Monday 31 July 2017

Berat mata memandang...

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Penyelia pengawal keselamatan Bernama, Basir Hassan, yang diserang strok empat bulan lepas, menggagahi diri untuk datang ke Wisma Bernama pagi ini bagi mengucapkan salam perpisahan.
Beliau datang untuk mengambil barang-barang yang masih tersimpan di pejabat serta mengembalikan pas keselamatan dan buku rawatan Bernama.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh kagum dengan ketabahan Basir dan mendoakan beliau pulih daripada penyakit.
Katanya, Basir telah berkhidmat dengan penuh dedikasi menggunakan pengalaman ketenteraannya untuk menjaga keselamatan di Bernama.
Basir berkhidmat selama 24 tahun sebagai anggota tentera sebelum memohon menyertai Bernama pada Julai 2013.
Dalam pertemuan dengan Datuk Zulkefli pagi ini, Basir mengucapkan terima kasih dengan menyatakan kontraknya akan tamat pertengahan Ogos ini.
"Minta maaf kalau ada salah," kata Basir yang akan pulang ke kampung di Kedah. 
Beliau menceritakan keadaan dirinya setelah diserang strok serta usaha yang dilakukan ke arah pemulihan.
Penglihatan dan pendengarannya masih terjejas, kata Basir yang ditemani isteri dan anak-anak ke Wisma Bernama.  
Beliau turut bertemu Pengurus Kanan Kewangan dan Akaun, Puan Sharifah Zaini Syed Zain yang kini menjalankan tugas Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran serta Puan Mariati Arif, pengurus sumber manusia.


Sabar selenggara kenderaan...

Satu daripada dua kenderaan Kembara Inspirasi Haji mengisi petrol
semasa berada di bandar Yong Deng dalam Wilayah Gansu (China)
Daripada Abdul Rahman Ahmad di bandar Yong Deng dalam Wilayah Gansu (China)

Selepas menempuh 6,000 kilometer perjalanan, kedua-dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan Kembara Inspirasi Haji terpaksa dibawa untuk pemeriksaan dan penyelengaraan sebelum para peserta meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
Penyelengaraan keempat-empat tayar kedua-dua kenderaan itu mengambil masa lebih satu jam di sebuah bengkel di bandar Yong Deng petang semalam.
Menurut Muhammad Shahuri Zainuddin, seorang peserta yang juga mekanik bagi kembara itu, penyelengaraan kenderaan harus dibuat bagi memastikan kedua-duanya dalam keadaan baik dan selamat untuk meneruskan perjalanan.
"Setiap perjalanan jauh mengakibatkan tekanan angin dalam tayar berkurangan. Jadi kita kena tukar posisi tayar yang di depan dengan tayar yang di belakang, jika tidak stering akan bergegar dan ini membuat kita tidak berkeyakinan untuk mengendalikan kenderaan itu," katanya ketika bertungkus lumus membuat penyelengaraan kenderaan terbabit.
Beliau berkata tayar kedua -dua kenderaan itu tidak perlu ditukar dengan yang baharu kerana tayar-tayanya masih dalam keadaan baik.
Peserta lain dalam pada itu terpaksa menunggu dengan sabar sehingga kerja-kerja penyelengaraan siap.
Kos penyelengaraan kedua-dua kenderaan itu ialah kira-kira RM250 sahaja.
Muhammad Shahuri juga bertanggungjawab terhadap penjagaan kenderaan-kenderaan kembara setiap kali rombongan kembara singgap bemalam di mana-mana tempat penginapan.
Kembara Inspirasi Haji akan meneruskan perjalanan ke Kumul melibatkan jarak perjalanan 700 km yang dijangka mengambil masa lebih 9 jam.
-- BERNAMA





Sunday 30 July 2017

Semangat untuk Basir...

Basir (kiri) bersama Mohamed
“Jangan hisap rokok, jaga solat dan jangan lupa eksesais”
Itulah pesanan penyelia pengawal keselamatan Bernama Basir Hassan kepada ‘anak-anak buahnya' yang melawat beliau di rumahnya hari ini.
Beliau sedang cuti sakit setelah diserang strok empat bulan lepas.
Kehadiran tiga ‘anak buah’nya – Azahar Fathal, Mohamed Zainal dan Mohd Irwan Mustaffa menggembirakan Basir yang gigih menjalani rawatan pemulihan.
“Saya boleh katakan dua minggu sekali pergi tengok dia.…juga kalau ada kawan-kawan lain yang sakit,” kata Azahar.
“Keadaan dia hampir 30 peratus pulih dari gaya bercakap dan pergerakan,” kata Azahar yang berkunjung ke kediaman Basir di Keramat Hujung, Kuala Lumpur.
“Dari awal dia masuk Hospital Tuanku Mizan hingga kini, saya lihat ada banyak perubahan seperti tangan dah boleh angkat dan boleh berjalan perlahan-lahan.
“Boleh mandi sendiri, pakai baju sendiri serta suap makan sendiri,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Basir boleh bercakap dengan jelas, katanya: “Kurang baik, ada sengau sikit..telinga tak dengar sebelah kanan”.
Basir tinggal bersama isteri Puan Shahini Mat Hassan yang telah bersara daripada tentera serta dua anak mereka.
Seorang anak mereka berada di asrama dan seorang lagi menjadi anggota tentera yang bertugas di Sarawak.
Basir pernah memberitahu ketika mula menyertai Bernama pada 1 Julai 2013 bahawa beliau tidak menyangka akan berkhidmat dengan Bernama setelah bersara dari tentera.
Beliau kerap melihat papan tanda  Bernama di simpang Jalan Tun Razak ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kementerian Pertahanan (Mindef). 
Beliau memohon kerja sebagai penyelia pengawal keselamatan Bernama setelah mengetahui mengenai kekosongan jawatan itu melalui Internet.
"Selesa bekerja di sini dengan pergaulan staf yang tidak sombong," katanya ketika itu.
"Saya akan gunakan pengalaman dalam tentera untuk menjaga keselamatan di sini,” kata Basir, 46, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
Azahar melawat Basir di Pusat
Rehabilitasi di Cheras
Beliau berkhidmat selama 24 tahun sebagai anggota tentera dengan pangkalan terakhir sebelum  bersara di 93 Regimen Semboyan DiRaja, Kem Imphal di Jalan Padang Tembak.
Azahar berkata beliau dapat merasakan kehadiran mereka memberikan semangat kepada Basir.
“…kalau tak hari-hari terfikir lain jer katanya,” menurut Azahar memetik kata-kata Basir.
“Saya tak boleh dengar orang sakit, apa lagi saya pernah sakit terlantar di rumah selama dua minggu,” katanya yang patah tulang rusuk selepas kemalangan motosikal dua tahun lepas.
“Bila kita duduk seorang, kita terfikir macam-macam dan rasa sunyi… jadi saya call kawan-kawan datang untuk bergurau senda.
“Oleh yang demikianlah, saya suka pergi melawat orang sakit sebab saya tahu perasaan orang sakit macam mana,” kata Azahar.
Dua minggu lepas beliau melawat Basir di  Hospital Rehabilitasi di Cheras untuk memberinya semangat ketika menjalani rawatan pemulihan.
Semalam beliau serta dua lagi rakan Bernama, Mahmood Nik dan Amral Ibrahim melawat pesara Bernama, Encik Ismail Suboh yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Mohamed pula berkata beliau berasa bersyukur dapat melawat Basir.
“Beliau seorang insan yang cukup tabah menerima keadaan,” katanya. 

Belajar bahasa Mandarin untuk sebar maklumat...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di bandar Yong Deng dalam Wilayah Gangsu (China)

Peserta Kembara diMasjid Xiguan dalam
wilayah Gansu
Masalah komunikasi akibat tidak tahu berbahasa Mandarin menyebabkan lapan peserta Kembara Inspirasi Haji sukar menyebar maklumat kepada masyarakat China yang ingin tahu mengenai pengembaraan mereka ke Tanah Suci.
Untuk itu, Mohd Izam Mahd Nor berusaha mengatasi halangan berkomunikasi dengan mempelajari bahasa berkenaan daripada Andy Yuan, seorang pemandu pelancong dari China yang mengiringi peserta kembara sepanjang pengembaraan mereka di China.
Mohd Izam mengambil kesempatan belajar daripada ketika mereka berada dalam kenderaan sepanjang perjalanan.
"Bagi saya bahasa Mandarin bahasa istimewa , namun saya belum pandai tetapi saya akan terus mencuba selagi saya ada di China," kata Mohd Izam.
Beliau begitu cepat dan cekap menguasai bahasa Mandarin walaupun tidak pernah bertutur bahasa itu sebelum ini.
Ada kala beliau berpandukan aplikasi berbahasa Mandarin melalui telefon bimbit sebagai rujukan dan terjemahan semasa bertutur dengan warga China.
Sikap bersahaja Mohd Izam membuatnya tidak segan malah mempunyai keyakinan tinggi untuk bertutur dalam bahasa itu dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya.
Mohd Izam bergambar bersama penjual tembikai di Gangsu
Beliau yang suka berseloroh juga tidak berasa malu sekiranya melakukan kesilapan dalam sebutan ketika bertutur malah akan membetulkannya.
Lazimnya tiada siapa yang akan memarahi atau menegurnya malah hanya tersenyum jika dia tidak menyebut perkataan dengan jelas dan tetap kerana mereka memahami Mohd Izam seorang pengembara asing yang cuba mempelajari bahasa itu.
Ada kalanya nama Chong Wei dan Lin Dan, pemain hebat badminton dunia, disebut-sebut oleh Mohd Izam sebagai memperkenalkan Malaysia kepada warga China yang samar-samar mengenai Malaysia.
Ditanya mengenai pengalamannya menjadi peserta paling muda, Mohd Izam berkata: "setakat ini terlalu banyak benda baharu, pengembaraan ini satu peluang bagi saya untuk mencuba dan memahami terlalu banyak yang saya pelajari dan lalui."
Ini adalah kali pertama beliau menyertai sebarang pengembaraan yang telah memberinya pengalaman dalam hidup sebagai seorang pengembara.
Pengembaraan anjuran Pertubuhan Kembara Amal (PEKA) setakat in menghampiri 7,000km melalui Thailand dan Laos dan beberapa bandar di China seperti Shadian, Kunming, Mengla, Dali, Lanzhou, Wei Yuan di Wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu.
Pengembaraan itu dijangka menempuh perjalanan sejauh 16,000km yang akan turut merentasi Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu sebelum menaiki kepal terbang ke Jeddah beberapa hari sebelum wukuf
--BERNAMA




Saturday 29 July 2017

Kembara Inspirasi Haji jadi tarikan di China...

Daripada Abdul Rahman Ahmad

 Setiap kali dua kenderaan membawa lapan peserta Kembara Inspirasi Haji melalui jalan bandar di wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu di China, mereka pastinya menjadi perhatian penduduk setempat.
Para peserta singgah di Masjid
Lao Shu Chuan di wilayah Gansu
Malah, ada yang sanggup memberhentikan kereta semata-mata untuk menyapa peserta kembara dan bertanyakan mengenai kehadiran mereka.
Tarikan itu berikutan kedua-dua kenderaan dipenuhi pelekat logo penaja serta peta laluan negara-negara yang direntasi sepanjang pengembaraan mereka ke Tanah Suci.
Ada  juga penduduk yang mengerumuni kedua-dua kenderaan untuk melihat peta perjalanan dan logo-logo penaja itu.
Ramai yang tertarik dengan kehadiran peserta kembara kerana amat jarang sekali mereka menerima warga asing melintasi kampung dan bandar mereka.
Masalah komunikasi menjadi penghalang kepada peserta kembara yang tidak tahu berbahasa Mandarin manakala penduduk pula tidak fasih berbahasa Inggeris menyebabkan sukar untuk  menyampaikan maklumat mengenai pengembaraan itu.
Peserta kembara terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk menyampaikan maksud dan ada yang menggunakan telefon bimbit bagi membuat rujukan bahasa Mandarin menerusi Internet.
Bagaimanapun, kehadiran seorang pegawai pelancong China, Andy Yuan, menjadi penghubung antara penduduk dan peserta yang begitu ghairah untuk menyampaikan maklumat mengenai pengembaraan mereka yang melibatkan perjalanan 16,000km.
Setakat ini, mereka sudah melakukan perjalanan sejauh lebih 6,000km melintasi Thailand, Laos serta wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu di China. Mereka akan berada di China sembilan hari lagi.
Menurut Pengarah Projek Kembara Inspirasi Haji, Khir Ariffin, sambutan daripada masyarakat China menunjukkan mereka amat berminat untuk mengetahui tentang kembara berkenaan.
"Kita rasa amat bangga kerana warga China sama ada mereka beragama Islam atau tidak, menunjukkan minat terhadap pengembaraan kita,” katanya ketika singgah di bandar Hui Chuan dalam wilayah Gansu.
Destinasi peserta kembara seterusnya ialah di Lanzhou, bandar utama dalam laluan sutera di wilayah Gansu dan di sana nanti mereka akan menziarahi komuniti Islam dan masjid atas air serta masjid Xiguan berusia 649 tahun.
-- BERNAMA

Friday 28 July 2017

Nekad panggil Obama...

Jika tidak kerana tindakan pantasnya, jurufoto Bernama, Mazlan Samion mungkin tidak dapat merakamkan detik Presiden Barack Obama bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu persidangan berprofil tinggi.
Malah, beliau nekad memanggil Obama supaya berpaling ke arah kamera bagi mendapatkan sudut yang baik untuk foto itu.
Ketika itu merupakan mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii pada 13 Nov 2011.
“Masa tu persidangan dah tamat, jadi bodyguard-bodyguard Presiden memang begitu strict dan dia suruh kita keluar.
“Bila nak keluar tu, saya nampak dia akan bersalam dengan PM, saya dah sampai ke pintu, jadi saya cakap kepada bodyguard ‘tolonglah, saya nak ambil gambar dia bersalam’.
“Dia bagi sikit aja tapi masa tu Obama angle tak bagus, kebelakang,” katanya dalam segmen ‘Inspirasi Pagi’ program NINE11 yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama News Channel (BNC) pagi ini.
“Ketika itu juga saya fikir macam-macam…saya dah sampai di sini dan Bernama dah belanja beribu-ribu.
“Hasil saya buat kajian dengan photographer-photographer, saya beranikan diri…Alhamdulillah tercapai, memang rasa puas saya dapat shot itu,” katanya selepas disiarkan visual sedutan perisitwa itu dalam program tersebut.
Jelas kedengaran menerusi visual itu Mazlan memanggil “Mr President” sebanyak tiga kali membuatkan Obama menoleh kepadanya semasa bersalam dengan Najib. 
“Kepuasannya tak boleh dibayangkan,” kata Mazlan mengenai foto itu yang disiarkan muka hadapan akhbar-akhbar tempatan.
“PM sendiri tegur saya: “Berani awak panggil Presiden ya”,” kata Mazlan, 42.
Beliau menjelaskan bahawa tugasan itu berbentuk ‘high-profile’.
“Bila kita pergi assignment di luar negara, kita adalah satu-satunya jurufoto yang mewakili semua agensi media Malaysia.
“Mereka akan ‘pick-up’ gambar kita dan kita perlu bagi yang terbaik, go all-out.
“Macam saya, akan buat homework, kadang-kadang rujuk buku tapi kita kena bersedia dari segi peralatan, fizikal dan mental.
“Assignment itu bukan  berbentuk bilateral iaitu one-to-one yang lebih mudah untuk kita (rakam gambar) tapi ia berbentuk conference (persidangan) – ramai jurufoto, ramai pemimpin,” katanya.
Mazlan telah memenangi banyak anugerah fotografi sepanjang kerjayanya dengan Bernama sejak 13 tahun lepas termasuk Anugerah Kewartawanan Malaysia anjuran Institut Akhbar Malaysia.
Terkini ialah memenangi  tempat pertama dalam pertandingan fotografi 'Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara' anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), yang diumumkan pada 14 Julai lepas.
Ketika diminta memberikan ‘tips’ kepada wartawan dan jurufoto untuk mengatasi rasa malu dan takut ketika melakukan tugasan, Mazlan berkata mereka harus mempunyai semangat dan minat terhadap kerja.
“Kita perlu ada passion, minat bukan sahaja untuk bidang kita ini tetapi apa jua bidang.
“Kalau kita minat, kita mesti buat yang terbaik.
“Dalam mindset kita, kita akan berusaha untuk membuat sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orangramai, masyarakat dan kita akan all-out.
Dalam kewartawanan, katanya foto yang dirakam adalah ‘real’ (sebenar), tidak boleh dibuat-buat atau diulang.
“Kita ada etika yang perlu diikuti, tak boleh diedit,” kata Mazlan yang telah membuat pelbagai tugasan dalam dan luar negara.
Selain foto Obama itu, antara tugasan lain yang terpahat dalam ingatannya ialah serangan pengganas di Lahad Datu dan kejadian gunung runtuh di Filipina.
“Selepas setahun peristiwa Lahad Datu, saya hasilkan rencana dan keluarkan gambar yang saya kumpul selama setahun…Alhamdulillah banyak akhbar yang menggunakannya,” katanya.
Ditanya mengenai keperluan jurufoto menambah ilmu, beliau berkata: “ Ilmu datang apabila kita belajar tetapi yang mematangkan kita adalah pengalaman.
“Pengalaman mengajar saya untuk berdepan dengan subject matter, dan kita lebih bersedia, yang penting kena buat ‘study’,” katanya.   
“Kami jurufoto di Bernama bukan sahaja setakat ambil gambar tetapi juga diajar menulis berita dengan elemen 5W 1H.
“Kita kena tanam dalam minda bahawa dalam apa jua assignment, kita kena ambil detail. Apabila pulang ke ofis selepas tugasan, kita akan buat kapsyen bagi tugasan berbentuk berita.
 “Bernama memberikan platform yang luas di mana kita dilatih untuk mencari story-story sendiri dan di sinilah peranan kami sebagai photojournalist lebih terserlah,” katanya.


Pasangan Kembara mahu menjadi inspirasi...

Daripada Abdul Rahman Ahmad

Satu-satunya pasangan dalam Kembara Inspirasi Haji ke Tanah Suci menyertai pengembaraan itu kerana mahu perjalanan mereka menjadi inspirasi kepada pasangan lain untuk melakukan kerja amal sejauh mana mereka berada.
Jasmi Jantan, 46, dan isterinya Zuraini Abdul Malek, 36, juga ingin membuktikan bahawa terdapat banyak cara yang membolehkan seseorang itu untuk pergi ke Tanah Suci menunaikan haji.
Beliau yang telah banyak menyertai pengembaraan berkenderaan seperti ke negara Balkan dan Scandinavia merasakan pengembaraan kali ini lebih bermakna kerana ia bertujuan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Selain itu kami juga singgah di beberapa tempat untuk melakukan kerja amal, menziarahi masyarakat Islam lain dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T, kembara dahulu tidak ada tujuan tertentu hanya untuk menikmati perjalanan sahaja,” katanya ketika memandu dalam perjalanan dari Liangshan ke Jiange dalam wilayah Sichuan sejauh 570km pada Khamis.
Menurut Jasmi, beliau membawa bersama Zuraini kerana ingin berkongsi pengalaman seperti pengembaraan lain sebelum ini.
“Kelebihannya dia boleh membantu saya, tolong masak dan sediakan makanan untuk saya…benda yang mudah nasi goreng, mi goreng yang mengenyangkan,” katanya.
Bagi Zuraini yang sudah berkahwin 10 tahun dengan Jasmi berkata sememangnya meninggalkan anak-anak amat menyedihkan, namun mereka bernasib baik kerana ada adik-beradik yang memahami dan boleh menjaga anak-anak mereka.
Peserta Kembara Inspirasi Haji berhenti untuk makan
tengah hari di tepi sungai di wilayah Sichuan
”Sebaik sahaja saya mendapat pengesahaan mengenai kembara haji ini, saya terus berbincang dengan adik-adik yang sanggup menjaga anak-anak saya kerana pengembaraan kali ini lebih lama,” katanya.
Katanya, disebabkan mereka berdua sering menyertai pengembaraan di luar negara, anak-anak sudah biasa dengan ketiadaan mereka. 
“Kebiasaannya apabila pulang daripada pengembaraan, saya dan suami akan berkongsi pengalaman dengan anak-anak menerusi gambar-gambar yang diambil,” katanya.
Dalam pengembaraan ini, Zuraini turut memandu kenderaan pacuan empat roda milik mereka secara bergilir-gilir yang melibatkan jarak 16,000km.
Kembara Inspirasi Haji ini melibatkan lapan peserta dan dua kenderaan. Setakat ini mereka sudahpun mengembara sejauh lebih 6,000km merentasi Thailand, Laos dan China.
-- BERNAMA


Thursday 27 July 2017

Kisah terakhir seorang wartawan daerah: Liku-liku hidup Tok Bok

Oleh Allias Puteh 

(Wartawan daerah Bernama, Allahyarham Allias Puteh, 69, yang meninggal dunia 18 Julai lalu menulis mengenai Tok Bok yang berusia 102 tahun dalam bentuk berita pada 24 Jun. Bernama menyiarkan semula versi penuh nukilan Allahyarham dalam bentuk rencana bersama maklumat tambahan akan keperluan keluarga Tok Bok. Ia adalah antara tulisan terakhirnya.)      

Beliau masih mampu menguruskan diri serta berjalan sendiri tanpa bantuan orang, walaupun dipercayai menjangkau usia 102 tahun.
Bukan setakat itu sahaja, Siti Zahrah Wahab atau dikenali mesra Tok Bok dari Kampung Tanjung Belit, Mukim Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim, masih kuat daya ingatannya.   
“Berjalan tok gunakan tongkat. Penglihatan tok semakin berkurangan tetapi masih boleh melihat dengan jelas dari dekat. Kalau tengah hari panas tok kena pakai cermin mata hitam untuk atasi masalah silau mata,” katanya ketika ditemui penulis di rumahnya.
Tok Bok adalah anak sulung daripada lapan adik beradik terdiri daripada enam orang lelaki dan dua orang perempuan. Empat orang adiknya sudahpun meninggal dunia.
Walaupun tahun kelahiran pada kad pengenalannya dicatat 1925, anggota keluarganya berkata  beliau sebenarnya ‘dimudakan’ 10 tahun kerana lewat mendaftar dokumen pengenalan diri, satu yang lazim dibuat dahulu.
Tok Bok yang masih mampu bertutur dengan jelas memberitahu penulis bahawa beliau bernikah dua kali dan dikurniakan empat orang anak.
  
MELAYARI KISAH HIDUP TOK BOK

Hasil daripada perkahwinan pertamanya pada usia 18 tahun, beliau dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan dan seorang anak perempuan hasil perkahwinan keduanya. Anak lelaki sulungnya itu yang lahir dua tahun selepas beliau mendirikan rumah tangga kini berusia 82 tahun. 
Menariknya, Tok Bok berkata kedua-dua suaminya yang sudah lama meninggal dunia bernama Bakar. Satu lagi perkara menarik mengenai Tok Bak ialah sejak zaman kanak-kanak hingga hari ini beliau menetap di kampung yang sama. Begitu juga dengan dua orang anaknya.
Tok Bok kini tinggal bersama anak keduanya, Zubaidah 75, seorang ibu tunggal, di kampung itu sementara anak ketiganya Yusof ,72, menetap di rumah bersebelahan. Anak bongsu, Azizah, 65,  pula tinggal di kampung berhampiran.
"Anak tok yang sulung,Yazid, duduk di Felda Keratong, Pahang, dah lama dia di sana Ada juga dia balik sini jumpa Tok.
"Cucu tok sembilan orang, cicit 15 dan piut hanya seorang saja," jelas Tok Bok kepada penulis.
Apabila Bernama meminta anak bongsunya itu mengesahkan bilangan cucu, Azizah tidak ingat dan bertanya kepada Tok Bok yang mengira cucunya satu persatu dengan memanggil nama mereka dan angka sembilan itu memang tepat. Betapa kuatnya daya ingatan Tok Bok yang menjangkau usia 102 tahun.         
Sementara itu, Zubaidah yang mengurus makan-minum Tok Bok berkata sekarang ibunya itu lebih banyak makan nasi, sayur dan lauk bergoreng sahaja.
"Sejak akhir-akhir ini emak  kurang makan ulam-ulaman lagi sebab perutnya sering terasa pedih bila makan sambal belacan ," kata Zubaidah.
Azizah pula berkata ibunya tidak mempunyai masalah kesihatan yang berat cuma seringkali sakit urat dan sakit pinggang.
“Mungkin kerana sewaktu usia muda dahulu ibu bekerja keras menoreh getah dan turun ke sawah,” katanya. Nasi yang dimakan keluarga adalah daripada kudrat empat kerat ibunya. Tok Bok semasa mudanya menumbuk padi untuk dijadikan beras.        
Walaupun suaranya masih jelas apabila berbual, pendengarannya semakin kurang dan untuk berbual dengannya perlu bercakap dengan kuat.   
Menurut Zubaidah lagi, urusan mandi-manda dilakukan sendiri oleh ibunya dan beliau masih mampu berjalan keluar sekeliling rumah secara bersendirian menggunakan tongkat. 
Tok Bok masih ingat peristiwa lampau yang sering diceritakan kepada anak cucu dan saudara-mara. Umpamanya ketika zaman pendudukan Jepun, ibu dan rakan-rakannya akan melarikan diri ke kubu yang dibina khas jika mendapat khabar akan kedatangan tentera Jepun. 
Bagaimanapun, sejak beberapa hari kebelakangan ini Tok Bok uzur dan lebih banyak berehat dan tidur.
  
TOK BOK DAN KELUARGA HIDUP DALAM KESEMPITAN

Bagaimanapun, masalah besar keluarga Tok Bok adalah kesempitan hidup. Zubaidah yang sudah berusia terpaksa bekerja sebagai pekerja am dengan pendapatan RM270 sebulan di sebuah sekolah agama di kampung itu untuk menampung kehidupan.
Beliau juga menjadi pengasuh anak di rumah seorang guru dan semasa Zuraidah keluar bekerja, Azizah akan datang membantu.
Seorang lagi anak Tok Bok, Yusof juga akan turun membantu. Mereka menerima bantuan daripada Pejabat Zakat Kedah sekali sahaja setahun dan tiada pendapatan lain.
Baru-baru ini Tok Bok menerima sepasang baju kurung baru dan sehelai kain batik untuk dipakai sempena Hari Raya Aidilfitri daripada Tokoh Ma'al Hijrah 2011 Daerah Kulim Tan Kim Pheng, lebih dikenali mesra sebagai 'Ah Peng' .
'Tok Bok' menerima sepasang baju kurung daripada Kim Pheng 
Tok Bok dan keluarga sangat tersentuh dengan kehadiran penulis yang sudi menjenguk bertanyakan khabar.
Mereka terkejut apabila Bernama yang menghubungi mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut  memaklumkan penulis itu sudah meninggal dunia. 
“Allias sangat prihatin terhadap kesihatan dan keluarga Tok Bok. Allias turut berpesan supaya “jaga baik-baik” sebelum berpisah” kata Azizah.   
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban Tok Bok dan Siti Zahrah boleh menghubungi talian : 0174787876 (Zubaidah Bakar) .

SIDE BAR 

ALLIAS PUTEH BERMINAT MENULIS  

Penulis kisah Tok Bok, Allahyarham Allias Puteh, 69, adalah pemberita daerah Bernama sejak awal 1980an dan meneruskan penulisan beliau sepenuh masa selepas bersara sebagai juruteknik di Jabatan Kerja Raya.
Sebagai pemberita daerah, beliau aktif menulis kisah serta perkembangan yang berlaku di sekitar daerah Kulim dan Bandar Baharu. Selain berita, beliau banyak mengisahkan kehidupan penduduk di kampung sekitar melalui rencananya.  
Rakan serta sahabat handai termasuk Ketua Biro Bernama Kedah Zabidi Ishar dan Ketua Biro Bernama Perlis Zainal Abdul Jalil mengenali Allias sebagai pemberita sambilan yang rajin dan benar-benar berminat menulis.
Awal tahun ini beliau menerima penghargaan daripada polis Kulim kerana sumbangan beliau sebagai pemberita daerah dan lima tahun lepas menerima penghargaan sama daripada bomba dan penyelamat Kulim.       
Allias dimasukkan ke Hospital Kulim pada 12 Julai kerana masalah buah pinggang dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Julai. Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taufiq, Air Merah, Kulim.
Beliau meninggalkan isteri,  Asma Zakaria, 72, seorang pesara guru dan lima orang anak, berusia dari 26 hingga 44 tahun, serta lima orang cucu. Al-Fatihah.
-- BERNAMA

Gembira jumpa masjid ...

 Daripada Abdul Rahman Ahmad

Terserempak dengan sebuah masjid kuning hijau yang baharu ketika melalui satu kawasan di China membawa kegembiraan bagi lapan peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) 2017.
Kubah masjid itu muncul di pandangan ketika mereka melalui jalan kampung Ma Jia Zhuang dalam wilayah Yunnan petang semalam semasa dalam perjalanan ke Liangshan dari Dali sejauh kira-kira 570km.
Pengarah Projek KIH Khir Ariffin berkata tujuan kembara itu sememangnya mencari dan melawat masjid dan surau di semua negara yang dilalui selain matlamat menunaikan haji.
“Saya sungguh seronok dan teruja, kita tak rancangpun untuk singgah ke sini. Masjid ini sangat cantik, tak sangka dapat jumpa masjid seperti ini,”  katanya semasa singgah di masjid dua tingkat itu yang masih belum digunakan tetapi bahagian dalam sudah dihiasi.
Ketika sampai di perkarangan masjid itu pada 4.50 petang, tidak terdapat kelibat mana-mana pegawai atau kakitangan masjid.
Namun tinjauan mendapati dewan solat terletak di bahagian atas sementara bahagian bawah dipercayai dijadikan kelas pengajian berdasarkan aturan meja dan kerusi yang dilihat.
Perjalanan peserta kembara di jalan kampung itu membabitkan jarak lebih 100km dan selebihnya melalui lebuh raya.
Tempoh keseluruhan perjalanan dari Dali ke Liangshan mengambil masa hampir 13 jam dari tengah hari  semalam dan tiba1 pagi Khamis.
KIH membabitkan pengembaraan dua bulan dengan perjalanan darat sejauh 16,000km merentasi 10 negara sebelum peserta menunaikan ibadah haji di tanah suci.
Pengembaraan itu bermula di Kuala Lumpur pada 18 Julai lepas dan telah melalui tiga negara iaitu Thailand, Laos dan kini, China.
-- BERNAMA

Leaving with a sense of gratitude...

Despite feeling sad about retiring from Bernama, long-serving staff K.Raghavan can look back with a sense of pride that he has given his best in his 37 years of service to the organization.
“Definitely it is sad to leave…I enjoy my life in Bernama, I gave my sincerest in my work,” said the veteran of InfoLibNews.  
He was among 19 individuals who received long-service awards during Bernama's 50th anniversary dinner on May 22. 
As he goes on retirement come Aug 1 upon reaching 60, he is thankful to Bernama for helping him at a time when he needed most.
“I need to go for an operation to replace my pelvic bone after the problem occur again since the last operation in 1992,” said Raghavan, who was an athlete in his young days.
The operation is scheduled for August 23 at the University Malaya Medical Centre.
He said he was grateful to Bernama for providing financial assistance when he went for the first operation and again this time.
Saying he was feeling a little bit pain when moving around, he explained that he was unable to walk without a walking stick.
"...waiting for my surgery date, hopefully all will be well," said Raghavan, who is currently on medical leave.
“I will mostly miss the people in Bernama…colleagues and good bosses,” said the father of four, who joined Bernama at the age of 22 when the headquarters was at MCOBA Building in Jalan Syed Putra.
He said he will have to continue working after retirement “as my children are still studying”.
“Moreover, I don’t like to remain idle because it is not good for health,” he said.
His two elder children are a 20 year-old son and a 16 year-old son apart from two daughters aged 14 and 13 years old.
“I may have to count on my networking experience doing multi-level marketing or become a mutual fund agent," he said of the possible options that he would take.
   

Wednesday 26 July 2017

Tidak lalai dirikan solat...

Daripada Abdul Rahman Ahmad

Walaupun menempuh perjalanan ratusan kilometer setiap hari, lapan peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) tidak lalai daripada menunaikan kewajipan bersolat sejak hari pertama memulakan pengembaraan.
Setiap kali masuk waktu solat, mereka akan berhenti di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai  untuk mendirikan solat.
Tempat letak kereta, surau di gerai, ruang lapang dalam bangunan di kawasan rehat lebuh raya serta kawasan terbuka sering dijadikan tempat untuk bersolat bagi para peserta itu yang kini berada di Dali di China. 
Beralaskan tikar mengkuang, solat dilakukan secara jamak dan berjemaah, diimamkan oleh Zikri Fuad Abdul Salam, 43, serta turut disertai satu-satunya peserta wanita Zuraini Abdul Malek, 36.
Perbuatan mereka itu sering kali menarik perhatian penduduk tempatan dan orang ramai yang kebanyakannya bukan beragama Islam.
Menurut Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin, solat amat penting dan perlu dijaga walaupun mereka dalam perjalanan jauh.
Peserta Kembara lazimnya melakukan solat subuh di masjid tempat mereka menginap semalaman jika terdapat masjid di situ seperti di The Grand Mosque of Shadian dan masjid lama di Dong Lian Hua di Dali.
Solat Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak didirikan secara jamak qasar, iaitu dihimpunkan kedua-dua waktu solat dalam satu waktu dan solat yang empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat.
Para peserta KIH itu telah seminggu berada di atas jalan melibatkan perjalanan 4,050 kilometer sejak mereka memulakan pengembaraan di Kuala Lumpur pada 18 Julai lepas.
Mereka telah melalui tiga negara, Thailand, Laos dan kini China yang meliputi enam bandar dan bandar raya.
Pengembaraan mereka berbaki 12,000 kilometer yang akan merentasi enam lagi negara sebelum sampai ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan seterusnya menaiki pesawat dari sana ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.
-- BERNAMA

Tuesday 25 July 2017

Melonjak naik dengan dron...

Penggunaan dron akan dipertingkatkan kerana ternyata memberikan nilai tambah kepada foto-foto Bernama.
Meja Foto telah memulakan operasi dron untuk tugasan rasmi pada 16 Julai lepas dengan merakam foto berkaitan fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang yang bakal dilancarkan keesokannya.
Ia dikendalikan sekumpulan kecil jurufoto hasil beberapa siri tunjuk ajar teori dan amali oleh Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab sejak beberapa bulan lalu.
Hasil sulung itu memberansangkan apabila lima keping foto digunakan oleh akhbar utama termasuk tiga akhbar menggunakannya pada muka hadapan.
Akhbar-akhbar yang menggunakan gambar pada muka hadapan pada 17 Julai ialah New Straits Times, Utusan Malaysia dan China Press.
"Akhbar Utusan juga menggunakan sekeping gambar yang berlainan hasil sentuhan dron kita pada muka dalam selain akhbar Oriental Daily," kata Editor Foto Adnan Jahaya.
"Beberapa media online juga dikesan menggunakan gambar-gambar Bernama termasuk Straits Times Singapura, Channel News Asia dan Sinar Harian yang menggunakan gambar yang dirakamkan menggunakan dron pada sebelah malam," katanya.






Konsul Jeneral Malaysia beri jaminan bantu kembara Haji...

Daripada Abdul Rahman Ahmad 

Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Datuk Siow Chen Pin memberi jaminan akan memberi kerjasama dan bantuan  sepenuhnya kepada peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) sepanjang 17 hari  mereka  berada di wilayah Yunnan, China.
Beliau menyatakan jaminan itu semasa menerima kunjungan rombongan lapan peserta kembara itu sebaik sahaja mereka tiba di Kunming dari Shadian petang semalam.
“Saya beri jaminan jika  ada berlaku apa-apa atau masalah yang dihadapi oleh mereka, pihak kami akan beri bantuan sepenuh dan  segala masalah kita cuba selesaikan.
“Saya bangga kerana mereka adalah satu pertubuhan amal dan kedatangan mereka ke beberapa tempat di Yunnan  adalah untuk menghulur bantuan dan sumbangan dan saya berharap mereka  akan terus membuat kerja amal itu seperti yang mereka lakukan  di Shadian,” katanya.
Turut hadir Atase Imigresen di Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Muhammad Arshad Barkatullah.
Terdahulu, Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin memberi taklimat kepada Siow dan pegawai tertinggi konsulat jeneral mengenai pengembaraan yang melibatkan perjalanan sejauh 16,000km menggunakan dua buah kenderaan.
Setakat ini, peserta kembara telah melakukan perjalanan sejauh 3,680 kilometer  sejak memulakan pengembaraan di Kuala Lumpur, Selasa lepas dalam misi menuju ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji.
-- BERNAMA

Konsul Jeneral Malaysia Datuk Siaw Chen Pin (dua, kiri) melepaskan peserta Kembara Inspirasi Haji di hadapan bangunan Konsulat Malaysia di Kunming hari ini. Peserta kembara akan meneruskan perjalanan ke Tanah Suci Makkah.

Monday 24 July 2017

Meja Foto akhiri Syawal dengan rumah terbuka...

Hari ini berakhirnya bulan Syawal dan Meja Foto mengambil kesempatan saat akhir itu dengan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri.
Majlis diadakan secara sederhana dan dirancang dalam waktu yang singkat selepas tujuh tahun tidak diadakan.  
Menunya juga agak sederhana iaitu nasi dagang, laksa, bihun goreng, roti jala dan kueh mueh selain minuman.
Walaupun tiada paparan jemputan di skrin atau email namun pengumuman mengenai rumah terbuka disebarkan satu jam sebelum diadakan melalui pembesar suara manakala ada yang telah dimaklumkan lebih awal secara peribadi oleh para petugas. 
Meja Foto bersyukur dengan sambutan amat menggalakkan dan ia berjalan mengikut jadual iaitu bermula pukul 3 petang dan berakhir pukul 5 petang.
Antara yang hadir termasuk Pengurus Besar, Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang, Datuk Zakaria Abdul Wahab dan ketua-ketua bahagian di Wisma BERNAMA.
Meskipun berlangsung rumah terbuka namun operasi harian Meja Foto tidak terjejas kerana para petugas tetap dengan tanggungjawab mereka menyiapkan kerja sebelum bersama-sama menyambut para tetamu.
Sejak pagi persiapan mengadakan rumah terbuka dilakukan oleh para petugas yang sebahagian besarnya berada di pejabat.
Rumah terbuka kali ini juga agak istimewa kerana turut dihadiri oleh bekas Ketua Jurufoto, Rosli Hurmin yang telah lebih 10 tahun tidak mengunjungi Meja Foto selepas bersara.
"Saya berjanji akan datang semula ke sini selepas 10 tahun bersara dan kini saya tunaikan.  Saya melihat perubahannya," kata Rosli.
Apa pun rumah terbuka Meja Foto tetap menyuburkan ikatan silatulrahim di kalangan warga Wisma BERNAMA. 
Walaupun 1 Syawal adalah hari yang indah namun akhir Syawal tidak kurang dengan kemurniannya.



Laporan dan foto Adnan Jahaya

Sunday 23 July 2017

Sehari di Shadian tinggalkan kenangan pahit dan manis...


Daripada Abdul Rahman Ahmad

Sehari suntuk di bandar yang 99 peratus penduduknya  beragama Islam, peserta Kembara Inspirasi Haji 2017 (KIH) berdepan banyak cabaran  pahit dan pengalaman manis.
Setelah bergerak melebihi 3,000 kilometer dari Kuala Lumpur sejak Selasa lalu, kenderaan dua buah pacuan empat roda yang membawa lapan peserta itu memasuki bandar Shadian di Wilayah Yunnan, China pada pukul 4.30 pagi ini  diiringi sebuah kereta pihak berkuasa yang lazim berbuat demikian untuk pelawat yang datang ke bandar kecil itu.
Sebaik sahaja mendaftar masuk bilik penginapan, peserta kembara terus menunaikan solat subuh di The Grand Mosque Shadian.
“Alhamdulillah, walaupun terpaksa melalui  pemeriksaan keselamatan, namun kita dapat tiba dengan selamat ke sini,” kata Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin sebaik tiba di bandar itu.
Mereka juga telah melawat perkhemahan musim panas yang menempatkan kira-kira 300 pelajar Islam di kawasan masjid Xida di Jijie, tidak jauh dari bandar itu.
Menurut seorang pengajar,  yang dikenali sebagai Fatimah,  hanya pelajar  berusia antara 10 dan 20 tahun diterima menyertai perkhemahan itu dan mereka diajar bahasa Arab, Inggeris dan pengjian agama dan al-Quran.
“Setiap tahun lain pelajar Islam akan diambil menyertai perkhemahan ini selama dua minggu yang turut melibatkan aktiviti sukan untuk pelajar lelaki dan perempuan yang ditempatkan di asrama yang berlainan,” katanya, yang kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.
Para peserta KIH terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti tingkap kenderaan bocor ketika hujan semasa dalam perjalanan 600km ke Shadian selain mengalami kehausan pelapik brek.
Menurut Muhammad Shahuri Zaiinuddin, selaku mekanik kembara itu, masalah brek disebabkan kenderaan berkenaan sudah melebihi tempoh perjalanan ribuan kilometer selain mengharungi kawasan tinggi   dan curam.
Masalah itu harus dibaiki malam ini juga kerana  peserta KIH akan menyambung perjalanan 300km ke Kunming pagi esok.
-- BERNAMA