthen people-to-people connectivity as well as trans-national tourism," he said.
Addressing 30 participants of the ASEAN Plus Three Workshop on Roles of Media/TVs in Strengthening People-to-People Connectivity and Promotion of Tourism at a resort here, he said the media have a powerful influence in reshaping the mindset of people.
During the five-day workshop, the participants, who arrived in Phnom Penh, some 290km from here, Sunday, were also taken for visits to several tourism spots including a boat trip in the province.
As globalisation brought with it the advent of communication and information technology, Kimseng said the well-connected world today has made every individual to have an easy and quick access to variety of information sources.
"This is where, media, both in print and broadcast form, play a critical role in shaping perception of the masses including youth," he said.
Meanwhile, Cambodian Ministry of Foreign Affairs and International Cooperation Secretary of State, Luy David in his opening remarks said that the workshop was aimed at implementing two of the East Asia Vision Group II selected recommendations, submitted to the 2012 ASEAN Plus Three Leaders Summit in Phnom Penh.
As Cambodia is the lead-country to implement the recommendation of strengthening people-to-people connectivity and promotion of tourism, he said the workshop should serve as a platform to share views on how media plays its critical role in creating and shaping public opinion of society.
"With today's fast growing users of Internet and social media, the role of media and TV is increasingly important to the daily lives of millions of people in the region," he added.
ASEAN is a regional grouping comprising 10-member countries -- Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, the Philippines, Singapore,Thailand and Vietnam, while the Plus Three partners are China, Japan and South Korea.
-- BERNAMA

Ron Goodwin dan nostalgia puasa…

Setiap kali Ramadan bertandang, nostalgia yang terpendam muncul kembali bagi Editor Foto, Adnan Jahaya terutama sewaktu zaman kanak-kanaknya. 
“Ketika itu tidak sabar menunggu petang untuk berbuka dengan air serbat berperisa sirap ros dengan bengkang ubi….bagaikan tidak lengkap hari pertama puasa tanpa nasi ulam,” katanya.
Setiap Ramadan juga beliau menunggu alunan ayat suci oleh qari tersohor dunia Sheikh Mahmood Khalil Kushairy dan irama padang pasir yang digarap indah oleh orkestra pimpinan Ron Goodwin menerusi radio.
“Saya amat suka lagu-lagu tu. Mengimbau nostalgia dengan irama padang pasir walaupun pemimpin orkestra orang England.
Satu daripada lagu yang diminatinya ialah Al Bint El Shalabiya (The Girl From Shalabiya).
“Lagu ini menggamit nostalgia. Pertama kali mendengar ketika arwah bapa membeli sebuah radio. Masih ingat bagaimana radio itu yang dibalut dengan kain batik, diikat kuat di atas pelantar basikal. Apabila radio bersaiz besar tu dibawa naik atas rumah, bapa mula mengisi bateri di dalam kompatmen luar radio.
Sekitar 12 biji bateri warna merah cap lima ekor kambing dengan jenama five rams. Sebaik sahaja radio berbunyi terdengar lagu ini. Kami beberapa beradik berhimpun keliling radio dan akan mendengar apa pulak selepas tu. Saya tak ingat jenama radio tu.
Masa itu sekitar tahun 1968 sebab saya dah boleh membaca. Dah sekolah darjah satu. Dok ingat arwah selalu tanya "dia tulis apa" kat kertas manual radio. Saya hanya baca bagi dia dengar tapi tak faham. Saya pun tak pasti bapa faham atau tidak tapi cubaan kali pertama, radio tak berbunyi sebab pasang bateri tak betul dalam kompatmen
Masa tu orang kampung fikir lagu tu adalah lagu khusus bulan puasa. Saya pula tahu siapa pemimpin orkestra tu apabila kakak saya yang baru tamat belajar di Australia kata lagu tu bukan orang Arab punya.
Saya terlopong seketika kerana saya sangka semua lagu irama padang pasir datang dari negara Arab," katanya

.

Monday 29 May 2017

Potret kenangan untuk Visva....

Setelah 36 tahun berkhidmat dengan Bernama, Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran Encik S.Visvakumar bersara wajib pada usia 60 tahun esok.
Beliau yang menyertai Bernama pada September 1981 merupakan antara 19 penerima khidmat setia pada majlis sambutan Ulangtahun ke-50 Jubli Emas Bernama di Dewan Perdana Felda pada 22 Mei lepas.
Sebagai kenangan, para pegawai dan kakitangan jabatan itu menghadiahkan Encik Visva potret berkumpulan beliau bersama mereka yang telah dibingkai.
"Antara kata akhir beliau secara spontan ialah jangan stress bila kerja dan hendaklah happy dengan kerja anda," kata seorang pegawai mengenai majlis berkenaan yang diadakan petang ini.
Encik Visva pagi ini menghadiri buat kali terakhir mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.




Jelajah 1Jiwa Julai ini...

Program pengembaraan bermotosikal Jelajah 1Jiwa Bernama bersempena sambutan Jubli Emas Bernama dicadang diadakan dari 8 hingga 14 Julai ini.
Ia akan menjelajah ke setiap pejabat biro negeri di Semenanjung bagi meraikan para petugas Bernama yang masih berkhidmat serta yang telah bersara  agar mereka turut merasai semangat sambutan ulangtahun ke-50 itu.
Program Jelajah Siri 1 ini akan  melibatkan 15 orang penunggang motosikal (Scooter 250cc/superbike) dari pelbagai jabatan di Bernama, menurut maklumat yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bernama hari ini. 
Unit Pemasaran Foto berperanan menyelaras liputan foto khas manakala Bernama News Channel (BNC) akan membuat liputan penuh setiap negeri yang dilawati.
Bagi penjelajahan Siri 2 di Sarawak dan Sabah, program dirancang bermula di Kuching dan meliputi Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Program itu pada mulanya dicadang dilancarkan pada 13 Mei lepas dengan majlis kemuncak pada malam sambutan Jubli Emas Bernama yang diadakan di Dewan Perdana Felda pada 22 Mei lepas.




Saturday 27 May 2017

Bernama masa hadapan...

Setelah setengah abad berlalu, masa hadapan yang gemilang menjadi harapan bagi semua warga Bernama. Bayangan itu diilustrasikan dalam dokumen khas sempena sambutan Jubli Emas berjodol "Bernama Legasi Berita Negara" yang disiarkan Bernama News Channel.

Bermula dengan 44 petugas di sebuah banglo tidak jauh dari Wisma Bernama di Jalan Tun Razak, agensi berita nasional ini yang mempunyai hampir 1,000 kakitangan diimpikan bertapak lebih gagah dengan mempunyai bangunan pencakar langit satu masa nanti....




 

Loghat negeri di Bernama Radio...


Friday 26 May 2017

Puasa bermula esok...

Umat Islam di Malaysia  akan mula berpuasa esok.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkannya berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu, 27 Mei 2017, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen malam ini.
Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini (Jumaat bersamaan 29 Syaaban 1438 Hijrah).
Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
-- BERNAMA

Bernama, Jakim dan DagangHalal Terbit Program Halal360

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan DagangHalal Sdn Bhd (DagangHalal) bagi penerbitan program televisyen Halal360 di Bernama News Channel (BNC).
MoU itu ditandatangani Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain, Pengerusi DagangHalal Datuk Muhadzir Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif DagangHalal Ali Sabri Sani Abdullah serta Ketua Pegawai Operasi BNC Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan disaksikan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya yang akan menjadi moderator dalam program itu dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim Ustaz Mohamad Khori Md Jusoh.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Ali Sabri Sani berkata program sebanyak 13 episod itu akan bersiaran selama 39 minggu di BNC dengan setiap episod mempunyai durasi selama 24 minit.
"Program ini bertujuan memperincikan perkembangan halal di Malaysia untuk tatapan umum rakyat negara ini, selain menguatkan lagi ikatan kerjasama antara pihak DagangHalal dan Jakim bagi memartabatkan lagi kredibiliti industri halal negara," katanya.
Tambahnya, program berkonsepkan dokumentari itu akan disertakan sesi temu ramah bersama tokoh-tokoh utama negara yang membantu meningkatkan prestasi industri halal di Malaysia seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mokhtar berkata program itu diharap dapat memberi lebih banyak maklumat dan kesedaran kepada masyarakat Malaysia terutama usahawan muda mengenai industri halal di negara ini.
"Peluang dalam industri halal ini amat besar. Jangan kita lihat dalam negara sahaja, kalau kita merantau ke negara luar, banyak permintaan untuk makanan halal, contohnya di benua Eropah dan negeri China.
"Permintaan terhadap produk dan makanan halal ini memang begitu banyak, jadi bagaimana kita harus mengambil peluang ini? Golongan muda boleh mencuba dengan mempelajari sedikit mengenai aspek 'packaging dan pemasaran melalui program Halal360 ini kerana potensi industri halal cukup besar," katanya.
-- BERNAMA



Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak...


Para petugas Jabatan Pengarang di Tingkat 6, Wisma Bernama mengadakan majlis doa selamat untuk menyambut kedatangan bulan puasa. Bacaan doa dipimpin oleh saudara Mujahid Ishak.




Here to stay...


Thursday 25 May 2017

Bernama-B Channel Meterai MoU Terbit Berita Bahasa Tamil...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan syarikat penyiaran, multimedia dan teknologi maklumat B Channel Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menerbitkan semula berita Tamil dikenali sebagai Bernama Seithigal melalui Bernama News Channel (BNC).
MoU itu yang ditandatangani Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif B Channel, Sivamani Subramaniam disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Dalam ucapan pendahuluannya, Salleh berkata kerjasama antara Bernama dan B Channel merupakan usaha penting kepada kerajaan yang sentiasa mahu menyampaikan maklumat yang tepat dah sahih kepada masyarakat.
"Adalah penting untuk kita mempunyai saluran seperti ini oleh kerana kita mempunyai tujuan yang sama untuk memastikan kestabilan Malaysia dan supaya masyarakat mendapat maklumat yang tepat.
"Pada masa ini terdapat banyak berita palsu terutamanya dalam media sosial dan kita memerlukan saluran yang boleh menyebarkan berita benar. Tahniah kepada Bernama dan pihak B Channel," katanya.
Seiring dengan sambutan ulangtahun Bernama ke-50, Salleh berkata tugas dan tanggungjawab kini adalah untuk memastikan masyarakat menerima berita yang tepat dan bermanfaat dalam pelbagai bahasa.
Menurutnya kementerian juga sentiasa bersedia bekerjasama untuk menyediakan pelbagai program termasuk dokumentari yang berkaitan dengan Bernama dan komuniti.
Melalui MoU itu, BNC akan menerbitkan Bernama Seithigal yang akan bersiaran dua bulan dari sekarang pada setiap hari selama 30 minit bermula 7 malam.
Ia dapat ditonton menerusi Astro 502, Hypp TV 410, MYTV 121 dan laman web www.bernama.com yang boleh diakses diseluruh dunia.
Selain itu, BNC juga akan menerbitkan satu program berbahasa Tamil selama satu jam yang akan ditentukan waktu siarannya nanti.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Zulkefli berkata Bernama Seithigal memberi peluang kepada masyarakat India untuk mendapat maklumat yang penting.
"Melalui kerjasama ini, kita mahu menyediakan siaran berita tamil yang bermutu tinggi untuk tontonan masyarakat India dan penonton BNC dalam kalangan itu yang sebelum ini hanya menonton berita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris," katanya.
Zulkefli berkata Bernama Seithigal juga membuka peluang yang lebih untuk menarik pelancong dari India yang akan turut serta mengikuti perkembangan di negara ini melalui saluran BNC.
Sivamani pula berkata Bernama dipilih untuk menjalin kerjasama tersebut kerana reputasinya sebagai saluran media yang terbaik di Malaysia.
"Terdapat banyak perkara yang kita mahu sampaikan kepada komuniti India khususnya yang berkaitan faedah dan peluang-peluang oleh kerajaan dan Bernama adalah saluran berita terulung bagi tujuan itu," katanya.
-- BERNAMA

Kreativiti terserlah dalam foto dan pakaian terbaik Jubli Emas Bernama...

Kunjungan ke Pulau Tioman untuk menyelam bagi menghilangkan tekanan kerja membawa tuah kepada Noor Mahirah Mat Dan dari Bahagian Jualan Nasional.
Beliau mengabadikan saat itu dengan foto yang dikemukakan untuk peraduan Instagram sempena sambutan Ulangtahun ke-50 Bernama.
Foto itu memenangi hadiah pertama yang diumumkan pada jamuan malam gilang-gemilang sambutan Jubli Emas itu di Dewan Perdana Felda pada malam Isnin lepas.
“Tentunya saya gembira dipilih dan dihargai…bukan sesuatu yang mudah untuk merakam gambar di dalam air,” kata Mahirah.
Idea untuk foto itu timbul secara tidak sengaja.
“Mula-mula saya nak hilangkan tekanan kerja pergi menyelam ke Tioman pada hari Jumaat malam dan naik bas secara solo.
“Kemudian ketika menyelam terlihat ada beberapa student diver lain yang sedang menjawab soalan di dalam air dengan menggunakan papan putih. Terlintas di hati saya menulis 50 Tahun Bernama di atas papan tersebut,” katanya.
Mahirah kerap menyelam sebagai hobi sejak memperolehi lesen  ”open water” pada tahun 2015 dan lesen tahap seterusnya daripada PADI (Professional Association of Diving Instructors).
“Saya buat aktiviti menyelam ini dalam dan luar negara…luar negara seperti Indonesia (Acheh), Filipina dan Maldives.
“Berenang dan menyelam merupakan sunnah yang menyihatkan dan menenangkan,” katanya.
Mahirah, yang telah berkhidmat dengan Bernama selama empat tahun lima bulan, berkata beliau amat bangga menjadi warga Bernama.
“…saya kira pujian harus diberikan kepada semua warga Bernama atas pengorbanan yang mereka telah lakukan bagi memastikan Bernama sentiasa cemerlang dalam memberikan perkhidmatan menyalurkan berita cepat, tepat, adil kepada masyarakat dan pengamal korporat,” katanya.
Nurul Akiera Zakaria, yang memenangi hadiah pakaian wanita terbaik pada malam itu, berkata perasaannya antara terkejut dan gembira.
“Terkejut tu lagi banyak sebab memang tak jangkapun akan menang memandangkan lagi ramai yang cantik malam tu. Tapi Alhamdulillah saya bersyukur kerana dipilih oleh panel juri. 
“Idea baju tu datang daripada suami saya sebenarnya. Encik Mohd Zaki (Mohd Nor). Beliau yang banyak menyumbangkan idea dari segi pemilihan kain, gabungan warna, corak dan aksesori,” katanya.
Akiera telah berkhidmat di Jabatan Kewangan dan Akaun selama 1 tahun 9 bulan dan bertemu jodoh di organisasi ini dengan Zaki yang kini bertugas dengan Bahagian Pengurusan Harta dan Pentadbiran. 
“Saya berharap agar Bernama akan terus menjadi agensi berita terunggul di persada antarabangsa dan sentiasa berdiri teguh dalam menyumbangkan berita dalam dan luar negara,” katanya.
Pemenang pakaian lelaki terbaik Amarul Nakhim Ahmad berkata beliau juga bersyukur dan berterima kasih atas kemenangan itu.
“Kemenangan ini terlalu istimewa kerana berjaya terpilih pada ulangtahun bersejarah ke-50 Jubli Emas Bernama. Terima kasih kepada juri,” katanya.
“Idea untuk pakaian itu tercetus kerana sempena 50 tahun Bernama ditubuhkan, saya ingin mencipta sesuatu kelainan yang unik dalam pakaian saya dengan menggabungkan perkataan Bernama dan angka 50 di bahagian hadapan dan belakang blazer untuk menyemarakkan lagi semangat ulangtahun ke-50 tahun ini sebagai penghargaan saya kepada Bernama,”katanya.
“Rekaan dan jahitan sulaman ini siap dihasilkan dalam tempoh sebulan lebih,” kata Amarul yang telah berkhidmat dengan Bernama selama 17 tahun.
“Sebagai kakitangan Bernama, saya bersemangat untuk membuktikan bahawa saya sentiasa bersedia untuk berhadapan cabaran dan rintangan ketika bertugas demi menghasilkan kerjaya yang berkualiti dan dengan harapan untuk membawa Bernama menjadi media yang terunggul negara serta kekal keramat dalam memenuhi legasi masa depan,” kata Amarul yang bertugas dengan Unit Pemasaran Foto, Jabatan Niaga. 


Relevan Tukar Jalan 1/65A Kepada Jalan Bernama - Elyas Omar

Relevan dan tepat. Itu yang disifatkan oleh bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar berhubung cadangan penukaran nama Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak kepada 'Jalan Bernama'.
Beliau berkata nama sesuatu jalan menunjukkan penghargaan ataupun tanda ingatan atas sumbangan dan juga khidmat bakti yang diberikan oleh individu atau organisasi kepada negara.
"Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) telah berkhidmat menyampaikan maklumat yang tepat dan benar kepada rakyat sejak penubuhannya pada 1967...bila ia dilaporkan Bernama kita tahu ia berita yang sahih.
"Kita juga sedia maklum reputasi Bernama sebagai agensi kerajaan yang selalu kita boleh harapkan. Oleh itu, penukaran nama jalan dengan nama pertubuhan itu amatlah sesuai dan bertepatan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang pada majlis makan malam Jubli Emas agensi itu pada Isnin lepas.
Elyas menjelaskan bahawa, nama jalan yang menggunakan nombor dan abjad kebiasaannya digunakan hanya untuk sementara waktu sebelum mendapat nama yang lebih sesuai.
Turut bersetuju adalah Penyelaras Jabatan Bandar dan Perancang Wilayah Universiti Malaya Dr Nikmatul Adha Nordin yang berpendapat penukaran nama baharu itu akan memberi makna dan identiti kepada jalan berkenaan.
"Saya sangat setuju jika ia ditukarkan kepada nama lebih khas, tambahan pula Wisma Bernama merupakan bangunan yang sangat bermakna untuk dijadikan mercu tanda di kawasan tersebut," katanya.
Nikmatul berkata pelaksanaan itu juga mampu mengurangkan kekeliruan orang ramai dan membantu dari segi pencarian jalan berdasarkan maklumat fizikal yang lebih jelas.
Tambahnya, ia juga merupakan sebuah pengiktirafan kepada sumbangan agensi berita itu dalam bidang kewartawanan sekali gus menjadikan ia lebih dikenali ramai.
Wisma Bernama yang terletak di Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak antara bangunan terawal didirikan di sekitar Jalan Tun Razak pada 1980-an, mendahului bangunan lain di sekitarnya seperti Perpustakaan Negara, Balai Seni Lukis Negara, Pusat Darah Negara dan Istana Budaya.
-- BERNAMA

Tuesday 23 May 2017

Waktu Bekerja Pada Bulan Ramadan...


Bernama Perlu Kemuka Permohonan Pertukaran Nama Jalan - DBKL

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) boleh memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menukarkan nama Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak kepada Jalan Bernama.
Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata Bernama perlu mengemukakan permohonan kepada Datuk Bandar KL.
"Permohonan tersebut perlu disokong dengan kertas kerja yang releven seperti hak milik lot tanah, pelan dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Bernama.
Cadangan untuk menukarkan nama jalan tersebut dibuat Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang ketika sambutan ulang tahun Bernama yang ke-50 di Dewan Perdana Felda yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu malam tadi.
Wisma Bernama yang terletak di Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak merupakan bangunan terawal didirikan di jalan itu pada tahun 1980-an.
Ini disusuli dengan pembinaan bangunan lain di sekitarnya seperti Perpustakaan Negara, Balai Seni Lukis Negara, Pusat Darah Negara dan Istana Budaya.
-- BERNAMA


Bernama agensi berita unggul...






Monday 22 May 2017

Sahnan bangga logo Bernama kekal digunakan sejak 1975...

Pencipta logo Bernama, Sahnan Abdullah, bangga kerana logo ciptaannya itu terus diguna agensi berita ini sejak 1975.
Menurutnya, beliau terharu apabila logo ciptaannya masih digunakan dan berharap ia akan terus dikekalkan.
Pada masa sama, Sahnan, 80, turut menyarankan agar logo itu ditambah baik dengan huruf ‘B’ ditimbulkan dan ditukar kepada warna emas serta mengekalkan latar belakang warna biru.
"Warna emas itu sebagai simbolik kerana emas berharga dan disanjung, maka ia amat relevan dengan Bernama sebagai sebuah agensi berita tempatan yang dikenali di dunia," katanya yang menerima Anugerah Khas (Pencipta Logo Bernama) pada majlis sambutan Ulang Tahun Bernama ke-50 malam ini.
Sahnan memenangi pertandingan mencipta logo Bernama yang berlangsung dari 15 Feb hingga 30 April 1975. 
Sebelum mempunyai logo yang dicipta khas itu, Bernama menggunakan perkataan ‘BERNAMA’ berwarna jingga.
Sahnan, yang waktu itu berusia 38 tahun dan bertugas sebagai Penolong Pelukis Reka Bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mendapat ilham tersebut setelah mengetahui agensi berita ini menggunakan mesin teleprinter sebagai medium menghantar maklumat pada ketika itu.
-- BERNAMA  

Bernama berjaya ubah acuan berdasarkan khalayak terkini - Ahmad Zahid

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menyambut ulang tahun ke-50 dua hari lepas berjaya mengubah platformnya berdasarkan khalayak masa kini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata seperti Bernama, semua  agensi kerajaan di negara ini perlu mengubah acuan mereka berdasarkan khalayak terkini bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan kerajaan dipercayai serta sampai ke khalayak lebih besar.
"Kita ada media tradisional dan media baharu, itu sebabnya walaupun saya tidak datang ke majlis Bernama malam ini, tetapi saya yakin Bernama mempunyai likes antara 2.5 juta dan 2.8 juta, dan merupakan sebuah organisasi yang diterima bukan sahaja di rantau ini tetapi di seantero dunia...itulah lebihnya Bernama untuk tempoh 50 tahun. 
"Walaupun saya tidak bersama mereka (Bernama) malam ini, roh saya bersama mereka...mereka telah berjaya mengubah acuannya,” katanya sambil menyifatkan platform media baharu Bernama antara terbaik di negara ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) 2017 di Alor Gajah, Melaka. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Jasa Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Bernama yang mula beroperasi pada 20 Mei 1968, mengadakan majlis makan malam hari ini bagi menyambut ulang tahun Jubli Emas agensi berkenaan.
Ahmad Zahid berkata acuan itu perlu berubah kerana khalayak pada masa sekarang tidak sama seperti khalayak pada masa lampau.
"Teruskanlah usaha mengubah acuan itu...media sosial yang dikendalikan pegawai Jasa mendapat ‘hit’ yang terbaik di negara ini,..ini suatu pendekatan baharu teruskan jangan biar orang serang kita...jangan biarkan kita terlalu bertahan.
"Di dalam peperangan, saraf pertahanan yang terbaik adalah menyerang ...saya harap Jasa buktikan kita tidak akan tersandar sekali lagi, kita telah bangun sebagai pejuang kepada kerajaan," katanya.
-- BERNAMA

Tiga Bekas Menteri Terima Anugerah Jasamu Dikenang Jubli Emas Bernama...

Tiga orang bekas Menteri Penerangan diberi Anugerah Khas: 'Jasamu Dikenang' oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menghargai sumbangan mereka dalam bidang media dan komunikasi.
Anugerah Khas bersempena sambutan Jubli Emas agensi berita itu diberi kepada Penasihat Sosio Budaya kepada Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim, tokoh wartawan Tan Sri Zainuddin Maidin dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada acara gilang-gemilang Jamuan Malam Jubli Emas Bernama di ibu negara malam ini.

Dr Rais, 75, yang berasal dari Kampong Gagu, Jelebu, Negeri Sembilan, terkenal dengan jasa bakti dan sumbangan melalui pelbagai usaha memartabatkan seni, bahasa dan warisan bangsa di peringkat negara bangsa, serantau dan antarabangsa.
Pernah menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Menteri Luar; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Rais mempunyai hubungan akrab dengan Bernama semasa menjadi Menteri di KPKK dari tahun 2009 hingga 2013.
Bapa kepada empat orang anak ini menjawat jawatan Menteri Penerangan pada 1984 sebelum sekali lagi memegang portfolio yang sama dari 2009 hingga 2013 sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan di bawah kabinet baharu waktu itu pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terkini, Rais yang pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Buku Negara pada 2010 kerana sumbangan dalam bidang penulisan dan industri penerbitan buku, merupakan Presiden keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Zainuddin, 78, yang menjadi Menteri Penerangan dari tahun 2006 hingga 2008, sinonim dengan dunia kewartawanan dan amat rapat dengan Bernama sepanjang lima dekad kerjaya beliau dengan Utusan Melayu.
Bekas Ketua Pengarang Utusan itu yang dikenali dengan nama pena ZAM itu, memulakan kerjaya dalam dunia media sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Alor Setar pada tahun 1951 sebelum dilantik menjadi wartawan tetap 10 tahun kemudian.
Beliau pernah menjadi wakil Utusan Melayu di London (1975-1976) sebelum menjadi Ketua Pengarang akhbar itu selama hampir sedekad dan kemudiannya menceburi bidang politik.
Zainuddin yang menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) pada 1970-an dan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (1984-1989) itu juga aktif menulis buku, antaranya Mahathir Di Sebalik Tabir; Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot; Wira Tak Di Dendang; dan Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara.
Allahyarham Mohamed pula, yang merupakan bapa kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dan Presiden UMNO sepanjang empat dekad penglibatannya dalam kerajaan serta parti sebagai Setiausaha Agung UMNO.
Beliau yang dilahirkan pada 1938, pernah dilantik dua kali sebagai Menteri Penerangan iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semasa menjadi Menteri Penerangan, beliau antara lainnya telah memperkenalkan Program 'Setia Bersama Rakyat' (Semarak), yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan dan setia kepada negara, semasa awal 1990-an.
-- BERNAMA

Jubli Emas: Lima Bekas Wartawan Bernama Terima Anugerah Khas...


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberi penghargaan kepada lima bekas wartawannya dengan Anugerah Khas bersempena sambutan Jubli Emas Bernama atas kejayaan dalam peningkatan kerjaya mereka sehingga menyandang jawatan penting di dalam dan luar negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyampaikan anugerah itu kepada Datuk Seri G.Palanivel, Tan Sri Ismail Adam, Prof Datuk Syed Arabi Syed Abdullah Idid, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Mervin Nambiar, pada majlis gilang-gemilang Jamuan Malam Jubli Emas Bernama di ibu negara malam ini.

Palanivel, 68, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan kanan di Bernama pada April 1977, telah mendaki tangga ke puncak kejayaan sehingga menyandang jawatan sebagai menteri kabinet ketika beliau menjadi Presiden parti MIC.
Semasa di Bernama, beliau menyandang jawatan Editor Berita Dalam Negeri dan Berita Ekonomi mulai 1984 hingga 1987 sebelum dipinjamkan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.
Di peringkat kerajaan persekutuan, Palanivel pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selain menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat; dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Ismail pula meniti ke puncak kerjayanya sehingga menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu jawatan nombor dua tertinggi dalam sektor awam, sehingga persaraannya daripada perkhidmatan pada 2010.
Pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Negara, beliau menyertai Bernama pada 1968 sebagai antara wartawan kadet perintis.
Ketika itu, Bernama beroperasi di sebuah rumah banglo sewaan di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak). Beliau meninggalkan Bernama kemudiannya untuk menyertai bidang lain sektor awam pada 1972.
Prof Syed Arabi, juga yang merupakan antara wartawan perintis Bernama dan menyertai agensi berita itu pada tahun 1968, adalah bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan masih berkhidmat sebagai Profesor Jabatan Komunikasi Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di UIAM.
Berusia 73 tahun, Prof Syed Arabi pernah berkhidmat selama tiga tahun di Bernama bermula sebagai wartawan sebelum dilantik Ketua Biro Sabah selama dua tahun.
Dalam sektor pendidikan beliau pernah juga memegang beberapa jawatan penting di universiti antaranya pensyarah kanan, Timbalan Dekan di Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain menjadi Ketua Jabatan Komunikasi UKM.
Abdul Jalil, 57, yang kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP)  dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan komunikasi, memulakan kerjaya kewartawanannya di Bernama pada 1982 sebagai pegawai berita.
Selama tujuh tahun di Bernama, Abdul Jalil pernah menjadi Ketua Biro Bernama Johor dan pemangku pengarang berita ekonomi.
Beliau kemudian berkhidmat dengan Reuters selama 18 tahun, dengan menjawat beberapa jawatan seperti ketua koresponden politik dan Timbalan Ketua Biro Reuters di Malaysia dan Brunei dari 1998 hingga 2008 selain pernah ditugaskan di pejabat-pejabat Reuters di London, Singapura dan Jakarta.
Abdul Jalil ,yang masih menjadi Ahli Tetap Mewakili Akhbar dalam Lembaga Pengelola Bernama, dilantik CEO NSTP pada 1 Mac 2017 selepas memegang jawatan Pengarang Urusan Kumpulan pada 15 Okt  2011.
Nambiar, 69, pula mula menceburi dunia media di Bernama sebagai wartawan kadet pada 1969 dan berkhidmat di agensi berita itu sehingga menyandang jawatan Timbalan Editor Berita di Meja Berita Ekonomi.
Pada tahun 1975, Nambiar menjadi wartawan Bernama pertama yang mengikuti latihan kewartawanan di AFP, Paris dan seterusnya ditempatkan di pejabat AFP di London, sebelum dihantar bertugas sebagai koresponden Bernama di Bangkok.
Pada 1984, Nambiar meninggalkan Bernama dan menyertai AFP di Kuala Lumpur sebelum bertugas sebagai Ketua Biro AFP di Singapura. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara pada Disember tahun lalu ialah Pengarah Jualan dan Pemasaran AFP bagi Asia-Pasifik, yang berpangkalan di Hong Kong.
Bernama turut menghargai tiga bekas pegawai kanan agensi berita itu dengan Anugerah Khas kategori Sumbangan Khusus kepada dua bekas Pengurus Besar iaitu Datuk Yong Soo Heong dan Datuk Hasnul Hassan serta bekas Editor Eksekutif Zainoor Sulaiman.
Yong, 62, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet pada 1974, banyak berjasa mengetengahkan Bernama sebagai hos CAPAM iaitu persidangan dwi-tahunan Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan serta perbincangan meja bulat mengenai bajet nasional.
Di Bernama, Yong maju dalam kerjaya kewartawanan dengan menyandang beberapa jawatan kanan seperti penolong editor, editor dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi mulai 1993 hingga 2004,
Dari 2007 hingga 2013, beliau merupakan Ketua Pengarang Bernama sebelum menjadi Pengurus Besar agensi berita itu pada 1 Jan 2013, wartawan Bernama ketiga yang dilantik sebagai Pengurus Besar selepas meniti kerjaya dari peringkat bawah.
Yong bersara wajib pada 28 Okt 2014 selepas 40 tahun berkhidmat dengan Bernama dan kini merupakan Pengerusi Malaysia Global Business Forum (MGBF).
Hasnul, 55, yang menyertai Bernama pada 2 Jan 2009 hingga 31 Dis 2012, berjasa dalam pengurusan Bernama, terutamanya penstrukturan Bernama yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam serta memantapkan bahagian pemasaran Bernama.
Zainoor, 70, yang berkhidmat di Bernama selama 25 tahun, termasuk sebagai koresponden Bernama di Jakarta dan Manila, berjasa sebagai pengasas Perkhidmatan Audio Visual Bernama, yang berkembang menjadi Bernama News Channel (BNC) pada hari ini.
-- BERNAMA