Sunday 21 May 2017

Peserta Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna Capai Matlamat...

Daripada Wartawan Bernama News Channel Nazahiyah Mohd Hadzir yang menyertai Ekspedisi Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna 2017

Seramai 10 peserta negara yang menamatkan Ekspedisi Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna 2017 sejauh 260 kilometer dianugerahkan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).
Kesemua peserta menerima sijil pengiktirafan bagi kategori Kumpulan Pertama Berkayuh di Altitud Tinggi yang disampaikan wakil Kedutaan Malaysia di Nepal, Ahmad Phadil Ismail dalam satu majlis di Kathmandu malam tadi.
Ekspedisi dua minggu bermula 4 Mei lepas diketuai Shamsudin Ismail, 42,  dan mereka menamatkan kayuhan tersebut semalam. 
Shamsudin berkata antara cabaran paling getir adalah ketika mengharungi puncak tertinggi Thorong La Pass pada ketinggian 5,416 meter yang menuntut kekuatan mental dan fizikal peserta.
"Alhamdullilah, walaupun seorang daripada peserta menghadapi tahap penyakit akut gunung (AMS) yang agak teruk, kami semua masih mampu untuk bersama menjejak kaki ke laluan antara gunung tertinggi di dunia itu," katanya selepas majlis berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) Muhamad Nur Azrul Che Zabani.
Shamsudin berkata pasukannya berdepan pelbagai kesukaran untuk berkayuh sehingga terpaksa memikul dan menolak basikal di kebanyakan laluan ketika mendaki.
Bagi peserta, Puteri Nabilah Megat Idris, 28, latihan intensif selama empat bulan banyak membantu beliau terutama pada ketinggian 2,500 meter ke atas. 
"Sebagai wanita dan anak Malaysia, saya bangga dapat menghabiskan ekspedisi ini dengan jayanya. Malaysia Boleh! Wanita Boleh!," kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.
Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna 2017 yang disertai tujuh peserta lelaki dan tiga wanita dari MRM itu bermula di Besisahar dan berakhir di Pokhara, Kathmandu, Nepal.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment