Saturday 20 May 2017

Salur Berita Cepat dan Tepat Jadikan Bernama Kekal Relevan...



Komitmen  para petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam menyampaikan berita dengan  cepat dan tepat menjadikan agensi berita itu terus kekal relevan.
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata budaya integriti sentiasa menjadi pegangan kakitangan Bernama sejak awal penubuhannya.
Beliau berkata Bernama sentiasa memastikan setiap beritanya melalui proses semak dan imbang sebelum ia  disalurkan kepada masyarakat.
“Budaya integriti sebegini perlu diteruskan supaya masyarakat akan sentiasa dibekalkan dengan berita-berita yang tepat dan berkredibiliti," katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel.
Turut menjadi tetamu dalam program yang membincangkan mengenai ulang tahun Bernama ke-50 itu ialah pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.
Kamaruddin, yang menggalas tugas sebagai KSU KPKK dari 2009 hingga 2013, turut memuji langkah Bernama menubuhkan Meja Multimedia dalam memastikan berita dapat disampaikan dengan pantas seiring dengan perkembangan teknologi.
Katanya walaupun media sosial memberi peluang  kepada masyarakat untuk mengakses berita dengan  lebih mudah namun tidak semua informasi yang disalurkan  adalah benar dan tepat.
Kamaruddin turut mencadangkan konsep 'central kitchen' diwujudkan antara Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) supaya berita dari kedua-dua agensi disalurkan ke satu medium untuk kegunaan bersama. 
Sementara itu, Azman berkata aspek nilai berita memainkan peranan penting dalam menjadikan sesuatu berita itu adalah 'berita' dan menarik untuk dibaca.
Berkongsi pengalaman, Azman yang mula menyertai Bernama pada 1971 berkata kepetahan dan ketangkasan wartawan dalam bertanyakan soalan terutamanya dalam sesi sidang media perlu sentiasa menjadi pegangan golongan itu.
"Dulu kita menggunakan mesin taip, dibawa ke mana-mana tempat tugasan seluruh dunia… berbeza sekarang, berita boleh dihantar dengan sekelip mata dan di mana-mana jua," katanya.
Jelasnya, profesion kewartawanan memainkan tanggungjawab penting untuk memastikan berita yang dihasilkan adalah tepat kerana ia bukan sekadar dibaca kelompok tertentu tetapi juga masyarakat keseluruhannya.
-- BERNAMA
​​​​​​

No comments:

Post a Comment