Thursday 31 May 2018

Berbuka puasa dengan kedutaan UAE...

Kedutaan Emiriah Arab Bersatu mengadakan majlis berbuka puasa di Wisma Bernama hari ini.
Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith berucap pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
Ini merupakan kali pertama kedutaan itu mengadakan majlis berkenaan untuk para petugas Bernama sebagai tanda persahabatan dan pengiktirafan terhadap peranan Bernama.


Monday 28 May 2018

UEM Group rai warga Bernama berbuka puasa...

UEM Group Berhad meraikan para petugas Bernama pada majlis berbuka puasa di Wisma Bernama hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zulkefli Salleh turut hadir. 






Bernama diminta kaji siar semula berita Mandarin, Tamil

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diminta menyiarkan semula berita berbahasa Tamil dan Mandarin di saluran televisyennya, Bernama News Channel (BNC).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata penyiaran semula siaran berita itu yang telah dihentikan beberapa tahun lepas adalah antara perkara yang beliau mahu dipertimbangkan agensi berita itu.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu kunjungan sulungnya ke ibu pejabat Bernama hari ini, selepas dilantik menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 21 Mei lepas.
Hadir sama Pengerusi  Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Pada 2015,  Zulkefli yang ketika itu Pengurus Besar Bernama berkata pemberhentian siaran berita Mandarin dan Tamil menerusi BernamaTV (kini BNC) bertujuan mengurangkan kos operasi stesen televisyen  tersebut.
Gobind dalam ucapannya turut melahirkan keyakinan bahawa warga Bernama akan memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang menjanjikan kebebasan media yang lebih terbuka.
Beliau turut mengingatkan warga Bernama supaya bekerja bersama-samanya  dengan 'mind set' yang baharu demi kemajuan Bernama.
Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dalam ucapannya berkata Bernama kini mengharapkan gaya kepimpinan dan panduan baharu untuk tahun-tahun mendatang di bawah pentadbiran baharu.
Beliau  juga menarik perhatian bahawa Bernama telah beroperasi sebagai agensi berita nasional selama 50 tahun menerusi Akta Parlimen yang peranan asasnya ialah membuat laporan secara adil dan inklusif tentang hal ehwal dan pembangunan negara.
"Saya percaya sebagai veteran di Bernama selama 40 tahun lalu bermula sebagai pemberita kadet, wartawan Bernama masa lampau dan kini telah berjaya memenuhi aspirasi bapa pengasas kita, tidak lain tidak bukan Perdana Menteri pertama kita Tunku Abdul Rahman Putra,” kata beliau.
Dalam lawatan ke Bernama kira-kira dua jam, Gobind turut melawat perkhidmatan Jabatan Pengarang, Bernama Multimedia News Centre, bilik berita BNC dan Bernama Radio, sebelum mengadakan sidang akhbar

.


-- BERNAMA

Friday 25 May 2018

Bernama rai petugas jualan capai KPI


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus memainkan peranan penting bagi pelanggan bukan media untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka apabila  dua unit daripada Jabatan Niaga dan Pemasaran serta  Bernama Radio berjaya mencapai petunjuk prestasi (KPI) jualan pada tahun lepas.
Bahagian Jualan  Nasional, Pertubuhan Media dan Pengurusan Acara (MREM) dan Bernama Radio masing-masing menerima sijil kecemerlangan dalam satu majlis  yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh, sebagai penghargaan di atas jasa serta sumbangan mereka.
Pengurus Kanan Bahagian Jualan Nasional, Norena Wati Yaacob berkata, penghargaan yang diberikan menjadi penyuntik semangat bagi semua petugas untuk bekerja dengan lebih tekun bagi meningkatkan pendapatan Bernama.
“Tanggungjawab sebenar petugas jualan dan pemasaran bukan hanya untuk mencapai KPI masing-masing tetapi  kami juga perlu membawa pendapatan dan keuntungan kepada organisasi,” katanya.
Tambahnya, mereka juga perlu merangka  strategi yang tepat dengan mendapatkan pelanggan baru serta menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Sehingga  kini, pihaknya giat mengenal pasti bakal pelanggan dan beliau yakin dengan imej yang dibawa oleh Bernama akan memberi keyakinan kepada pelanggan untuk menjalin kerjasama bagi tempoh yang panjang.
 Ujarnya, Bahagian Jualan Nasional menyasarkan pendapatan sebanyak RM4.9 juta menjelang akhir tahun 2018.
"Dari Januari hingga April tahun ini, kami telah memperoleh RM1.98 juta iaitu 40.45 peratus dan saya  positif kami akan berjaya melepasi jumlah yang disasarkan pada tahun ini berdasarkan usaha keras yang ditunjukkan oleh semua petugas," katanya.
Norena Wati berkata, pelanggan Bernama terdiri daripada kementerian, agensi di bawah kementerian, entiti korporat dan badan bukan kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Pusat Pungutan Zakat, Suruhanjaya  Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Samsung dan Institut Diabetes Negara.
Mengimbas kembali penubuhan bahagian itu pada 2009, Norena Wati berkata objektif Bahagian Jualan Nasional adalah untuk membentangkan aspek jualan dan pemasaran produk Bernama  dengan cara bersepadu kepada pelanggan berpotensi untuk meningkatkan pendapatan Bernama.
“Kami membuat cadangan kepada pelanggan dengan membentangkan produk yang ditawarkan dalam jumlah keseluruhannya, termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh unit lain seperti Perhubungan Media dan Pengurusan Acara (MREM), Perpustakaan Bernama dan Perkhidmatan Infolink (BLIS), Berita News Channel (BNC) dan Bernama Radio dan lain-lain, " katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya akan menumpukan kepada sektor yang belum diteroka seperti industri kecil dan sederhana, platform e-dagang, sektor pendidikan, serta perbankan dan kewangan.
Sementara itu, Pengurus Kanan MREM, Aniceta Ferns berkata pencapaian KPI pada tahun lepas tidak bermakna unitnya kini sudah berada di zon selesa, sebaliknya penghargaan yang diberikan oleh pihak pengurusan akan menjadi titik asas untuk bekerja dengan lebih keras supaya  penambahbaikan sentiasa dapat dilakukan.
Katanya, tiada rahsia strategi untuk mencapai KPI jualan selain daripada sentiasa mengetahui perkembangan berita daripada dalam dan luar negara bagi mencari pelanggan yang bersesuaian dengan perkhidmatan yang disediakan di Bernama.   
Buat Pengurus Pembangunan Perniagaan Bernama Radio, Raziyaza Mohammed pula, elemen visual yang ditampilkan oleh Bernama Radio menjadi ciri unik untuk ditawarkan kepada pihak pelanggan sekaligus membantu untuk membawa pendapatan kepada organisasi dan Bernama Radio.
“Sejak tahun lepas, kami menumpukan kepada media sosial di mana sesetengah segmen disiarkan secara langsung di Facebook dan kami menjadikan ini sebagai kelebihan untuk dijual kepada pelanggan sedia ada dan menarik pelanggan baru,” katanya.
Bagi terus mendekati bakal pelanggan, Bernama akan mengadakan ‘Bernama Roadshow 2018’ tidak lama lagi.
Selain memperkenalkan produk dan perkhidmatan Bernama, acara itu bertujuan memberikan makluman mengenai program terkini yang disiarkan di BNC dan Bernama Radio.
-- BERNAMA

Kad nama baharu...


Wednesday 23 May 2018

Bank Islam rai warga Bernama berbuka puasa

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menganjurkan majlis berbuka puasa untuk meraikan warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.
Pengurus Besar Ketua Kumpulan Pegawai Syariah Bahagian Syariah Bank Islam Mohd Nazri Chik berkata pihaknya sangat berbesar hati apabila dapat berbuka puasa bersama-sama petugas agensi berita itu.
"Ini merupakan tahun ketujuh Bank Islam menganjurkan majlis berbuka puasa bersama petugas Bernama.  Ia sebagai menghargai petugas media yang bertugas menyalurkan berita untuk orang ramai ketika orang lain telah pun berada di rumah bersama keluarga masing-masing untuk berbuka puasa.”
Inisiatif tahunan tersebut mula dilaksanakan pada 2011 sebagai memberi penghargaan kepada warga media yang sentiasa bekerjasama membuat liputan dan penyebaran maklumat mengenai Bank Islam, di samping mengeratkan ukhwah antara bank berkenaan dengan pihak media.
Turut hadir Ketua Perbendaharaan Bank Islam Adi Asri Baharom, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Datin Rohana Mustaffa.
Selain itu, Bank Islam Malaysia Berhad Holdings (BIMB Holdings) dan anak syarikatnya memperuntukkan hampir RM800,000 untuk beberapa program kebajikan sepanjang Ramadan ini.
Antaranya majlis berbuka puasa secara percuma (setiap hari bekerja) buat masyarakat yang bertugas di sekitar Menara Bank Islam; Program Tanggungjawab Korporat (CR)  Amal Ihtimam Ramadan Bank Islam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Kelantan dan Johor; Majlis Iftar dan penyerahan juadah berbuka puasa bersama media; tajaan untuk berniaga di Bazar Ramadan Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia dan Program Semarak Ramadan BHB-BH 2018 di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak.
-- BERNAMA



Tuesday 22 May 2018

Papan tanda JALAN BERNAMA dinaikkan...

Ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kini secara rasmi  terletak di Jalan Bernama. 
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini memasang papan tanda “Jalan Bernama” menggantikan Jalan 1/65A dari Jalan Tun Razak ke Wisma Bernama dan “Lorong Bernama” menggantikan Jalan 2 / 65A yang terletak bersebelahan.
Penukaran papan tanda nama jalan itu dilakukan oleh kontraktor DBKL pada 12.30 tengah hari tadi dengan disaksikan oleh  pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai  Eksekutif Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan beberapa eksekutif kanan Bernama.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku  Mansor menerima cadangan yang dikemukakan oleh Azman bagi nama Jalan 1/65A ditukarkan kepada Jalan Bernama dan Jalan 2/65A ditukarkan kepada Lorong  Bernama. 
Wisma Bernama ialah bangunan pertama tertinggi dibina di Jalan 1/65A dan telah beroperasi dari premis tersebut sejak 1984.
Azman hari ini menyifatkan penamaan Jalan  Bernama dan Lorong Bernama sebagai “hadiah yang tidak ternilai” bagi Bernama dalam usaha membangunkan negara sejajar dengan  peranannya  sebagai agensi berita rasmi negara.
“Kami (warga Bernama) sangat teruja dengan penukaran nama baharu itu terutama saya sendiri apabila pertama kali melihat papan tanda baharu untuk nama jalan dan lorong itu.
“Kami amat berterima kasih kepada (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) kerana bersetuju dan memasang papan tanda untuk nama baharu jalan itu,” kata  Azman  pada majlis perasmian penukaran papan tanda Jalan  Bernama dan Lorong Bernama, di Wisma Bernama hari ini.
Azman juga berkata pemasangan nama baharu itu dilakukan tepat pada masanya iaitu sehari selepas Bernama menyambut ulang tahun ke-51.
Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 1967 dan mula beroperasi sebagai agensi berita pada 20 Mei, 1968.
Beliau berkata penamaan jalan itu adalah sejajar dengan penjelmaan Malaysia Baharu yang kini diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baharu dibentuk.
Ketika ditanya apakah maknanya penamaan jalan itu kepada generasi Bernama pada masa depan, Azman menggesa wartawan muda agensi itu untuk komited sepenuhnya bagi mengekalkan kewibawaan Bernama sebagai agensi berita yang bukan sahaja menjadi  sumber maklumat untuk warga tempatan tetapi juga masyarakat  antarabangsa.
“Justeru, adalah amat penting  untuk mematuhi etika kewartawanan terutama dalam era ini apabila semua orang mula bercakap tentang berita palsu’,” kata beliau.
-- BERNAMA




Monday 21 May 2018

BERNAMA beri komitmen kepada kerajaan baharu

Para mantan pewarta Bernama di Jakarta berkumpul buat
 pertama kali pada majlis berbuka puasa Bernama hari ini.
Turut hadir Pewarta ANTARA di Kuala Lumpur Agus Setiawan
(tiga dari kanan)
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan berperanan lebih aktif dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada rakyat, sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan Pakatan Harapan membawa Malaysia ke tahap lebih baik.  
Menyatakan komitmen Bernama sebagai agensi berita nasional, Pengerusinya Datuk Seri Azman Ujang berkata pertubuhan itu akan menambah baik kualiti laporan berita khususnya dalam melaporkan pelbagai berita penting dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan baharu.
“Dalam suasana ‘Malaysia baharu’ ini, sudah tentu banyak berita yang besar akan diumumkan khususnya 100 hari pertama yang dijanjikan kerajaan.
“Kita bersedia berkhidmat sebaik mungkin dan semua kakitangan di pelbagai peringkat termasuk di negeri-negeri diberitahu supaya melakukan yang terbaik supaya hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk  membawa Malaysia ke tahap lebih baik akan tercapai dengan maklumat pemberitaan Bernama,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan sambutan ulang tahun Bernama ke-51 di Wisma Bernama, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab serta petugas Bernama.
Azman turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo atas pelantikannya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu.
“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Gobind Singh, walaupun saya belum kenal beliau secara peribadi, kita merancang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada beliau.
“Dengan pelantikan seorang ahli politik berkaliber seperti beliau, saya rasa dengan idea baharu oleh menteri baharu, ia akan memberi semangat baharu untuk terus bertugas,” katanya.
Sementara itu, Zulkefli berkata sebagai agensi kerajaan, Bernama akan berfungsi seperti biasa dan berkhidmat sebaik mungkin dengan kerajaan.
“Siapa pun yang dipilih oleh rakyat sebagai kerajaan, kita akan sebarkan maklumat kerajaan kepada rakyat sepertimana kita lakukan sejak 51 tahun Bernama beroperasi.
“Saya juga mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada YB Gobind (atas pelantikan), kita sedia bekerjasama dengan beliau,” katanya.
-- BERNAMA

Wednesday 16 May 2018

Datin Rohana TKP PBE...


Ketua Penyunting Meja Penyunting Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Datin Rohana Mustaffa dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE).
Pelantikan itu diumumkan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Wahab pada mesyuarat Jabatan Pengarang di Tingkat 14, Wisma Bernama hari ini.
Beliau juga mengumumkan bahawa Pengarang Meja Berita PBDN, Haji Khairdzir Md Yunus akan mengambil-alih tempat Datin Rohana.
Pelantikan Datin Rohana berkuatkuasa 23 April lepas berikutan persaraan Puan S. Durga Varma.
Datuk Zakaria juga berkata beberapa pertukaran lain akan diumumkan tidak lama lagi bagi mengukuhkan Jabatan Pengarang.
Ini termasuk mewujudkan jawatan Pengarang Urusan (Managing Editor) yang juga bertindak sebagai pegawai khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama.
Datuk Zakaria juga mengumumkan bahawa Meja Rencana dan Meja Bahasa Mandarin akan diletakkan di bawah Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA).

Wednesday 9 May 2018

PRU 14, Satu catatan....


Saudara Kamaruzaman Yaacob, yang pulang ke Kelantan untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14, mencatatkan pengalamannya.
Aku memulakan perjalanan ke Kelantan dari Batu Caves jam 5 petang semalam (8/5/2018). Tiba di persimpangan UIA & Tol Gombak kira-kira jam 6 petang walaupun jarak hanya 5 km dari rumah.
Deretan kereta bertali-arus menuju ke tol untuk memasuki Lebuhraya Karak.
Ambil keputusan melencong ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menuju ke Pekan Batu 8 Gombak dan memulakan perjalanan ke Bentong melalui jalan lama jam 6.20 petang.
Setiba di persimpangan ke pusat bandar jam 7.30 malam beratus-ratus kenderaan tidak bergerak dan ada yang tersadai di bahu jalan.
Aku mengambil keputusan melencong ke Lebuhraya LPT, meneruskan perjalanan sejauh 580 km untuk sampai ke Kota Bharu.
Syukur Alhamdulillah walaupun tiada pemandu gantian sampai juga di KB jam 3.30 pagi...
SELAMAT MENGUNDI KEPADA PERANTAU YANG BALIK MENGUNDI...UNDI ANDA ADALAH PENENTU MASA DEPAN NEGARA & GENERASI AKAN DATANG...