Thursday 25 May 2017

Relevan Tukar Jalan 1/65A Kepada Jalan Bernama - Elyas Omar

Relevan dan tepat. Itu yang disifatkan oleh bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar berhubung cadangan penukaran nama Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak kepada 'Jalan Bernama'.
Beliau berkata nama sesuatu jalan menunjukkan penghargaan ataupun tanda ingatan atas sumbangan dan juga khidmat bakti yang diberikan oleh individu atau organisasi kepada negara.
"Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) telah berkhidmat menyampaikan maklumat yang tepat dan benar kepada rakyat sejak penubuhannya pada 1967...bila ia dilaporkan Bernama kita tahu ia berita yang sahih.
"Kita juga sedia maklum reputasi Bernama sebagai agensi kerajaan yang selalu kita boleh harapkan. Oleh itu, penukaran nama jalan dengan nama pertubuhan itu amatlah sesuai dan bertepatan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang pada majlis makan malam Jubli Emas agensi itu pada Isnin lepas.
Elyas menjelaskan bahawa, nama jalan yang menggunakan nombor dan abjad kebiasaannya digunakan hanya untuk sementara waktu sebelum mendapat nama yang lebih sesuai.
Turut bersetuju adalah Penyelaras Jabatan Bandar dan Perancang Wilayah Universiti Malaya Dr Nikmatul Adha Nordin yang berpendapat penukaran nama baharu itu akan memberi makna dan identiti kepada jalan berkenaan.
"Saya sangat setuju jika ia ditukarkan kepada nama lebih khas, tambahan pula Wisma Bernama merupakan bangunan yang sangat bermakna untuk dijadikan mercu tanda di kawasan tersebut," katanya.
Nikmatul berkata pelaksanaan itu juga mampu mengurangkan kekeliruan orang ramai dan membantu dari segi pencarian jalan berdasarkan maklumat fizikal yang lebih jelas.
Tambahnya, ia juga merupakan sebuah pengiktirafan kepada sumbangan agensi berita itu dalam bidang kewartawanan sekali gus menjadikan ia lebih dikenali ramai.
Wisma Bernama yang terletak di Jalan 1/65A off Jalan Tun Razak antara bangunan terawal didirikan di sekitar Jalan Tun Razak pada 1980-an, mendahului bangunan lain di sekitarnya seperti Perpustakaan Negara, Balai Seni Lukis Negara, Pusat Darah Negara dan Istana Budaya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment