Saturday 30 September 2017

Wartawan Bernama antara pemenang Anugerah Media MIDA 2017

Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohd Khairi Idham Amran muncul antara pemenang Anugerah Media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sempena sambutan ulang tahun ke-50 agensi itu di ibu negara malam ini.
Wartawan Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama itu mendapat tempat kedua dalam kategori portal berita dalam talian dan media cetak (Berita dan Rencana) menerusi artikelnya 'Malaysia Works at Cultivating Strong Economic Ties with China'.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Wartawan The New Straits Times, Rupa Damodaran menjuarai kategori itu dan memenangi wang tunai RM5,000 menerusi artikelnya, 'MIDA Sees Brighter Investment Climate'.
Wartawan-wartawan lain yang menerima hadiah sagu hati RM1,000 adalah dari Harian Metro, Sin Chew Daily and Utusan Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah itu yang bertujuan mengiktiraf dan menghargai sokongan media sebagai medium menghubungkan agensi itu dengan pemegang kepentingannya dan orang awam.
Dalam kategori portal berita video, penyiaran, televisyen dan media elektronik (Berita /Dokumentari /Rencana), pemenang tempat pertama adalah Farahiah Mohd Zubir dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi rencananya 'Reaksi Pelabur Jerman Mengenai Pelaburan ke Malaysia'. Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Hadiah sagu hati bagi kategori ini diterima oleh Astro Awani menerusi rencana bertajuk 'Malaysia Tarik Pelabur Sebagai Pengerusi ASEAN'.
Sejumlah RM19,000 hadiah wang tunai disampaikan kepada pemenang dalam kedua-dua kategori.
-- BERNAMA


Tujuh hari kursus minimum setahun...

Para petugas tetap perlu menghadiri kursus sekurang-kurangnya tujuh hari setahun.
Perkara itu diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan pada mesyuaratnya Khamis lepas setelah syor berkenaan dibentangkan oleh Bahagian Sumber Manusia.
Cadangan bagi keperluan kursus itu dikemukakan ekoran Mesyuarat Penyelarasan Jabatan Pengarang pada 25 September lepas yang membincangkan isu kursus anjuran Pusat Kecemerlangan dan Infolib yang tidak mendapat sambutan.
Ini disebabkan komitmen kerja petugas dan kehadiran kursus selama tujuh hari setahun tidak lagi diwajibkan kepada petugas sejak Mac 2016.
Keadaan itu memberi kesan kepada peranan Pusat Kecemerlangan selaku unit latihan yang sentiasa merangka kursus-kursus umum dan yang berkaitan dengan kemahiran kerja petugas.
Ia juga menyebabkan pembaziran kerana Bernama perlu membayar tenaga pengajar bagi kebanyakan kursus yang dianjurkan sedangkan ia tidak mendapat penyertaan daripada petugas.
Antara justifikasi bagi cadangan itu ialah meningkatkan mutu prestasi kerja petugas.
Petugas yang diberi latihan dan kursus bersesuaian boleh memantapkan prestasi kerja dan meningkatkan kemahiran kerja dengan menambah baik secara berterusan.
Ia juga bagi pembangunan kerjaya petugas untuk meningkatkan tahap mereka dengan mempunyai skil dan pengetahuan yang tiada sempadan.
Cadangan itu juga bertujuan menyokong peranan Pusat Kecemerlangan dalam menganjurkan kursus yang bersesuaian dengan bidang tugas dan keperluan semasa untuk faedah kepada petugas dan organisasi secara keseluruhnnya.
Kursus yang boleh dihadiri dan diambil kira termasuk kursus dalaman dan luaran.




Friday 29 September 2017

Persatuan alumni berhasrat kerjasama dengan Bernama...

Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN) berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari segi perkongsian idea dan pandangan berkaitan kepimpinan, kerjaya dan keusahawanan.
Pengerusinya Saiful Azhar Shaharun berkata kepakaran ikon-ikon pemimpin yang telah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing boleh membantu petugas Bernama meningkatkan kemahiran komunikasi.
“Misalnya, alumni dalam jurusan komunikasi boleh menyumbangkan tenaga mereka dengan memberi khidmat nasihat serta bimbingan dalam membantu petugas Bernama meningkatkan kemahiran komunikasi masing-masing semasa bekerja di lapangan," katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan ke Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan Pengarang Meja Berita Antarabangsa Ahmad Fuad Yahya.
Saiful Azhar berkata Bernama yang sentiasa menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat serta menjadi rujukan media lain merupakan platform terbaik bagi memperkenalkan alumninya yang telah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing agar dapat dijadikan sumber inspirasi kepada golongan muda terutamanya.
PIMPIN merupakan persatuan alumni UiTM yang ditubuhkan sejak 2001 dan sehingga kini telah mempunyai seramai 3,200  anggota yang telah menjawat pelbagai jawatan sama ada dalam sektor kerajaan, swasta mahupun persendirian.
PIMPIN juga giat menjalankan pelbagai aktiviti dengan komuniti bagi melahirkan masyarakat yang kreatif dan berinovasi di peringkat global serta melahirkan pekerja yang cemerlang dalam bidang masing-masing.
-- BERNAMA  

Benita kumpul lebih 300 pakaian untuk tujuan amal...

Lebih 300 pasang pakaian yang masih elok dan cantik, berjaya dikumpul oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) untuk diserahkan kepada Yayasan Prihatin Insan (YPI)  bagi tujuan mengutip dana melalui kempen 'Baju Cantik Untuk Dana'.
Pakaian yang disumbang anggota Benita, kakitangan Bernama dan anggota Puspanita cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (PCKKMM) itu akan dijual pada program jualan YPI dan hasilnya akan diagihkan pula kepada asnaf terpilih.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa berkata kempen yang dijalankan selama sebulan itu merupakan kesinambungan program kebajikan yang dianjurkan persatuan berkenaan seperti projek 'Sepatu Raya' dan beberapa program kebajikan yang diadakan setiap tahun.
"Ini merupakan kali pertama kerjasama Benita dengan Yayasan Prihatin Insan dan kami berharap usaha ini dapat membantu yayasan dalam meringankan beban golongan yang memerlukan," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan 'Baju Cantik Untuk Dana' di Wisma Bernama hari ini.
Sumbangan pakaian itu diserahkan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh kepada Pengerusi YPI Ismail Ishak. 
Rohana berkata Benita juga akan meneruskan inisiatif sebagai perantara kepada badan-badan kebajikan serta mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak bagi melaksanakan program amal yang diusahakan.
Sementara itu, Ismail mengucapkan perhargaan kepada Benita atas sumbangan berkenaan dan berkata pakaian yang dikumpul itu akan dijual melalui program-program yang telah disusun YPI.
Antaranya jualan but kereta, kempen dan Karnival Prihatin Insan yang akan jalankan pada November.
Beliau berkata YPI juga mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat dan individu lain untuk bekerjasama dalam program kebajikan yayasan itu bagi membantu golongan asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.
"Asnaf ini bukan hanya kita bantu, malah kita didik mereka bagaimana pendekatan dan cara untuk keluar daripada garis kemiskinan melalui program yang kita jalankan," katanya.
Pada majlis berkenaan turut diadakan pertandingan Permainan Tradisional Benita 2017.
Seramai 30 peserta terdiri daripada anggota Benita mengambil bahagian dalam permainan seperti congkak, dam haji dan batu seremban.
Pemenang akan mewakili Bernama ke pertandingan peringkat kementerian anjuran Puspanita KKMM.
-- BERNAMA

Mengulangi sejarah biro Jakarta...

Apabila beliau memulakan tugas sebagai Pewarta Bernama di Jakarta pada 1 Oktober ini, saudara Mohd  Shukri Ishak bagaikan melangkah mengulangi sejarah yang tercipta 46 tahun lalu.
Pada tarikh yang sama tahun 1971, wartawan kanan Ahmad Rejal Arbee menempa nama sebagai pewarta Bernama pertama di luar negara dengan pembukaan biro Jakarta.
Kini bergelar Datuk, Ahmad Rejal berkhidmat di Jakarta sehingga Januari 1973  sebelum kembali ke ibu pejabat dan menyertai New Straits Times tiga tahun kemudian.
Beliau kembali ke Bernama sebagai Ketua Pengarang pada 1 November 1981 dan memegang jawatan itu sehingga 14 Feb 1989.
Menyedari tanggungjawab yang besar, Shukri berkata perasaannya bercampur baur apabila dimaklumkan mengenai pelantikannya sebagai pewarta Bernama menggantikan saudara Azeman Ariffin.
“Saya fikirkan tanggungjawab dan amanah sebagai pewarta…dari liputan berita dan sebagainya serta menjaga nama baik Bernama,” katanya.
Beliau juga sedar mengenai peranan sebagai “duta kecil” bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Apatah lagi, para pegawai kedutaan besar Indonesia di ibu negara yang ditemuinya berharap Bernama akan meneruskan peranan menyiarkan berita-berita yang dapat meningkatkan lagi hubungan serta meredakan isu isu sensitif .
Tanggungjawab besar juga ialah mengekalkan hubungan erat antara Bernama dengan agensi berita nasional Indonesia, Antara, yang saling bekerjasama dalam bidang media dan mempunyai hubungan istimewa.
Keakraban kedua-dua agensi itu dimanifestasikan dengan penempatan pewarta masing-masing dengan Antara mempunyai pejabat di tingkat lima Wisma Bernama di Kuala Lumpur manakala biro Bernama Jakarta ditempatkan di Wisma Antara. 
Sehingga kini, 13 orang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pewarta Bernama di Jakarta termasuk Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh yang berkhidmat di negara itu dari 1992 hingga 1995.
Malahan, bukan Datuk Zulkefli sahaja yang meningkat dalam kerjayanya menjadi ketua pengarang dan pengurus besar tetapi juga Datuk Syed Jamil Jaafar yang merupakan pewarta keempat di Jakarta pada tahun 1970-an.
Seorang daripada bekas pewarta itu, Openg Onn Net telah menghasilkan buku berjodol 'Indonesia dari sebuah jendela: Satu catatan kewartawanan' yang diterbitkan pada 2007 berdasarkan pengalamannya sebagai pewarta Bernama di Indonesia.
Openg merupakan pewarta paling lama berkhidmat di Jakarta selama enam tahun dari 1999 hingga 2004 -- menyaksikan empat presiden termasuk pilihanraya pertama presiden Indonesia.
Beliaulah yang mencetuskan idea penubuhan Bernama Radio berdasarkan sebuah saluran radio di republik itu.
Dalam menempuh fasa baharu kerjayanya di Bernama, Shukri menghargai kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab besar itu.
“InsyaAllah saya buat yang terbaik,” kata ‘anak kampung’ berusia 45 tahun dari Guar Chempedak, Kedah itu.
“Saya dah plan buat courtesy call kepada Duta Malaysia (di Jakarta) dan berjumpa Menteri Luar Indonesia..sudah minta bantuan bapak Azeman,” katanya mengenai langkah awal sebagai pewarta.
Shukri menyertai Bernama pada 1 Mei 1996 setelah memperolehi ijazah dalam bidang komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Bernama memberikan saya peluang dan diterima sebagai wartawan,” katanya.
Beliau pernah menjadi ketua meja jenayah, ketua biro dan “paling tidak boleh dilupakan ialah peluang membuat liputan haji”.
“Tahun 2014 saya cover program umrah Tabung Haji…tahun 2015 buat liputan Haji TH…tak pernah termimpi dapat peluang tu,” katanya.
Sebelum itu beliau lama menjadi Ketua Biro di Pahang dari 2001 hingga 2013.
“Sejak Datuk Seri Najib Menteri Pertahanan sampailah dia jadi Perdana Menteri,” katanya mengenai tempoh perkhidmatannya di negeri itu.
Ketika ditanya sama ada beliau terfikir untuk berkhidmat di luar negara, Shukri berkata beliau pernah berangan mengenainya.
“Berangan…bukan melobi hehehe…Alhamdulillah diberikan peluang,” katanya.
Mengenai perasaannya ‘mewarisi’ kedudukan sebagai pewarta di Jakarta daripada  nama-nama terkemuka seperti Datuk Zulkefli, Datuk Ahmad Rejal dan Datuk Syed Jamil,  Shukri berkata: “..saya insan biasa saja. Sangat risau akan tanggungjawab dan amanah.”
Beliau akan berbincang dengan Azeman mengenai operasi biro Jakarta bagi membantunya memulakan tugas baharu itu.
Setelah bertugas selama tiga tahun di Jakarta, Azeman akan kembali ke ibu pejabat sebagai Editor II di Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA). 


Thursday 28 September 2017

Kindness Malaysia ucap terima kasih...

Alhamdulillah hari ini, 28 September 2017, saya diberi kesempatan untuk ke udara bersama Bernama News Channel berkongsi tentang Kindness Malaysia. 
Kita make up dulu!
Saya dijemput untuk slot Inspirasi Pagi di bawah rancangan Nine11. 
Pengacara Bernama, saudara Helmi dan Chad Le bijak mengolah soalan dan memudahkan saya untuk sampaikan misi Kindness Malaysia serta matlamat yang ingin dicapai.
Jemputan dari penerbit mengatakan saya perlu elak dari memakai pakaian berwarna merah, jalur lurus dan polkadot.
Agaknya kerana kerusi di studio itu berwarna merah. 
Saya tiba jam 8.50 pagi dan akan ke udara jam 9.45 pagi.
Tiba sahaja di Bernama, saya dibawa ke bilik make up sebelum dibawa ke ruang tetamu.
Saya mewakili Kindness Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada Bernama News Channel kerana memberi peluang ini bagi menyebarkan kebaikan tidak kira tempat, masa atau pada sesiapa pun.
Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Malaysia
Executive Member World Kindness Movement


Sukan jadi inspirasi...

Tidak susah untuk mengagak bahawa Ketua Meja Sukan Bernama, Farhanah Azmi akan membaca akhbar bermula dari muka surat belakang setiap hari.
“Tentulah berita sukan dahulu...tengok berita-berita yang boleh buat follow up, kemudian muka depan...hehe,” katanya yang biasanya membaca semua akhbar utama tempatan.
Sekian lama melaporkan mengenai sukan, banyak pengalaman dan pengetahuan diperolehi Farhanah yang akan mencecah angka 50 pada 1 Okt ini.
Liputan sukan telah membawa anak Bukit Mertajam ini ke merata tempat di dunia, membina persahabatan dengan para atlet di samping membentuk keperibadiannya.
“Banyak cerita inspirasi yang saya belajar dari ahli sukan. Macam (Datuk Lee) Chong Wei, walaupun tidak pernah menang pingat emas Olimpik atau gelaran juara dunia, dia tetap memberikan komitmen terhadap latihan.
“Masa dia kena gantung lapan bulan sebab kes penggunaan bahan terlarang, dia tetap menjalani latihan ringan untuk mengekalkan stamina.
“Dia terpaksa bermula dari bawah semula untuk mendapat semula kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia.
“Begitu juga (Datuk) Nicol David, aspek disiplin dalam latihan membolehkan dia bertahan sebagai nombor satu dunia untuk tempoh lebih 100 bulan.
“Walaupun sekarang agak sukar untuk dia dapat kembali kedudukan itu dengan kebangkitan pemain-pemain muda Mesir tapi masih gigih berusaha untuk berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia,” katanya.
“Kalau cerita pasal inspirasi, saya paling terkesan dengan atlet-atlet paralimpik….mereka ni sangat istimewa, hanya Tuhan sahaja tahu jerih perih mereka untuk berjaya.
Farhanah dengan Sharifah Raudzah
“Bermula dengan tidak langsung mendapat perhatian media, kini mereka jadi buruan pihak media. Saya kenal mereka sejak awal pembabitan mereka. Dulu mereka amat sukar didekati kerana malu dan merasa rendah diri,” katanya.
Antaranya ialah atlet powerlifting Sharifah Raudzah Syed Akil yang Farhanah kenali sejak di Sukan Para Asean Korat pada 2008.
“Dia pembaca ikrar atlet masa pembukaan rasmi Sukan Para Asean Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya mengenai pemenang pingat gangsa untuk acara lebih 86kg wanita itu.
Farhanah menyertai Bernama pada Julai 2000 dan ditempatkan di Meja Sukan pada 2003.
“Kalau ikutkan, saya dah dalam bidang kewartawanan sejak 1994 sebaik graduate dari USM (Universiti Sains Malaysia),” katanya.
Beliau memulakan kerjaya dengan akhbar Harian Watan pada tahun 1994 sebelum menyertai Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dari 1997 hingga tahun 2000.
Sebagai ketua meja sukan, Farhanah berkata antara tanggungjawabnya ialah “menjaga kreadibiliti Bernama serta memantau anak buah saya di lapangan”.
“Jaga hubungan baik dengan client dan sumber berita
“Bukan senang nak memuaskan hati semua pihak tapi yang penting saya tahu saya dan team saya sudah melakukan yang terbaik
“Saya akan sentiasa beri teguran kepada rakan sekerja jika saya dapat tahu apa yang mereka lakukan itu tidak betul,” katanya.
Farhanah berkata banyak memori berkaitan kerja yang menjadi ingatan baginya.
“Antaranya pengalaman membuat liputan Sukan Paralimpik di Beijing 2008 dan London 2012.
“Selain itu dapat peluang interview secara eksklusif pelumba F1 Michael Schumacher, Lewis Hamilton dan jaguh Motor GP Valentino Rossi,” katanya.
Farhanah berkata beliau akan bertugas di Litar Sepang pada hari lahirnya Ahad ini untuk membuat liputan Perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia yang terakhir.
“Tugasan diutamakan…tahun lepas pun buat liputan sama tapi kali ni lain sikit sebab saya baru kehilangan adik saya,” kata Farhanah yang telah tujuh kali melaporkan mengenai perlumbaan F1 sejak 2006.
F1 Grand Prix Malaysia akan menutup tirainya tahun ini setelah 19 tahun beroperasi dan akan digantikan dengan Motor GP mulai tahun hadapan.
Farhanah, yang kerap ke luar negara untuk membuat liputan sukan, berkata rakan-rakan yang pergi bersama akan tahu bahawa beliau suka memasak di bilik hotel.
“Masak simple jer, nasi, ikan sardin dan beberapa jenis masakan segera seperti pes kari Brahim...hehe bukan nak jimat, tapi sebab sukar nak cari makanan halal.
“Kadang-kadang bawa siap-siap sambal tumis ikan bilis kering...itu sesuatu yang mesti...hehehe.
“Maggi saya bawa juga tapi jarang makan, kalau rakan-rakan nak saya bagi jer.
“Itu jadi habuan bila terlampau letih sangat balik assignment awal pagi, Maggi lah jadi pengalas perut,” katanya.
Farhanah mengakui bekalan bahan-bahan itu yang dibawanya menambah berat beg.
“Haah...tapi beg saya selalu tak lebih 30kg...hehe sebab separuh beg penuh dengan makanan…baju saya bawa sedikit sahaja sebab baju boleh dibeli.
“Bila nak balik, makanan lebih yang tak dimasak tu saya tinggalkan saja di hotel atau bagi dekat orang yang saya kenal seperti pemandu teksi atau cleaner kat hotel tu,” katanya.
Dalam mencapai usia ke-50, Farhanah berkata beliau merasakan “tidak cukup lagi ilmu di dada terutama ilmu agama”.
“Saya rasa masa terlampau cepat berlalu..saya nak cari masa untuk ke kelas agama, insyaAllah,” katanya.

Wednesday 27 September 2017

Bernama jayakan Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar

Peranan Bernama mendapat pengiktirafan apabila dilantik menganggotai jawatankuasa media dan publisiti Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar ke-enam yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Oktober ini.
Multaqa berprestij itu anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia.
Seramai 400 tetamu termasuk 100 alim ulama dan cendekiawan dari seluruh dunia yang dipilih oleh al-Azhar al-Sharif dijangka menghadari multaqa itu bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Multaqa itu mula dilaksanakan pada tahun 2006 dan hanya diadakan di Mesir kecuali pada tahun 2008 apabila Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah.
“Ini kali kedua multaqa diadakan di luar Mesir dan kedua-duanya di Malaysia,” menurut Jakim.
“Kepakaran Bernama amat diperlukan memandangkan multaqa ini akan dihadiri oleh para wartawan dari dalam dan luar negara,” kata jabatan itu dalam surat jemputan kepada Bernama sebagai anggota jawatankuasa berkenaan.
Ketua Meja Bahasa Arab saudara Muhamad Razee Hasan menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada Bernama untuk menjayakan multaqa itu.
“Memandangkan multaqa ini banyak menggunakan bahasa Arab, penglibatan kita amat diperlukan termasuk untuk tujuan terjemahan teks,” kata beliau yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa berkenaan minggu lepas.
Menurutnya, ramai wakil media dari negara Islam terutama Mesir dijangka membuat liputan multaqa itu yang bertemakan “Nilai-nilai Hidup Bersama Dalam Islam”.
Al-Azhar al-Sharif merupakan sebuah institusi keagamaan yang terkemuka ditubuhkan lebih 1,500 tahun yang lalu dan konsisten dengan pendekatan Wasatiyyah dalam menjelaskan kesucian dan keaslian agama yang menjadi asas ketemadunan dan kemajuan.
Dalam konteks Malaysia, al-Azhar melalui universitinya telah melahirkan sejumlah besar alumni daripada kalangan anak watan negara ini sejak akhir tahun 1950-an.
Generasi awal lepasan al-Azhar telah memberi sumbangan yang amat signifikan khususnya dalam kemajuan Islam di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, politik dan pengurusan hal ehwal Islam.
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) telah ditubuhkan pada 1 Mac 2012 dan merupakan satu daripada cawangan Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar Kaherah (WOAG Cairo) yang beribu-pejabat di ibu negara Mesir itu.
Menurut dokumen penerangan mengenai program tersebut, Multaqa itu akan mengenengahkan konsep Wasatiyyah al-Azhar sebagai kunci penyelesaian terhadap isu-isu yang berlaku akibat daripada gejala ekstremisme dan keganasan yang melanda umat manusia masa kini.
Mutakhir ini pemikiran ekstremisme dan amalan keganasan sereingkali cuba untuk dikaitkan dengan agama Islam.
Hakikatnya, penyelewengan terhadap nas-nas dan faham-faham agama memang boleh mewujudkan serta menyuburkan pemikiran ekstremisme dan amalan keganasan tersebut.
Ditambah pula dengan keinginan hawa nafsu yang sering melihat kepada kepentingan-kepentingan peribadi, justeru tidak hairan munculnya individu atau kumpulan yang cenderung  membawa pemikiran ekstremisme dan amalan keganasan.
Maka sewajarnya selaku institusi keagamaan yang terulung di dunia, al-Azhar muncul dengan usaha-usaha ke arah memperkenalkan serta menyuburkan pendekatan Wasatiyyah yang sememangnya merupakan unsur utama dalam tradisi keilmuan di al-Azhar al-Sharif.



Tuesday 26 September 2017

Cekal meneruskan hidup...

Kecacatan hanyalah satu perkataan bagi jurutera Khairull Hafiz Ismail yang tabah menghadapi kehidupan walaupun kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalanraya.
Malah, beliau tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk meneruskan aktiviti lasak – menunggang motosikal berkuasa besar,  menyertai marathon, pertandingan mountain bike dan yang terbaharu – berenang.
Berkongsi pengalaman dalam segmen ‘Inspirasi Pagi’ siaran NINE11 menerusi Bernama News Channel (BNC) pagi ini, Khairull menjelaskan tujuan beliau mencabar diri untuk melakukan aktiviti-akiviti itu.
“Memanglah persepsi masyarakat bahawa apabila melihat sesorang menjadi kurang upaya atau mendapat kecacatan, mereka akan memberi simpati,” katanya.
“Itulah sebab apa yang saya buat…saya nak buktikan kepada diri sendiri dan orang ramai bahawa hidup kita tidak berakhir sekiranya tidak ada kaki,” kata lulusan kejuruteraan mekanikal University Wisconsin itu.
Kehidupannya berubah apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah lori pasir di persimpangan Lebuhraya Damansara Puchong-KESAS ketika dalam perjalanan ke pejabat pada 26 Ogos 2005.
Beliau terperosok ke bawah lori dan kemalangan itu menyebabkannya hilang kaki kiri dari paras lutut, separuh ibu jari kaki kanan dan pahanya patah.
“Saya sebenarnya waktu itu baru berusia 25 tahun dan baharu membina kehidupan dan kerjaya,” katanya.
Khairull ditanya apa yang menguatkan semangatnya untuk menghadapi saat tersebut.
“Alhamdulillah dengan sokongan keluarga dan saya sendiri terlibat dalam decision making sama ada hendak potong atau tidak kaki saya, ia memudahkan proses untuk sembuh.
“Selepas tiga kali operation dan masih tidak dapat diselamatkan kaki saya, saya redha dan terima hakikat itu,” katanya.
“Apabila kita terima keadaan, mudah bagi kita untuk ‘move on’.
“Semasa terlantar ketika proses pemulihan, saya berulangkali menyatakan pada diri sendiri bahawa kalau saya menangis air mata darah sekalipun, belum tentu kaki saya boleh kembali.
“Sekarang saya tak ada kaki, jadi apa yang saya boleh buat untuk meneruskan hidup, bukan dwell on the past,” katanya.
Selepas enam bulan menjalani rawatan pemulihan, beliau boleh menggunakan kaki palsu tetapi pilihan sangat terhad pada waktu itu.
‘Tidak banyak kaki palsu yang boleh padan dengan lifestyle saya sebagai seorang yang aktif.
“Saya banyak bersukan, menunggang motosikal serta perlu ke luar negara memasuki ladang kerana saya bekerja dengan syarikat perladangan.
“Memandangkan tidak banyak pilihan pada masa itu, saya menggunakan apa yang ada walaupun sakit untuk banyak berjalan atau menunggang motosikal.
“Saya pernah crash di litar Sepang kerana kaki saya cramp semasa menunggang motosikal dan tidak dapat mengawalnya.
“Alhamdulillah dengan peningkatan teknologi serta saya dapat mengumpul duit, kaki saya sekarang yang lebih ringan tetapi kuat membolehkan saya aktif dan selesa bagaikan hampir kaki normal," katanya.
Menurutnya, dengan kaki baharu itu, perkara pertama yang dilakukannya  ialah menyertai marathon sedangkan sebelum itu beliau tidak pernah berlari langsung.
Bermula pada tahun 2012 dengan menyertai maratahon di Bukit Jalil, Khairull mengakui bahawa sememangnya berasa penat dan mahu ‘give-up’ pada mula-mulanya.
“Tapi bila saya dapat potong pelari lain, semangat saya naik dan makin kuat apabila boleh pintas yang lain-lain sampailah apabila masuk stadium, people were cheering me up, lagilah bersemangat,” kata Khairull yang terus berlari sehingga hari ini.
Beliau menghargai jasa dan sokongan ibunya  yang berada bersamanya “every step of the way” dalam memberi semangat untuk beliau sembuh sejak ditimpa kemalangan.
“Saya rasa kalau saya give-up dalam kehidupan, sia-sia sahajalah usaha mak saya,” kata Khairull yang turut bersyukur mendapat sokongan dan kasih sayang isteri.
“Alhamdulillah isteri saya banyak memberikan semangat untuk membuat benda lain seperti wall climbing di mana dia hand-in-hand dengan saya.
“Tahun lepas dia push saya untuk buat satu perkara yang saya tak pernah buat dan takut iaitu berenang.
“Dia carikan coach yang sesuai sebab saya dah jumpa banyak trainer tapi masih tak boleh,” katanya.
Setelah boleh berenang, Khairull kini berharap dapat menyertai acara triathlon yang menggabungkan renang, berbasikal dan larian.
Selain melakukan aktiviti lasak yang merupakan hobinya, Khairull berkata kepuasan sebenar beliau ialah apabila dapat berjumpa orang yang senasib dengannya dan berkongsi pengalaman.
“Alhamdulillah, saya ada beberapa success story mengenai mereka yang telah dapat mengubah sikap untuk terus hidup,”    
“Ada seorang yang tak mahu bangun selama tiga bulan selepas kakinya dipotong kerana diabetes.
“Apabila saya datang dan berbual-bual dengannya, the first thing yang dia buat ialah minta anaknya tegakkan dia…lepas itu dia keluar naik wheelchair.
“Ada seorang lagi yang bermain motorsikal dari awal dan berasa tidak boleh lagi meneruskan minat itu setelah kehilangan kaki.
“Beliau ternampak interviu saya di TV dan mencari video saya di Youtube sebelum menghubungi saya.
“Saya terus pergi jumpa dia di Morib dan Alhamdulillah, sekarang dia main motosikal semula,” katanya.
Ada juga orang luar negara yang menghubungi beliau sepertimana seorang anggota wanita US Marine yang kehilangan kaki akibat terpijak periuk api di Iraq.
“Dia contact saya selepas melihat video saya di Youtube dan sekarang, bukan sahaja dia bermain motor tetapi menjadi pelari untuk Marine Corp veteran dan aktif memburu,” katanya.
Beliau berharap dapat menyampaikan mesej positif menerusi saluran Youtubenya bahawa kehidupan tidak berakhir walaupun kehilangan anggota badan atau mendapat kecacatan.
Pautan Youtube/Twitter/Instagramnya ialah onelegKH.




Monday 25 September 2017

Resah tak daya berjalan…

Pergerakannya yang terbatas menggunakan kerusi roda membuatkan  Ketua Meja Ekonomi Bernama News Channel (BNC) Minggu Simon Lhasa berasa resah dan ‘bosan’.
“Masih tak dapat berjalan dan kena pakai kerusi roda… boring duduk tak dapat bergerak,” kata Minggu yang sedang bercuti sakit disebabkan ‘chronic gout’.
“Awal Jun dulu masuk hospital dua kali sebab terlalu sakit. My knee kena tebuk untuk keluarkan uric acid crystals.
“Satu botol kecil dikeluar dalam dua jam,” kata Minggu yang kini berada di rumah keluarganya di Sibu.
Beliau pulang bercuti untuk sambutan Hari Gawai apabila mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga tidak dapat berjalan dan dimasukkan ke Hospital Sibu.
“Kaki dah tak sakit sangat tapi badan kadangkala amat sakit, rasa kena tumbuk seluruh badan...so belum stabil kesihatan,” kata Minggu yang akan menyambut hari lahir ke-49 pada 30 September ini.
“Buat pertama kali dalam 20 tahun, I will celebrate it in Sibu. Of course, mahu cepat dapat balik kerja,” katanya mengenai ‘permintaan’ harijadinya (birthday wish).
Beliau cuti sakit sehingga hujung bulan ini tetapi doktor mungkin menyambung cutinya memandangkan beliau masih tidak dapat berjalan.
“I hanya sekadar boleh berdiri saja,” kata Minggu yang dijaga oleh bapa dan adik-adiknya.
“Kalau di KL siapa nak jaga?” kata orang bujang itu yang merupakan Pewarta Bernama di Bangkok sebelum kembali ke ibupejabat tahun lepas dan ditempatkan di BNC.
Walaupun perit menghadapi ujian itu, Minggu berazam untuk sembuh daripada penyakitnya.
Namun beliau tidak bersedia berkongsi foto terkininya kerana “nanti ada yang terkejut” melihat berat badannya yang turun lebih 10 kilogram.
Sorry…at the moment I just recover a bit. So I really look very bad..last month was the worst,” katanya tetapi mengizinkan fotonya di Facebook ketika dirawat di hospital digunakan.
Beliau dirawat dua kali di hospital dalam bulan Jun – kali pertama selama lima hari dan berikutnya lapan hari.
Minggu berkata banyak pantang yang beliau perlu patuhi dalam usaha untuk sembuh dan berkongsi ‘petua’ berikut dengan mereka yang mahu mengelak gout.
“Daging mesti kurang .. terutama daging lembu. Ikan mackerel is a no go. Begitu juga ada sayuran.
“Kalau gout lebih baik jumpa specialist. Mereka akan bagi list yang panjang. Kalau kena serang hampir setiap minggu memang wajib jumpa doktor.
“Kalau susah nak melangkah atau berdiri itu mungkin tanda uric acid crystals dah melekat di tulang.
“Pasal makanan, kalau setiap kali makanan tertentu you diserang gout maka itu paling pantang.
Degree sensitivity terhadap makanan adalah berbeza antara seseorang,” kata Minggu.
“Biasanya ia serang lelaki terutama kalau keturunan ada gout,” kata Minggu yang telah menghidap penyakit itu lebih lima tahun.
“Tapi dulu not paying much attention sebab makan painkiller dan ubat gout dari klinik dah okay…Ia serius dalam tahun ini,” katanya.
“Saya makan seperti biasa..problemnya tak jumpa specialist. Pergi klinik biasa doktor tak bagi nasihat yang jelas,” katanya.
Antara ubat yang diberikan kepadanya oleh doktor untuk gout ialah allopurinol.
“Sekarang 300mg dan doktor kata mungkin kena ambil yang 400 atau 500 mg,” katanya yang turut menggunakan bahan tradisional.
“.. madu kelulut, teh daun durian belanda, celery seed supplements, buah ceri seem to help a bit,” katanya.
Setelah lama tidak ke pejabat, Minggu berkata beliau ‘rindu’ kepada rakan-rakan.
Beliau ada berhubung dengan mereka “tapi tak nak ganggu sangat orang kerja.”
“I miss main stock market dengan mereka di BNC…ha ha.
“Bagi rakan saham saya, sabar lah...nanti saya balik kita mula lagi...ha ha,” katanya.

Sunday 24 September 2017

PM: Pengamal media perlu pantas tangkis berita palsu

Pengamal media perlu lebih tangkas menangkis berita palsu yang sengaja disebarkan di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata ini kerana berita palsu yang disebarkan sengaja dirancang untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan atau sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat, termasuk kenyataan beliau (Najib) ketika bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump baru-baru ini.
"Terutamanya statement yang dibuat oleh pemimpin termasuk statement saya disalahertikan ataupun dikilas untuk mengelirukan rakyat.
"Umpamanya bila saya bercakap dengan Presiden Trump di White House, saya beritahu "I come here to strengthen US economy", bila saya kata sedemikian maksud saya bukanlah kita ini sebagai penyumbang dana ekonomi Amerika tanpa kita menerima manfaat daripada penjanaan kita pada ekonomi Amerika," katanya semasa berucap pada Majlis Minum Petang Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) di Kuala Lumpur hari ini.
Sebaliknya, kata Najib, kenyataan tersebut diintepretasi dalam konteks yang sempit walhal maksud sebenar kenyataan itu ialah Malaysia sebagai negara yang berjaya boleh menjadi pelaku ekonomi yang signifikan kepada negara maju lain.
Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan untuk membeli pesawat Boeing baharu bagi syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) juga diputar-belit pembangkang sedangkan ia satu pelaburan untuk menjadikan MAS syarikat penerbangan tersohor negara.
"Sebab itulah saya kata bahawa kita hendak beli pesawat. MAS memilih untuk membeli pesawat paling canggih iaitu lapan buah Dreamliner.
Semalam saya baca berita online Turkish Airlines beli 40 buah Dreamliner, pastinya ia pilihan tepat untuk majukan industri penerbangan kita," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan pengamal media termasuk pengamal media wanita dalam pembangunan negara.
Katanya pengamal media arus perdana terutamanya memainkan peranan penting dalam memberikan pemahaman lebih jelas mengenai dasar-dasar kerajaan.
Sementara itu, Najib turut mempertimbangkan sumbangan dana kepada Pertama bagi menggerakkan aktiviti persatuan.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah sumbangan tersebut.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Pertama Sariha Mohd Ali. Kira-kira 200 anggota persatuan menghadiri majlis berkenaan.
-- BERNAMA

Menggapai impian...

Berbekal keazaman untuk bekerja dengan Bernama, Hasnah Jusid membulatkan tekad menaiki kapalterbang dari Sabah semata-mata bagi menghadiri temuduga sebagai wartawan di Wisma Bernama.
“Ketika itu ada yang beranggapan pemergian saya ke Kuala Lumpur untuk mengambil ujian dan temuduga adalah sia-sia dan berisiko kerana kos yang tinggi.
“Tapi kerana memang saya bercita-cita untuk bekerja di bawah Bernama sejak melanjutkan pelajaran di UMS (Universiti Malaysia Sabah), saya teruskan hasrat dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan yang memberikan sokongan kewangan…syukur Alhamdulillah pengorbanan saya terbalas,” katanya yang menyertai Bernama sebagai pemberita kadet pada 3 Mac 2014.
Berasal dari Kampung Sumbilingon, Kota Marudu, Hasnah menghadiri temuduga itu selang beberapa hari selepas konvokesyen UMS dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan dan Penyiaran).
Keinginannya untuk menyertai Bernama didorong oleh seorang pensyarah UMS Dr Haryati Karim, antara tenaga pengajar yang paling diminatinya dan merupakan bekas wartawan Bernama.
“Beliau banyak bercerita kisah ketika menjadi pemberita di Bernama…kisah-kisahnya banyak membangkitkan semangat saya untuk turut mencapai kejayaan sepertinya,” kata Hasnah yang kini bertugas di Biro Bernama Kedah sejak dua tahun lepas.
Sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti pun, minat beliau untuk menjadi wartawan telah lahir sejak kecil.
“Sejak saya berumur 6 tahun, ayah saya seorang yang sangat suka mengikuti perkembangan semasa…setiap hari dia akan membeli surat khabar tempatan Sabah seperti Daily Express dan New Sabah Times.
“Dia akan meminta saya membacakan setiap berita yang ada pada akhbar tersebut untuk didengarnya.
“Daripada pembacaan saya, memang saya melihat kebanyakan berita yang terdapat dalam akhbar-akhbar ini, kita akan dapat lihat satu kredit pada penghujung beritanya iaitu Bernama..
“Semakin umur meningkat, saya mula faham peranan Bernama dan itulah sebabnya saya memasang cita-cita untuk menyertai Bernama,” kata Hasnah, 27.
Kini setelah menyertai Bernama, Hasnah dapat merasai keseronokannya  menjadi wartawan Bernama.
“Apa yang paling seronok kerja dengan Bernama sebab ia agensi berita yang disegani dan menjadi sumber rujukan kepada organisasi media lain…ditambah dengan bos-bos yang supportive.
“Setiap kali kita menghasilkan berita, rasa seronok bila berita tu diguna oleh agensi berita lain.
“Kalau pergi mana-manapun Bernama memang dikenali sebagai agensi berita utama untuk mendapatkan berita cepat, pantas dan sahih.
“Pada tahun pertama saya di Bernama iaitu ketika menjadi pemberita kadet.. saya pernah meminta pakcik teksi untuk hantar ke bangunan Wisma Bernama disebabkan waktu itu saya tak mempunyai kereta lagi.
“Setelah sampai di hadapan pintu utama bangunan Bernama, pakcik itu bertanya saya adakah saya bekerja di situ…saya kata ya..
“Jawapan pakcik itu saya masih ingat sampai sekarang, dia kata: "Kamu beruntung kerja dengan Bernama sebab Bernama ni sudah lama wujud dan memang dikenali sejak dulu lagi,” katanya.
Hasnah, yang telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerja, baru-baru ini menerima ‘insentif petugas cemerlang Biro Kedah’ yang diperkenalkan oleh Ketua Biro Zabidi Ishar sebagai dorongan kepada para petugas biro tersebut.
Sebagai anak Sabah, Hasnah telah lama dapat melihat peranan penting Bernama dalam menggalakkan integrasi nasional.
Local newspapers di Sabah memang cukup banyak menggunakan berita-berita Bernama...local newspapers ini pengaruhnya agak kuat di kalangan  rakyat Sabah terutamanya yang tinggal di pedalaman.
“Rakyat Sabah yang terdiri daripada lebih 36 suku kaum memang cukup terkenal sebagai salah satu contoh terbaik perpaduan kaum dan semangat 1Malaysia di negara ini.
“Ditambah pula dengan berita Bernama yang cukup banyak dipakai oleh akhbar-akhbar tempatan Sabah, tidak hanya berita berkaitan Sabah malah juga berita-berita yang berlaku di Semenanjung sekali gus dapat pupuk semangat kenegaraan.
“Rakyat di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak merasa lebih dekat dengan rakyat Semenanjung walaupun dipisahkan Laut China Selatan.
“Sama juga rakyat Semenanjung pun boleh tahu perkembangan yang berlaku di Sabah dan Sarawak dengan adanya biro Bernama di negeri-negeri itu.
“Tanpa Bernama mana mungkin rakyat  di Sabah dan Sarawak tahu segala intipati maklumat, kejayaan pembangunan, amanat PM dan lain-lain lagi yang berlaku di Semenanjung,” kata anak kelapan daripada 12 adik beradik itu.