Monday 8 May 2017

Bernama rai Jubli Emas dengan jamuan malam penghargaan, setem khas...


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan mengadakan jamuan makan malam  dan pelbagai program sebagai tanda penghargaan kepada petugas dan pelanggannya.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata jamuan yang bakal diadakan di Dewan Perdana Felda pada 22 Mei itu akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beberapa anugerah akan disampaikan kepada mereka yang berjasa membantu dan membina Bernama sehingga hari ini.
“Ini merupakan satu majlis apresiasi kepada petugas lama dan baharu Bernama, pelanggan setia serta pembaca, pendengar dan penonton produk berita dan maklumat yang dikeluarkan Bernama,” katanya dalam satu sidang media mengenai sambutan ulang tahun tersebut, di Wisma Bernama hari ini.
Antara artis jemputan yang bakal membuat persembahan pada jamuan itu ialah Datuk Khatijah Ibrahim dan kumpulan Buskers, Suara band.
Selain itu, beberapa acara lain telah dan akan diadakan sempena sambutan Jubli Emas Bernama seperti pertandingan menulis dan deklamasi puisi, boling, majlis bacaan doa selamat, konvoi bermotosikal ke negeri-negeri dan acara kembara ‘all ladies treasure hunt’.
Beberapa artikel dan temu bual ekslusif mengenai Bernama turut diterbitkan melalui meja berita Bernama.
Bernama telah ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara.
Ia mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan pengeluaran berita pertama mengenai pelancaran perkhidmatan berita Bernama oleh Menteri Penerangan dan Penyiaran ketika itu Tan Sri Senu Abdul Rahman.
Pada sidang media itu juga, Bernama turut melancarkan setem korporat khas Bernama sempena sambutan itu. Sebanyak 10,000 setem dicetak dengan harga 60 sen setiap satu dan setem tersebut boleh didapati di Wisma Bernama. 
Sementara itu, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dalam satu kenyataan berkata sepanjang 50 tahun kewujudannya, Bernama berjaya memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat, berita, gambar, audio dan visual yang tepat dan benar.
Katanya beliau berharap Bernama akan terus relevan walaupun dalam landskap media yang banyak berubah dengan adanya media sosial dan portal berita yang gemar mencipta berita palsu. 
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment