Thursday 25 May 2017

Bernama-B Channel Meterai MoU Terbit Berita Bahasa Tamil...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan syarikat penyiaran, multimedia dan teknologi maklumat B Channel Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menerbitkan semula berita Tamil dikenali sebagai Bernama Seithigal melalui Bernama News Channel (BNC).
MoU itu yang ditandatangani Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif B Channel, Sivamani Subramaniam disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Dalam ucapan pendahuluannya, Salleh berkata kerjasama antara Bernama dan B Channel merupakan usaha penting kepada kerajaan yang sentiasa mahu menyampaikan maklumat yang tepat dah sahih kepada masyarakat.
"Adalah penting untuk kita mempunyai saluran seperti ini oleh kerana kita mempunyai tujuan yang sama untuk memastikan kestabilan Malaysia dan supaya masyarakat mendapat maklumat yang tepat.
"Pada masa ini terdapat banyak berita palsu terutamanya dalam media sosial dan kita memerlukan saluran yang boleh menyebarkan berita benar. Tahniah kepada Bernama dan pihak B Channel," katanya.
Seiring dengan sambutan ulangtahun Bernama ke-50, Salleh berkata tugas dan tanggungjawab kini adalah untuk memastikan masyarakat menerima berita yang tepat dan bermanfaat dalam pelbagai bahasa.
Menurutnya kementerian juga sentiasa bersedia bekerjasama untuk menyediakan pelbagai program termasuk dokumentari yang berkaitan dengan Bernama dan komuniti.
Melalui MoU itu, BNC akan menerbitkan Bernama Seithigal yang akan bersiaran dua bulan dari sekarang pada setiap hari selama 30 minit bermula 7 malam.
Ia dapat ditonton menerusi Astro 502, Hypp TV 410, MYTV 121 dan laman web www.bernama.com yang boleh diakses diseluruh dunia.
Selain itu, BNC juga akan menerbitkan satu program berbahasa Tamil selama satu jam yang akan ditentukan waktu siarannya nanti.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Zulkefli berkata Bernama Seithigal memberi peluang kepada masyarakat India untuk mendapat maklumat yang penting.
"Melalui kerjasama ini, kita mahu menyediakan siaran berita tamil yang bermutu tinggi untuk tontonan masyarakat India dan penonton BNC dalam kalangan itu yang sebelum ini hanya menonton berita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris," katanya.
Zulkefli berkata Bernama Seithigal juga membuka peluang yang lebih untuk menarik pelancong dari India yang akan turut serta mengikuti perkembangan di negara ini melalui saluran BNC.
Sivamani pula berkata Bernama dipilih untuk menjalin kerjasama tersebut kerana reputasinya sebagai saluran media yang terbaik di Malaysia.
"Terdapat banyak perkara yang kita mahu sampaikan kepada komuniti India khususnya yang berkaitan faedah dan peluang-peluang oleh kerajaan dan Bernama adalah saluran berita terulung bagi tujuan itu," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment