Monday 22 May 2017

Tiga Bekas Menteri Terima Anugerah Jasamu Dikenang Jubli Emas Bernama...

Tiga orang bekas Menteri Penerangan diberi Anugerah Khas: 'Jasamu Dikenang' oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menghargai sumbangan mereka dalam bidang media dan komunikasi.
Anugerah Khas bersempena sambutan Jubli Emas agensi berita itu diberi kepada Penasihat Sosio Budaya kepada Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim, tokoh wartawan Tan Sri Zainuddin Maidin dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada acara gilang-gemilang Jamuan Malam Jubli Emas Bernama di ibu negara malam ini.

Dr Rais, 75, yang berasal dari Kampong Gagu, Jelebu, Negeri Sembilan, terkenal dengan jasa bakti dan sumbangan melalui pelbagai usaha memartabatkan seni, bahasa dan warisan bangsa di peringkat negara bangsa, serantau dan antarabangsa.
Pernah menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Menteri Luar; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Rais mempunyai hubungan akrab dengan Bernama semasa menjadi Menteri di KPKK dari tahun 2009 hingga 2013.
Bapa kepada empat orang anak ini menjawat jawatan Menteri Penerangan pada 1984 sebelum sekali lagi memegang portfolio yang sama dari 2009 hingga 2013 sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan di bawah kabinet baharu waktu itu pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terkini, Rais yang pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Buku Negara pada 2010 kerana sumbangan dalam bidang penulisan dan industri penerbitan buku, merupakan Presiden keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Zainuddin, 78, yang menjadi Menteri Penerangan dari tahun 2006 hingga 2008, sinonim dengan dunia kewartawanan dan amat rapat dengan Bernama sepanjang lima dekad kerjaya beliau dengan Utusan Melayu.
Bekas Ketua Pengarang Utusan itu yang dikenali dengan nama pena ZAM itu, memulakan kerjaya dalam dunia media sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Alor Setar pada tahun 1951 sebelum dilantik menjadi wartawan tetap 10 tahun kemudian.
Beliau pernah menjadi wakil Utusan Melayu di London (1975-1976) sebelum menjadi Ketua Pengarang akhbar itu selama hampir sedekad dan kemudiannya menceburi bidang politik.
Zainuddin yang menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) pada 1970-an dan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (1984-1989) itu juga aktif menulis buku, antaranya Mahathir Di Sebalik Tabir; Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot; Wira Tak Di Dendang; dan Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara.
Allahyarham Mohamed pula, yang merupakan bapa kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dan Presiden UMNO sepanjang empat dekad penglibatannya dalam kerajaan serta parti sebagai Setiausaha Agung UMNO.
Beliau yang dilahirkan pada 1938, pernah dilantik dua kali sebagai Menteri Penerangan iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semasa menjadi Menteri Penerangan, beliau antara lainnya telah memperkenalkan Program 'Setia Bersama Rakyat' (Semarak), yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan dan setia kepada negara, semasa awal 1990-an.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment