Friday 5 May 2017

Bernama Anjur Penulisan, Deklamasi Puisi Untuk Pertajam Kebolehan Wartawan...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bakal mengadakan acara penulisan dan deklamasi puisi dI kalangan wartawannya secara bulanan dalam usaha mempertajam kebolehan termasuk dalam penulisan kreatif.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata inisiatif itu dijangka bermula bulan depan.
Katanya, penulisan kreatif dilihat penting bagi seorang wartawan kerana ia mampu membantu mempertajamkan tulisan supaya gaya bahasa serta penulisan lebih efektif dan mampu menyentuh perasaan pembaca.
"Jika tiada halangan kita akan mulakannya bulan hadapan. Mungkin dalam bulan puasa ini kita boleh mulakan dengan puisi-puisi berbentuk keagamaan," katanya kepada pemberita selepas mengambil bahagian dalam acara 'Malam Baca Puisi' sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.
Acara itu dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Pada majlis itu, Zulkefli mendeklamasikan puisi bertajuk 'Seorang Tua Bernama Bahasa' nukilan Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan.
Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Mokhtar Hussain pula mendeklamasikan puisi bertajuk 'Aksara Merdeka' karya Wadi Leta S.A.
Ketika ditemui selepas acara itu, Zurinah berkata beliau gembira dengan rancangan Bernama untuk mengadakan acara mendeklamasi puisi secara bulanan di kalangan wartawannya.
"Ini merupakan satu inisiatif baharu dan secara peribadi saya berasa gembira kerana kini terdapat sebuah lagi ruang bagi mempromosikan puisi," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment